Malaysia Oversight

UMS perkukuh kerjasama penyelidikan dengan universiti Indonesia

By Utusan in October 14, 2025 – Reading time 2 minute


PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan dan akademik di peringkat serantau dengan dua universiti Indonesia.

Kerjasama itu melalui lawatan oleh Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS ke Universitas Brawijaya (UB) dan Universitas Malang (UNISMA), baru-baru ini.

Delegasi UMS terdiri daripada Dekan FSMP, Profesor Ts. Dr. Hasmadi Mamat; Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal, Dr. Mohd Hazim Mohd Yusop dan Penyelaras Mobiliti FSMP, Ts. Dr. Ahmad Hazim Abdul Aziz.

Menurut FSMP,  pada lawatan itu, delegasi turut menyertai Persidangan Antarabangsa dalam Perikanan dan Penyelidikan Marin (ICoFMR 2025) anjuran Universitas Brawijaya di Malang, Indonesia.

Katanya, ketibaan delegasi UMS di Universitas Brawijaya telah disambut oleh Rektor UB, Profesor Dr. Widodo, dan Dekan Fakultas Perikanan dan Ilmu Kelautan, Profesor Dr. Ir. Asep Awaludin Prihanto.

Dalam sesi tersebut katanya, perbincangan dua hala telah diadakan bagi meneroka potensi penyelidikan dan penerbitan bersama serta pelaksanaan program mobiliti staf dan pelajar antara UMS dan Universitas Brawijaya.

“Kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan penyelidikan dan akademik dalam bidang sains makanan, halal, perikanan, dan inovasi sumber marin,” katanya dalam kenyataan.

Tambah kenyataan itu, kunjungan UMS ke UNISMA pula memberi fokus kepada pembangunan dan inovasi produk berasaskan madu, termasuk potensi kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan produk makanan berfungsi.

“Lawatan rasmi itu menjadi titik tolak kepada hubungan strategik jangka panjang antara UMS, UB, dan UNISMA, ke arah pembangunan lestari serantau melalui pengukuhan bidang sains makanan, halal, perikanan dan sumber marin,” katanya. – UTUSAN





Source link