Umno memohon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar titah adendum berkaitan tahanan rumah buat bekas perdana menteri, Najib Razak, dilaksanakan segera selaras dengan kuasa mutlak baginda.
Mengucapkan syukur atas pengesahan kewujudan titah tersebut sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi, berkata parti itu merafak sembah ke atas Sultan Ibrahim agar ia dilaksanakan selaras dengan perlembagaan.
Katanya, pengesahan tersebut sekali gus memperakui titah bagi penahanan rumah buat Najib.
“Umno merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada kebawah duli yang maha mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Semoga dengan limpah kurnia ke bawah duli yang maha mulia Tuanku akan membolehkan Najib mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa Peguam Negara tidak menafikan kewujudan titah adendum tahanan rumah buat Najib.
Sebaliknya kata Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, menegaskan bahawa pihaknya hanya mempertikai cara Najib mengemukakan bukti baru itu di mahkamah.
“Responden harus mematuhi peraturan dan tatacara mahkamah untuk mengemukakan bukti baru,” katanya.
Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan berhubung rayuan peguam negara mengenai kewujudan dokumen tambahan yang didakwa membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Shamsul dan peguam mewakili ahli politik terbabit, Muhammad Shafee Abdullah.