Umno Pekan bertegas dan mendesak agar titah tambahan (adendum) oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk Najib Razak dilaksanakan secepat mungkin.
Ketua Umno Pekan, Mohammad Fakhruddin Mohd Arif, berkata perkara itu sudah tertangguh hampir 16 bulan dan menjadi ketidakadilan terhadap bekas perdana menteri terbabit.
“Kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024 ini sudah jelas dan Majlis Kesultanan Pahang juga mengesahkan kewujudan titah itu menerusi satu surat pada 4 Jan 2025.
“Ini bermakna titah adendum sudah tertangguh lebih kurang 16 bulan… ini seumpama keadilan yang dinafikan kepada Najib dan melambatkan haknya mengikut perlembagaan untuk mendapat keadilan,” katanya.
Dia bercakap kepada media selepas majlis penyampaian bantuan Inisiatif Makmur Pahang di Kampung Padang Garuda, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.
Kenyataan dibuat Mohammad Fakhruddin itu dilihat seperti tidak mengendahkan kenyataan bersama dikeluarkan 14 ketua cabang PKR Pahang semalam.
Dalam kenyataan bersama itu, kesemua pemimpin PKR peringkat cabang di Pahang menolak sebarang usaha memberi tekanan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, agar melaksanakan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Mohammad Fakhruddin menegaskan, pendirian Umno Pekan dalam hal tersebut adalah desakan agar prosiding semakan kehakiman mengenai titah itu di mahkamah tinggi dapat diteruskan dengan merujuk kepada keputusan 6 Jan lalu oleh Mahkamah Rayuan.
“Kita (Umno Pekan) menyambut baik penjelasan rasmi Peguam Negara kepada Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kewujudan titah adendum ini.
“Selain itu, Umno Pekan juga menghargai kesepakatan ketua-ketua Umno bahagian dari seluruh negara pada 17 Jul lalu bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Najib.
“Bagi kami di peringkat Umno Pekan, kami akan terus komited memperjuangkan keadilan buat Najib,” jelasnya.
Dia turut berharap perkara tersebut dapat diselesaikan menjelang sambutan hari lahir Najib yang ke-72 pada 23 Jul ini.