Umno akan meminta supaya Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan, dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen.
Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) PSB, Johari Abdul Ghani berkata ini bagi membolehkan RUU berkenaan ditambah baik.
Ia juga, katanya, bagi membolehkan cadangan akta lebih komprehensif dan mengambil kira pandangan serta kritikan masyarakat pelbagai lapisan.
“Ya (Umno akan minta RUU PSB 2025) dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen (sebelum diluluskan di Dewan Rakyat).
“Kita sudah memperoleh pelbagai dapatan susulan penganjuran Konvensyen PSB.
“Dapatan ini akan dibincangkan bersama presiden umno merangkap timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk meneliti bagaimana kita boleh mengolah pandangan masyarakat (mengenai RUU PSB 2025).
“Sebagai (wakil rakyat) blok kerajaan, kita tak boleh bergaduh sesama sendiri dan saya pun seorang menteri. Justeru, kita akan bawa RUU ini dan berbincang dengan Ahmad Zahid.
“Beliau akhirnya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya pada Konvensyen Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) atau URA di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

RUU PSB yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 21 Ogos lalu berdepan tentangan, khususnya dalam kalangan pembangkang antaranya kerana didakwa boleh meminggirkan orang Melayu.
Justeru, bacaan kali kedua – yang dijangka dibuat pada sidang Dewan Rakyat lalu – telah ditangguhkan dan kerajaan mengumumkan beberapa pindaan akan dibuat terhadap RUU tersebut.
Pada 18 Sept lalu, Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberitahu pihaknya menjangkakakan RUU tersebut akan dibentangkan pada 6 Okt ini.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Naib Presiden Umno berkata parti itu tidak menolak pembangunan semula bandar, namun proses berkenaan perlu dibuat secara tersusun dan terancang tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh.
Katanya, keputusan untuk merujuk RUU PSB 2025 ke jawatankuasa khas juga dibuat selepas mengambil kira ia membabitkan kepentingan banyak pihak, termasuk pemilik, penyewa, penduduk dan pelbagai pihak berkepentingan lain.
Menurut Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, keadaan itu antara lain menyebabkan timbul pelbagai keresahan dan kritikan dalam kalangan masyarakat.
“Misalnya, ada sekitar 91 kawasan di Kuala Lumpur, kalau ini (pembangunan semula) berlaku serentak, di mana kita mahu cari rumah sewa?”
“Kemudian, jika (penduduk) terpaksa dipindahkan jauh dari tempat kerja, jadi (kadar) sewa RM1,200 (sebulan) yang sering diberikan pemaju mungkin tidak relevan kerana ia membabitkan kos tambahan sementara menunggu rumah (baru) siap.
“Antara kos tambahan ialah perbelanjaan untuk perjalanan ke tempat kerja yang lebih jauh, kemudian anak yang bersekolah mungkin memerlukan bas sekolah dan pelbagai lagi. Inilah beberapa perkara menyebabkan ramai risau mengenai RUU PSB 2025,” katanya.
PANDUANKINI | Apakah itu Akta Pembaharuan Semula Bandar?
Konvensyen hari ini – yang turut dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita, Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Nurul Amal Mohd Fauzi – membuka peluang kepada masyarakat untuk memberi pandangan berkenaan RUU tersebut.
Konvensyen turut merumuskan tiga resolusi utama termasuk tuntutan agar RUU PSB tidak dibentangkan dalam bentuk sedia ada.
Sebanyak 14 cadangan juga dikemukakan sebagai langkah memperbaiki kelompongan undang-undang tersebut.
Antara cadangan utama ialah menetapkan ambang persetujuan 90 hingga 95 peratus sebelum pembangunan semula boleh dilaksanakan.
Sebelum ini, nilai ambang kelulusan ditetapkan pada 80 peratus untuk premis berusia bawah 30 tahun, manakala premis yang lebih lama hanya memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya 75 peratus pemilik.
Cadangan lain termasuk mewujudkan definisi jelas antara pembangunan semula, penjanaan semula dan penyelenggaraan semula, serta melarang pemaju daripada memindahkan penduduk sebelum ambang persetujuan dicapai.
‘Majoriti sokong secara prinsip’
Kata Johari lagi, kerajaan telah menerima lebih 1,200 maklum balas daripada rakyat berhubung RUU PSB menjelang pembentangan di Parlimen.
Katanya, majoriti maklum balas menyokong secara prinsip usaha kerajaan memperbaharui kawasan-kawasan bandar yang usang, namun menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan ketara dalam draf RUU sedia ada.
Jelasnya, rakyat tidak menolak pembangunan semula, sebaliknya mahu satu rangka undang-undang yang lebih lengkap, adil dan tidak membuka ruang eksploitasi kepada pemaju.
Dia turut menekankan ramai pemilik rumah berdepan risiko kehilangan kediaman tanpa jaminan perlindungan yang memadai.
“Contoh di Kampung Sungai Baru (di Kuala Lumpur), sudah lapan tahun penduduk berpindah tapi projek belum siap. Ada juga yang sudah menunggu lebih 15 tahun untuk mendapatkan semula unit mereka,” katanya.

Justeru, Johari menekankan keperluan undang-undang yang lebih tegas dan holistik, dengan membangkitkan projek Plaza Rakyat di ibu kota yang terbengkalai sebagai pengajaran betapa kelemahan perundangan akan menjejaskan imej bandar dan rakyat.
“Kita lihat banyak projek hotel dan bangunan komersial terbengkalai selama 30 tahun. Ini mencacatkan pemandangan bandar dan perlu diselesaikan segera,” tegasnya.
Dia turut menggesa agar kerajaan melakukan semakan menyeluruh terhadap sekurang-kurangnya 10 akta yang berkaitan, termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Pemajuan Perumahan, dan Akta Hakmilik Strata bagi mengelakkan pertindihan dan memastikan rangka kerja undang-undang pembangunan semula lebih menyeluruh.
“RUU PSB perlu diselaraskan dengan akta-akta sedia ada supaya tak ada pihak ambil jalan pintas untuk ambil alih kawasan strategik atas nama pembangunan,” katanya lagi.






