Malaysia Oversight

UM-Damansara United tekad cari gol saguhati lawan JDT

By Utusan in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
UM-Damansara United tekad cari gol saguhati lawan JDT


JOHOR BAHRU: Walaupun segalanya tampak sudah berakhir buat UM-Damansara United setelah tewas 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pertama saingan Piala FA, pengendalinya, Ridzuan Abu Shah tetap bersemangat dan tidak sabar menunggu aksi timbal balik.

Ridzuan akur bahawa anak buahnya tidak mungkin dapat mengubah nasib mereka namun misi yang tinggal adalah untuk merobek gawang pasukan juara bertahan itu.

“Soal menang atau kalah, itu adalah perkara kedua. Hasrat saya untuk pertemuan kedua nanti adalah untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol.

“Pada minggu ini, seorang lagi pemain import yang beraksi di bahagian serangan akan menyertai pasukan, jadi kami akan membuat persiapan untuk liga (A1 Semi Pro) dan juga perlawanan menentang JDT.

“Perlawanan ini penting bagi mengukur kekuatan kami ketika berdepan dengan pasukan hebat seperti JDT, saya nak lihat cara UM-Damansara United dapatkan GOL dalam perlawanan itu,” katanya selepas perlawanan.

Pada malam tadi, skuad Harimau Selatan yang beraksi sebagai pasukan pelawat membelasah kelab Liga A1 Semi Pro 5-0, Jonathan Silva meledak dua gol manakala Teto Martin, Joao Figueiredo dan Celso Bermejo masing-masing menjaringkan satu gol.

Bagaimanapun, JDT terpaksa bekerja keras pada perlawanan itu dan kesemua gol tersebut hadir selepas kapten, Hariz Mansor dilayangkan kad merah dan UM-Damansara United terpaksa bermain dengan seorang pemain.

Ridzuan berkata, dia sedikit ralat kerana sudah merancangkan untuk mengeluar kapten pasukan itu pada babak kedua kerana dia cenderung bermain secara agresif.

“Saya sudah memberi isyarat kepada jurulatih bahawa akan membawa keluar Hariz yang sudah mengutip kad kuning pertama pada babak kedua.

“Namun, hasrat itu tak kesampaian apabila dia mengutip kad kuning kedua selepas melakukan terjahan terhadap Teto Martin. Apa pun, mereka sudah melakukan yang terbaik dalam mengekang kemaraan JDT,” ujarnya.-UTUSAN





Source link