Perang mulut antara MIC Kedah dan Umno berterusan dengan terbaru kecaman bahawa parti Melayu itu tidak layak untuk mempersoalkan kesetiaan MIC.
Ketua Perhubungan MIC Kedah SK Suresh berkata demikian susulan kenyataan Umno Kedah yang mengucapkan selamat maju jaya kepada MIC sekiranya parti itu meninggalkan BN.

“Apa Umno Kedah mahu cakap pasal kesetiaan? Kamu sanggup humban kawan setia, kawan masa susah ke tepi dan ‘cium mulut dengan DAP, parti yang anggota Umno sendiri tidak suka.
“Kekalahan pilihan raya kecil Padang Serai mesej akar umbi Umno kepada kepimpinan kamu bahawa mereka tidak suka Umno bersekongkol dengan DAP.
“Tetapi, kamu gembira kerana dapat semua keistimewaan daripada kerajaan pusat dan terus bercium mulut dengan DAP hingga menjemput ke ibu pejabat Umno yang dulunya tegas No DAP. Mana maruah kamu?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata MIC bebas memilih rakannya pada pilihan raya umum akan datang.
Memetik laporan Sinar Harian, Shaiful dipetik sebagai berkata BN Kedah tidak pernah gentar dengan sebarang perubahan landskap politik.
“MICKedah bebas membuat pilihan politik sendiri, namun BN Kedah tidak akan berkompromi dengan prinsip kesetiaan dalam perjuangan politik.
“Biarlah jelas kepada semua, apabila pintu ini terbuka untuk keluar, jangan pula suatu hari nanti datang menuntut ruang, kerusi atau keistimewaan dalam BN setelah mengangkat tangan menyokong pihak lawan.
“Kesetiaan bukan barang mainan yang boleh digadai pada musim pilihan raya dan ditebus kembali apabila keadaan mendesak,” katanya.
Suresh juga tidak tolak kemungkinan MIC tidak akan kembali ke BN jika kepimpinan Umno terus terpesong keluar dari landasan.

“Percayalah, DAP akan tunjuk perangai sebenar mereka, tidak suka Umno, tidak suka orang Melayu Umno, tetapi sanggup berlakon demi kekal dalam kerajaan untuk jawatan. Itu bukan kesetiaan kawan, itu hipokrasi, sama seperti kamu.
“MIC tidak perlu meminta kebenaran sesiapa untuk memutuskan masa depan kami dalam politik negara. Masa depan negara dan masyarakat India adalah keutamaan kami, dan kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak demi kebaikan parti dan masyarakat.
“Baik kamu diam sebelum kami mula membongkar insiden-insiden lampau yang akan mengeruhkan lagi keadaan, dan bila itu berlaku, jangan pula kamu menyesal,” kata Suresh.
Terdahulu, MIC Kedah dilaporkan meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN dan tidak menolak kemungkinan keluar daripada BN.

Mutakhir ini, pemimpin MIC dan Umno terlibat dalam perang mulut berikutan pendedahan timbalan presiden parti itu, M Saravanan bahawa MIC ibarat “tetamu tidak diundang” dalam kerajaan perpaduan.
Susulan itu, Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata pihaknya sedia berunding dengan mana-mana pihak demi masa depan parti itu dan kesejahteraan masyarakat India.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata MIC belum menerima jemputan daripada mana-mana parti atau gabungan lain, namun menyatakan sudah tiba masanya parti itu mengambil tindakan demi kepentingan masyarakat India.