Saya rasa nama vivo siri X ini bukan lagi nama yang asing dalam dunia Android. Ia bukan sahaja menawarkan spesifikasi mercu tapi kebolehan kameranya juga tidak boleh dipandang rendah. Siri vivo X300 sudah pun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, saya berpeluang untuk mencuba vivo X300 Pro selama beberapa minggu dan ini adalah ulasan penuh untuk peranti mercu terbaru vivo ini.

Spesifikasi
| Skrin | 6.78″ LTPO AMOLED, 120Hz | 4500nits, HDR10+, Dolby Vision | |
| Pemproses | Mediatek Dimensity 9500(3nm) | ||
| Cip | 1×4.21 GHz C1-Ultra | 3×3.5 GHz C1-Premium | 4×2.7 GHz C1-Pro |
| Cip Grafik | Arm G1-Ultra | ||
| RAM | 16GB LPDDR5X | ||
| Muatan Dalaman | 512GB/ Dual UFS 4.1 | ||
| Kamera Utama | ZEISS 50MP f/1.6, LYT-828 (Utama) | ZEISS 50MP f/2.0(Ultra Lebar) | ZEISS APO 200MP f/2.6, OIS, HBP (Telephoto) |
| Kamera Swafoto | ZEISS 50MP f/2 | ||
| Bateri | 6510 mAh BlueVolt | Pengecasan berwayar 90W FlashCharge | Pengecasan nirwayar 40W FlashCharge |
| SIM/Telefoni | 2 Nano, 1 eSIM | 5G Sub 6 | WiFi 7 |
| NFC | Ya | ||
| Bicu Audio | Tiada | ||
| Kalis Air | IP68/IP69 | ||
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari ultrasonik | Imbasan wajah | |
| Harga Jualan | RM 4699 (16/512GB) |
Rekaan
Kalau anda pernah pegang atau mempunyai vivo X200 Pro ia menggunakan rekaan yang sedikit melengkung pada tubuhnya namun untuk vivo X300 Pro ia telah menjadi rata dan berkotak sepenuhnya. Saya ada tanya beberapa kawan saya, ada di antara mereka lebih gemar rekaan yang melengkung itu tapi saya sendiri lebih gemar rekaan terbaru pada vivo X300 Pro ini.

Kedudukan modul kamera dengan bonggol yang tinggi ini masih lagi sama dengan model dahulu yang berbeza adalah kedudukan lampu flash sahaja yang kini terletak pada bahagian kiri peranti. Pada awal penggunaan, saya rasa bonggol kamera yang tinggi ini agak mengganggu namun selepas lama kelamaan saya sudah terbiasa dengannya.

Saya sempat pegang dan rasa berat pada vivo X200 Pro yang lepas, saya dapati yang berat pada vivo X200 Pro ini tidak seimbang kerana ia lebih berat pada bahagian modul kameranya, namun pada vivo X300 Pro ini saya dapat rasa yang beratnya lebih seimbang dan selesa untuk digenggam.

Pada siri vivo X300 kali ini, vivo telah tambah satu butang baharu iaitu shortcut button. Seperti namanya, anda boleh ubah fungsi butang ini mengikut kesukaan anda. Butang yang lain masih lagi pada kedudukan yang sama seperti butang kuasa dan aras suara yang terletak pada sisi kanan peranti. Port pengecasan USB-C, slot SIM dan pembesar suara pada bahagian bawah peranti.

Panel belakang ini menggunakan bahan binaan kaca dengan kemasan matte dan bingkai pada bahagian sisi pula adalah dari aluminium. Selain itu, saya suka dengan pilihan warna terbaru ini iaitu Dune Brown kerana ia menampakkan peranti ini lebih premium. Ia masih lagi ada pensijilan IP68/IP69 kalis air dan debu sebagai ketahanan.
Skrin
Seperti yang saya katakan tadi yang vivo X300 Pro kini menggunakan skrin yang rata sepenuhnya. Ia menggunakan panel AMOLED LTPO bersaiz 6.78” dengan resolusi UHD yang boleh mencapai sehingga 120Hz, mempunyai sokongan HDR10+ dan Dolby Vision. Tahap kecerahan adalah setinggi 4500 nits sama seperti model dahulu.

Kualiti skrin pada vivo X300 Pro ini memang tidak perlu dirisaukan lagi kerana ia sememangnya berada di tahap peranti mercu. Kerjasama dengan ZEISS bukan setakat pada kamera namun pada skrin juga mempunyai sokongan ZEISS Master Color. Skrinnya sangat responsif dengan penghasilan warna yang baik serta resolusi yang tinggi. Pengesan cap jari juga amat pantas kerana menggunakan sensor ultrasonik.

Perisian – Origin OS 6
Setelah beberapa tahun pengguna global tunggu untuk Origin OS, akhirnya ia telah rasmi untuk pengguna global dengan kehadiran siri vivo X300 ini. Buka sahaja dari kotak , vivo X300 Pro ini sudah menjalankan Origin OS 6 berdasarkan Android 16. Jujur saya katakan saya memang kurang suka dengan sistem operasi Funtouch OS dahulu dengan hadirnya Origin OS ini ia memberikan satu pengalaman yang baru.

Antaramuka pada Origin OS 6 yang dinamakan Dynamic Glow ini kelihatan lebih kemas berbanding Funtouch OS dahulu. Antaramuka ini bermain dengan elemen cahaya untuk memberikan visual yang lebih menarik. Animasi dalam ColorOS ini juga terasa sangat pantas dan lancar.

Saya tahu mungkin ada yang katakan Origin OS ini agak kelihatan seperti iOS 26 dari Apple namun bagi saya ia bukanlah sesuatu yang terlalu buruk kerana ia masih lagi dapat memberikan pengalaman penggunaan yang baik kepada pengguna. Sejujurnya saya tiada isu yang besar ketika menggunakan Origin OS 6 cuma seperti biasa ia masih lagi ada aplikasi gendut yang tersedia.


Dari segi ciri yang diberikan juga memang banyak seperti Origin Island, bentuk jam yang boleh ditukar pada kunci skrin, boleh bersambung dengan peranti Apple melalui EasyShare dan tidak lupa ciri AI yang memudahkan urusan seharian. Secara keseluruhannya, Origin OS 6 ini membuat penggunaan lebih seronok, lancar dan semestinya lebih baik jika dibandingkan dengan Funtouch OS.
Peranti menerima sokongan kemas kini sehingga 5 versi Android dan tampalan sekuriti sehingga 7 tahun. Ini adalah lebih rendah berbanding 7+7 tahun yang ditawarkan Google dan Samsung namun masih lagi baik untuk penggunaan tempoh yang panjang.
Prestasi
vivo X300 Pro merupakan peranti yang menggunakan cip mercu Mediatek yang terbaru iaitu Dimensity 9500 . Ini adalah cip yang akan bersaing dengan Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan Apple A19 Pro. Satu perkara yang menarik pada vivo X300 Pro ini adalah ia menggunakan storan UFS 4.1 selain penggunaan RAM 16GB LPDDR5X. Spesifikasi yang diberikan ini agak impresif dan berkuasa untuk peranti mercu.
Saya bandingkan vivo X300 Pro ini dengan beberapa peranti yang lain di dalam kelas yang sama seperti di bawah:
- Snapdragon 8 Elite Gen 5 – OnePlus 15
- Tensor G5 – Google Pixel 10 Pro XL
- Dimensity 9500 – Oppo Find X9 Pro
- Apple A19 Pro – Apple iPhone 17 Pro
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
- MediaTek Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
- Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| OnePlus 15 | 3,720,096 |
| Google Pixel 10 Pro | 1,214,735 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |
| Oppo Find X8 Pro | 2,629,017 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 1,720,751 |

Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| OnePlus 15 | 3553 | 10484 |
| Google Pixel 10 Pro | 2303 | 6134 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |
| Oppo Find X8 Pro | 2663 | 8959 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 3359 | 8129 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| OnePlus 15 | 6741 |
| Google Pixel 10 Pro | 3266 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |
| Oppo Find X8 Pro | 6251 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 4560 |

Berdasarkan skor ujian penanda aras ini, cip Dimensity 9500 ini sememangnya sangat berkuasa jadi penggunaan masa nyata juga terasa sangat pantas dan lancar. Saya boleh katakan, anda buatlah apa-apa tugasan pada peranti ini ia tidak ada masalah untuk menjalankannya. Pengurusan memori juga sangat baik kerana menggunakan nilai yang besar jadi tiada masalah untuk membuat pelbagai tugasan serentak.

Tugasan harian terasa sangat-sangat lancar malah untuk bermain permua juga tiada sebarang masalah yang besar untuk menggunakan tetapan yang tinggi cuma seperti biasa peranti akan memanas sedikit. Walaupun atas kertas peranti ini menggunakan dua cip UFS 4.1 namun saya tidak terasa perbezaan yang terlalu ketara dengan peranti yang menggunakan satu cip sahaja. Secara keseluruhannya, pada Dimensity 9400 yang dahulu pun saya dah terasa puas hati, Dimensity 9500 ini juga berikan kepuasan yang sama dengan kuasa yang berganda.

Kamera
Kamera adalah tumpuan utama pada vivo X300 Pro ini. Ia dilengkapi dengan lensa utama ZEISS 50MP Gimbal-Grade dengan sensor LYT-828. Lensa telefoto 200MP ZEISS APO dengan sensor HPB. Lensa ultra-lebar ZEISS 50MP dan lensa swafoto ZEISS 50MP sebagai pelengkap. Peranti ini juga turut dimuatkan dengan cip VS1 untuk penghasilan gambar yang lebih cantik.

Lensa utama ini dapat menghasilkan gambar dengan kualiti yang baik walau dalam keadaan kurang cahaya. Terdapat beberapa profil warna ZEISS yang boleh digunakan namun kebanyakan gambar yang saya ambil menggunakan tetapan vivid jadi penghasilan warna sedikit pekat dan tidak keterlaluan.



Lensa telefoto pada peranti ini sangat dahsyat, hasil gambar masih lagi kelihatan tajam walaupun pada zum 10x. Pada waktu malam juga ia masih lagi dapat mengekalkan keperincian dalam gambar. Namun saya perasan yang ada sesetengah bahagian yang oversharpen untuk kelihatan lebih tajam. Lensa telefoto ini sememangnya memberikan kepuasan untuk saya sendiri yang sukakan komposisi yang ketat.





Lensa ultra-lebar ini sama sahaja dengan model yang terdahulu namun ia bukanlah perkara negatif kerana dapat menghasilkan kualiti gambar yang baik seperti lensa yang lain. Warna juga tidak terlalu berbeza daripada lensa utama.



Disebabkan siri vivo X300 ini menggunakan lensa dari ZEISS secara tak langsung ia mempunyai salutan T* untuk mengurangkan masalah lens flare dan memang benar kerana pada gambar waktu malam memang saya tidak nampak sebarang flare yang terhasil dari cahaya.




Sebagai peranti mercu, vivo X300 Pro ini juga dilengkapi ciri profesional seperti kebolehan merakam sehingga 4K 120FPS dengan sokongan Dolby Vision serta rakaman dalam mod 10-Bit LOG dalam resolusi yang sama.
Bateri
Dalam kebelakangan ini jenama dari China telah menawarkan kapasiti bateri yang agak besar untuk peranti mereka, vivo X300 Pro ini juga tidak terkecuali. Dengan bateri berkapasiti 6510 mAh yang menggunakan teknologi SiC. Nilai kapasiti yang besar itu boleh berikan sehingga 7 jam jika penggunaan yang berat seperti banyak bermain dengan kamera tapi saya yakin ia akan lebih tinggi dengan penggunaan sederhana.

Pengecasan juga tidak mengecewakan walaupun tiada apa-apa yang baharu. Anda masih akan mendapat 90W FlashCharge secara berwayar yang memakan masa kurang dari 1 jam untuk mengecas dari 20% hingga penuh. Selain itu, peranti ini turut dilengkapi dengan pengecasan nirwayar 40W FlashCharge sebagai pelengkap.
Pembesar Suara
Sebagai peranti mercu, vivo X300 Pro dilengkapi dengan pembesar suara stereo namun ia tiada apa-apa sokongan seperti Dolby Audio dan sebagainya. Kualiti bunyi yang dihasilkan agak kurang memuaskan pada pandangan saya. Bunyi yang dihasilkan kuat tapi terasa agak kosong dan kurang dinamik. Ini sahajalah isu terbesar saya dengan vivo X300 Pro.
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x vivo X300 Pro
- 1 x Kabel USB-A ke USB-C
- 1 x Pengecas USB-A 90W FlashCharge
- 1 x Kerangka
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan
vivo X300 Pro ini sememangnya peranti dalam kelas mercu yang cukup baik untuk pelbagai jenis pengguna. Jika anda seorang pengguna professional, ia mampu memberikan prestasi yang baik atau jika anda pengguna kasual ia boleh memberikan pengalaman yang sangat baik. vivo X300 Pro dijual pada tanda harga RM4699 untuk model 16/512GB, untuk ciri pro yang ditawarkan harga ini boleh diterima akal dan anda juga boleh dapatkan Telephoto Extender Kit untuk memberikan kepuasan yang berganda menggunakan sistem kamera vivo X300 Pro ini.

Pro
- Rekaan rata dan berkotak.
- Cip pemproses yang berkuasa.
- Penggunaan storan UFS 4.1.
- Hasil Kamera ZEISS menakjubkan.
- Kapasiti bateri besar.
- Sokongan kemas kini 5+7 tahun.
Kontra
- Pembesar suara kurang memuaskan.
- Terdapat gambar terlalu diproses.
- Rekaan sama seperti tahun lalu.







