Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) digesa terus memperjuangkan sistem matrikulasi dikembalikan kepada prinsip asalnya sebagai tindakan afirmatif, kata Pengerusi Urimai, P Ramasamy.
Bekas pensyarah sains politik itu berkata ini kerana langkah tersebut akan memperluaskan peluang untuk pelajar miskin dari semua latar belakang, termasuk Cina dan India.
“Universiti awam Malaysia boleh dan harus mengekalkan pelbagai laluan kemasukan. Fleksibiliti dalam sistem pengambilan pelajar adalah perlu, asalkan ia tidak menjejaskan kualiti pendidikan.
“Sistem matrikulasi pada asalnya diperkenalkan untuk menangani nasib orang Melayu luar bandar yang tidak mampu bersaing dengan rakan sebaya mereka di bandar. Ia direka sebagai satu bentuk tindakan afirmatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, kata Ramasamy, sistem itu semakin tersasar daripada tujuan asalnya.
Daripada membela pelajar kurang bernasib baik tanpa mengira kaum, ia berubah menjadi “mekanisme berat sebelah kaum” yang terutama memberi manfaat kepada pelajar Melayu, khususnya anak-anak golongan elit politik dan birokrat.
Walaupun kerajaan memperuntukkan kuota khas sebanyak 10 peratus tempat kepada pelajar India dan Cina, Ramasamy berkata ia tidak banyak membantu memperbetulkan ketidakseimbangan.
“Namun, tidak dapat dinafikan bahawa program matrikulasi membolehkan ramai pelajar Melayu miskin melanjutkan pengajian tinggi yang mungkin tertutup buat mereka,” katanya lagi.
Pertahan pendirian
Ramasamy turut mengkritik Umany kerana “berundur apabila berdepan kritikan, terutamanya daripada pihak kanan,” dan bukannya mempertahankan pendirian mengenai pengambilan pelajar universiti awam.

Ramasamy mengingatkan bahawa Umany tidak boleh sekadar menolak sistem matrikulasi dengan mencadangkan STPM sebagai pengganti.
“Walaupun alternatif progresif kepada sistem matrikulasi dan STPM wajar diteroka, masih belum jelas bagaimana penggabungan kedua-duanya boleh menghasilkan sistem hibrid yang berkesan. Malah, STPM sendiri jauh daripada mesra kepada pelajar dari latar belakang sosio-ekonomi rendah,” katanya.
“Oleh itu, daripada berundur, Umany sepatutnya mempertahankan pendiriannya dengan konsisten dan jelas. Jika benar-benar percaya pada reformasi, ia mesti tahan dengan serangan politik dan tidak mengendurkan pendiriannya di bawah tekanan,” tambahnya.
Semalam, Umany memohon maaf berhubung cadangan untuk “memansuhkan” sistem matrikulasi yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
Persatuan itu menjelaskan bahawa maksud sebenar cadangan tersebut adalah menggabungkan program matrikulasi dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) berasaskan sukatan pelajaran sijil itu yang diiktiraf secara meluas termasuk di peringkat antarabangsa.
Malah, persatuan mahasiswa Universiti Malaya itu menegaskan cadangan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.
Pada 12 Sept, Umany menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dengan menekankan cadangan tersebut sebagai cara paling berkesan untuk menangani isu kuota kemasukan universiti.
Memorandum itu dikemukakan susulan laporan media mengenai Edward Wong, lepasan STPM yang memperoleh CGPA 4.0 serta bercita-cita menjadi akauntan, tetapi ditolak enam universiti.
Umany turut membangkitkan kebimbangan bahawa Wong pada awalnya ditawarkan kemasukan ke Universiti Malaya hanya melalui sistem pengambilan langsung “Satu”, yang dikatakan mencecah kos “sehingga 10 kali ganda lebih tinggi”.