Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) memohon maaf berhubung cadangan awal untuk “mansuhkan” sistem matrikulasi yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak, termasuk Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh.
“Kami (Umany) menggunakan perkataan “mansuhkan” program matrikulasi, yang mungkin menimbulkan salah faham. Kami memohon maaf atas kekeliruan tersebut.
“Maksud sebenar kami ialah menggabungkan program matrikulasi dengan peperiksaan STPM, berasaskan sukatan pelajaran STPM yang kini diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa.
“Langkah ini akan membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang bersaing secara adil di bawah satu platform peperiksaan,” kata persatuan siswa itu pda satu kenyataan.
Umany turut menegaskan cadangan melaksanakan “sistem peperiksaan bersepadu” sama sekali tidak berkaitan dengan isu perkauman.
“Tujuan sebenar ialah memperbaiki sistem sedia ada supaya lebih adil dan telus, sekali gus menyelesaikan punca ketidakadilan dalam pengambilan pelajar ke universiti.
“Ahli politik dan parti-parti tidak perlu memanipulasikan perkara ini sebagai isu kaum,” kata kumpulan pelajar itu.
Pada 12 Sept, Umany menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dengan menekankan cadangan tersebut sebagai cara paling berkesan untuk menangani isu kuota kemasukan universiti.
Memorandum itu dikemukakan susulan laporan media mengenai Edward Wong, lepasan STPM yang memperoleh CGPA 4.0 serta bercita-cita menjadi akauntan, tetapi ditolak enam universiti.
Umany turut membangkitkan kebimbangan bahawa Wong pada awalnya ditawarkan kemasukan ke Universiti Malaya hanya melalui sistem pengambilan langsung “Satu”, yang dikatakan mencecah kos “sehingga 10 kali ganda lebih tinggi”.
Sementara itu, Umany menjelaskan cadangan peperiksaan bersepadu tetap akan mengambil kira keperluan golongan yang kurang bernasib baik bagi memastikan nilai keadilan sosial dizahirkan dalam proses kemasukan.
Kumpulan itu turut menegaskan bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini memberi isyarat cadangan itu boleh dinilai secara menyeluruh – menunjukkan kementerian tidak menolaknya sepenuhnya, sebaliknya memerlukan lebih banyak kajian.
“Kami percaya bahawa apabila peperiksaan bersepadu dilaksanakan, kerajaan boleh menetapkan kuota khusus untuk membantu golongan yang memerlukan, agar mereka diberi keutamaan.
“Dalam masa yang sama, semua pelajar cemerlang dapat dibandingkan secara adil di platform yang sama, sekali gus menyelesaikan secara tuntas kontroversi pengambilan pelajar yang sering berlaku setiap tahun” kata Umany.