KUANTAN: UMNO disaran supaya tidak tunduk kepada tekanan politik daripada DAP sebaliknya kembali memperkukuh perjuangan asal sebagai parti yang membela agama, bangsa dan tanah air.
Seruan itu disuarakan Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli, yang menegaskan bahawa UMNO kini perlu memperjelaskan hala tuju dan prinsip perjuangannya kepada rakyat.
Menurutnya, beliau sendiri sewaktu bersama parti tersebut sentiasa konsisten menentang ideologi dan pendekatan DAP yang disifatkannya bertentangan dengan asas perjuangan UMNO.
“Sebarang kerjasama yang dilihat menggadai prinsip asal parti itu hanya akan menghakis kepercayaan akar umbi dan mencetuskan kekeliruan penyokong setia.
“Saya tidak pernah berganjak daripada pendirian menolak DAP, ini tiada siapa boleh menafikan. Malah, semasa dalam UMNO dahulu, saya lantang bersuara menentang DAP dan ia kekal sehingga kini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Haslihelmy yang sebelum ini bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, menyatakan bahawa tindakan beliau bukan kerana kecewa, tetapi kerana prinsip.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan politik tidak seharusnya didorong oleh kepentingan peribadi atau kedudukan, sebaliknya berlandaskan idealisme dan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Saya sanggup dipecat daripada UMNO kerana tidak mahu berkompromi dengan pendirian yang saya pegang sejak dahulu. UMNO perlu kembali kepada roh perjuangan asal, bukan tunduk kepada kehendak pihak lain,” tegasnya.
Tambahnya, UMNO sebagai parti yang sudah lama menjadi tunjang kepada kestabilan politik negara, perlu menunjukkan ketegasan dalam mempertahankan identiti dan prinsip perjuangan.
Katanya, kerjasama politik yang bersifat pragmatik tidak seharusnya mengorbankan nilai dan asas perjuangan yang sudah dibina sejak penubuhan parti tersebut.
“Jangan biarkan UMNO menjadi parti yang hilang arah. Parti ini perlu kembali kepada perjuangan membela Melayu, Islam dan kedaulatan negara. Itu yang menjadi nadi UMNO sejak dahulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kepimpinan UMNO agar lebih terbuka mendengar suara akar umbi dan tidak terlalu bergantung kepada strategi politik yang bersifat sementara.
“UMNO tidak boleh hanyut dalam arus politik yang tidak menentu, sebaliknya tampil sebagai parti berprinsip, berani dan berwibawa,” tegasnya.
Dalam laporan portal berita sebelum ini, Pemuda DAP Pulau Pinang menyeru kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh susulan tindakannya yang didakwa bersifat provokasi.
Pemuda DAP Pulau Pinang menegaskan bahawa tindakan sedemikian tidak boleh dimaafkan dan mendesak kepemimpinan nasional DAP memutuskan segala bentuk kerjasama politik dengan Akmal, terutama pada pilihan raya umum yang akan datang. – UTUSAN