Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menolak cadangan Kelab Veteran Umno supaya Bersatu dibubarkan dan menyertai Umno.
Bercakap pada sidang media, dia menyindir bahawa, cadangan sebaliknya yang sepatutnya dikemukakan.
Muhyiddin turut mengingatkan setiausaha kelab itu, Mustapha Yaakub bahawa Bersatu mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen berbanding Umno.
“Yang cakap pun saya kenal, Datuk mustapha kawan lama saya. Dia kata bubar (Bersatu), masuk Umno, tak semudah itu.
“Kenapa Umno tak bubar, masuk Bersatu? Kenapa?” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pejabat Bersatu di Bahau, Negeri Sembilan awal hari ini.
Bekas perdana menteri itu diminta mengulas kenyataan Mustapha semalam, yang membuat cadangan sindiran kepada pemimpin Bersatu, mengatakan mereka harus membubarkan parti dan menjadi ahli Umno.
Ini selepas Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan Umno.
“Kita bukan Umno. Keduanya, kita badan yang tertubuh, kalau ikut kiraannya jumlah ahli parlimen kita lebih besar daripada Umno.
“Adun kita pun ramai juga dan kita bersama dalam PN (Perikatan Nasional), kita sudah bersama dengan PAS dan negeri utara semua di bawah PN,” kata Muhyiddin.
Untuk rekod, PN hanya menguasai dua negeri di utara iaitu Kedah dan Perlis. Pulau Pinang pula di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) manakala Perak diterajui kerajaan perpaduan BN-PH.
Muhyiddin turut menegur Umno kerana bekerjasama dengan seterunya DAP dalam kerajaan perpaduan.
Dia berkata Bersatu tidak pernah berkompromi dengan prinsip parti, mendakwa Umno sebaliknya kerana bekerjasama dengan DAP.