Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menjelaskan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN adalah sebagai “langkah strategik” dan bukan tanda kelemahan.
Dalam perutusan sempena Tahun Baru, Muhyiddin turut menegaskan bahawa dia masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai presiden.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai Presiden.
“Walaupun saya tidak lagi memimpin Perikatan Nasional, Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN, dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,” kata bekas perdana menteri itu.
Menurutnya, dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan Bersatu adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti itu.
“Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan,” katanya.

Muhyiddin pada 30 Disember lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN, ketika ketegangan antara PAS dan Bersatu semakin memuncak.
Ini selepas pemimpin Bersatu di Perlis memulakan usaha menyingkirkan Menteri besar daripada PAS, Mohd Shukri Ramli.
Pengumuman Muhyiddin mencetuskan siri peletakan jawatan oleh pengerusi-pengerusi Bersatu negeri, termasuk setiausaha agung parti itu, Azmin Ali selaku pengerusi PN Selangor, dan timbalan presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, selaku pengerusi PN Perak.
Dalam pada itu Muhyiddin menyeru ahli Bersatu supaya menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup.
“Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,” katanya.
PN kini dijangka akan melantik pengganti Muhyiddin dengan spekulasi mengatakan PAS bakal mengambil alih kepimpinan gabungan tersebut.





