Universiti Malaya (UM) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan sebuah artikel dalam jurnal terbitannya telah memetik artikel di laman satira sebagai fakta.
Ketua Bahagian Media dan Kreatif, Pusat Komunikasi Korporat UM, Mastura Mohamad Yusoff berkata semakan sedang dilakukan pihaknya bagi meneliti keseluruhan proses editorial dan penerbitan yang terlibat dalam Jurnal Al-Tamaddun bagi memastikan integriti akademik universiti terus terpelihara.
“UM telah memulakan semakan menyeluruh bagi meneliti perkara ini, termasuk proses editorial yang terlibat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mastura turut menegaskan langkah itu sejajar dengan komitmen terhadap piawaian etika penyelidikan dan penerbitan yang tinggi.
“UM kekal komited dalam memupuk budaya penyelidikan yang bertanggungjawab dan memastikan kepercayaan terhadap komuniti akademik kami terus terpelihara,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang pengguna laman Reddit membangkitkan dalam sebuah kertas kajian pada 2018, pensyarah bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Solehah Yaacob telah memetik laman satira, The Onion sebagai fakta.
Solehah memetik artikel di laman itu yang mendakwa kononnya sekumpulan ahli sejarah mendakwa mereka telah mereka-reka tentang “Yunani purba”.
Malaysiakini tiada akses kepada sumber yang dipetik Solehah dan tidak dapat secara bebas mengesahkan dakwaannya.
Susulan itu, seorang ahli akademik supaya artikel akademik yang diterbitkan dalam Jurnal Al-Tamaddun pada 2018 ditarik balik.
“Pada pandangan saya, artikel dalam Jurnal Al-Tamaddun itu perlu ditarik balik, disemak semula, dan melalui proses semakan peer review dengan teliti sebelum boleh dihantar semula untuk penerbitan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kata Munirah, ahli akademik seharusnya lebih memahami apa itu satira dan bagaimana untuk mengenal pastinya, serta mengelak daripada memetik bahan sedemikian dalam penerbitan ilmiah.
Jurnal Al-Tamaddun merupakan jurnal berindeks yang diterbitkan dua kali setahun dan menumpukan kepada kajian sejarah, tamadun serta pemikiran Islam.
Mengulas lanjut, Mastura berkata hasil siasatan akan menentukan tindakan yang sesuai diambil, termasuk kemungkinan pembetulan atau penarikan artikel sekiranya pelanggaran etika disahkan berlaku.
Katanya lagi, pihak universiti berhasrat memastikan setiap penerbitan di bawahnya memenuhi piawaian akademik tertinggi bagi menjaga kredibiliti institusi dan kepercayaan masyarakat terhadap penyelidikan yang dihasilkan.






