Malaysia Oversight

Ulasan Samsung Galaxy Z Flip7 – Lipatan Yang Kemas Tapi Belum Sempurna

By Amanz in September 2, 2025 – Reading time 11 minute
Ulasan Samsung Galaxy Z Flip7 – Lipatan Yang Kemas Tapi Belum Sempurna


Pada bulan lepas, Samsung telah melancarkan dua buah peranti boleh-lipat yang memfokuskan kepada pengguna-pengguna berbeza. Jika Samsung Galaxy Z Fold7 adalah peranti premium untuk mereka yang lebih mementingkan produktiviti dan penggunaan skrin yang lebih besar, Samsung Galaxy Z Flip7 pula boleh saya katakan adalah untuk mereka yang lebih cenderung kepada gaya hidup minimalis tetapi mahukan sebuah peranti yang “bergaya”.

batch DSC06554

Sebagai seorang yang sudah biasa menggunakan peranti pintar candy bar dengan kedua-dua sistem operasi Android dan iOS untuk sekian lamanya, kali ini saya diberi peluang untuk mencuba sendiri peranti boleh-lipat padat baru keluaran Samsung ini, dan saya rasa saya cukup menyukainya, walaupun terdapat beberapa isu yang masih membelenggu peranti ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy Z Flip7 5G
Skrin Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, FHD+, 120Hz, HDR10+ Luar – 4.1″ Super AMOLED, 720 x 748, 60Hz
Pemproses Samsung Exynos 2500 (3nm)
Cip 1x 3.3GHz Cortex-X5 2x 2.74GHz Cortex-A725 5x 2.36GHz Cortex-A725 2x 1.8GHz Cortex-A520
Cip Grafik Xclipse 950
RAM 12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman Sehingga 512 GB UFS 4.0
Kamera Utama 50 Megapixel f/1.8, OIS 12 Megapixel f/2.2
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman 10 Megapixel f/2.2
Bateri 4300mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 15W
SIM/Telefoni Nano/5G
NFC Ya
Bicu Audio Tiada
Kalis Air IP48
Sistem Imbasan Pengimbas cap jari sisi
Harga Jualan RM4,399 (12/256 GB)
RM4,999 (12/512 GB)

Dari segi rekaan peranti, Samsung Galaxy Z Flip7 memperlihatkan beberapa perbezaan ketara apabila dibandingkan dengan model sebelumnya. Apabila peranti dibuka ke saiz penuh, ia dilihat hadir dengan paparan skrin Foldable Dynamic LTPO AMOLED 2X bersaiz 6.9 inci dengan resolusi 1080 x 2520 pixel, kadar segar semula 120Hz dan nilai kecerahan 2600 nit.

batch DSC06522

Flex Window pada peranti Z Flip7 juga kini hadir dengan sasiz yang lebih besar. Samsung kini memuatkan skrin Super AMOLED bersaiz 4.1 inci dengan resolusi 948×1048 pixel dan kadar segar semula 120Hz bersama nilai kecerahan 2600 nit sama seperti paparan utama, dan kedua-dua skrin ini hadir dengan kaca Gorilla Glass Victus 2 yang terbaru.

batch DSC06529

Paparan Flex Window juga menggunakan keseluruhan ruang belakang paparan utama yang boleh dimanfaatkan untuk menggunakan aplikasi dengan lebih baik, khususnya bersama aplikasi Good Lock yang membolehkan anda menggunakan pelbagai jenis aplikasi pada paparan kecil tersebut.

Seperti peranti sebelumnya, butang kuasa peranti Z Flip7 juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari, dan menariknya, butang laras suara kini boleh digunakan dengan lebih tepat bergantung kepada orientasi peranti. Ini membolehkan pengubahsuaian kelantangan bunyi diubahsuai dengan lebih intuitif, tidak kira anda menggunakan paparan utama ataupun paparan Flex Window.

batch DSC06533

Jika anda musykil tentang sokongan NFC pula, sama seperti model sebelum ini, keseluruhan paparan Flex Window boleh digunakan untuk imbasan teknologi tersebut.

Bercakap mengenai kedua-dua paparan ini, kita juga tidak boleh lupakan teknologi engsel paparan terbaru Samsung, iaitu Samsung Armor FlexHinge yang digunakan pada peranti ini, sama seperti apa yang diperlihatkan pada Samsung Galaxy Z Fold7.

batch DSC06617

Disamping membolehkan peranti ini hadir dengan rekaan yang lebih nipis, ia juga memanjangkan jangka hayat lipatan peranti ini dan daripada apa yang saya dapat lihat, mengurangkan kesan lipatan yang dapat diperlihatkan pada paparan utama apabila ia digunakan.

Saya menetapkan paparan skrin pada kecerahan auto, dan melalui penggunaan harian, kesan lipatan hanya boleh dilihat apabila cahaya yang sangat terang dipancarkan kepada paparan utama, memperlihatkan sedikit liku-liku pada bahagian tengah skrin. Ia juga dapat dirasakan apabila anda menggerakkan jari di bahagian tengah-tengah paparan ini.

batch DSC06545

Tetapi selain daripada itu, lipatan skrin peranti ini dilihat cukup kemas sekali, dan tiada ruang kosong di bahagian tengah. Pada pendapat saya, ini adalah rekaan peranti Z Flip yang terbaik setakat ini.

Satu aspek yang dikekalkan daripada model sebelum ini ialah sistem kameranya. Sama seperti Samsung Galaxy Z Flip6, model Z Flip7 mengekalkan penggunaan sistem dwi-kamera 50MP f/1.8 dan 12MP f/2.2 sebelumnya.

Sama seperti Samsung Galaxy Z Fold7, peranti lebih kecil ini tampil dengan sistem operasi Android 16 dengan gandingan antaramuka OneUI 8 yang terbaru, dimana Samsung menjanjikan tujuh kemaskini sistem operasi utama di masa akan datang, dan ini sangat baik untuk mereka yang kekal menggunakan peranti sama untuk tahun-tahun akan datang.

batch DSC06539

Beralih kepada spesifikasi peranti, Samsung Galaxy Z Flip7 dikuasakan dengan cip pemprosesan Samsung Exynos 2500, dan merupakan satu-satunya peranti Samsung yang menggunakan cip pemprosesan ini. Ia digabungkan dengan 12GB memori LPDDR5X dan pilihan storan 256GB tanpa pilihan untuk menambah storan. Bergantung kepada corak penggunaan anda, jumlah storan yang ditawarkan samada akan mencukupi, atau anda akan merasa kekangannya dengan kadar yang cepat.

Dari segi bateri pula, Samsung Galaxy Z Flip7 tampil dengan bateri 4300mAH, hanya 100mAH lebih kecil apabila dibandingkan dengan Samsung Galaxy Z Fold7 dan mempunyai kelajuan pengecasan berwayar 25W menggunakan teknologi QuickCharge 2.0 dan sokongan pengecasan nirwayar 15W.

Antaramuka

Antaramuka Samsung OneUI 8 pada pendapat saya adalah cukup kemas sekali, dengan pelbagai fungsi-fungsi penting mudah diakses dengan senang kerana rekaannya yang lebih tirus berbanding dengan banyak peranti lain.

Satu ciri yang saya tidak sangka saya sering gunakan ialah Edge Panel, sebuah menu pintasan yang merumahkan sejumlah ciri-ciri seperti AI Select untuk tangkapan layar teks dalam bahasa yang saya tidak fahami dan mahu penterjemahan cepat dan mudah, dan juga Now Brief yang memberikan saya tanggapan sejenak tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling saya dan juga tugasan-tugasan saya dan rakan sekerja untuk sepanjang hari tersebut.

Screenshot 20250821 172728 One UI Home
Screenshot 20250821 173020 One UI Home
Screenshot 20250821 172700 One UI Home
Screenshot 20250821 172719 One UI Home
Screenshot 20250821 172742 Phone
Screenshot 20250821 172753 One UI Home
Screenshot 20250821 172827 Settings
Screenshot 20250821 172913 Samsung Health
Screenshot 20250821 172959 Samsung Health

Pintasan Edge Panel juga boleh diubahsuai dengan mudah dan cepat, dan memberi anda pilihan untuk mengakses aplikasi-aplikasi yang sering digunakan tanpa perlu menatal menu peranti, sekiranya paparan utama anda sudahpun penuh dengan pintasan untuk aplikasi-aplikasi lain.

Samsung juga kini memudahkan anda untuk menukar rekaan antaramuka OneUI dengan rekaan yang lebih anda senangi, cumanya saya berasa sedikit terkilan bahawa pilihan percuma untuk antaramuka ini tidak begitu banyak berbanding dengan pilihan berbayar. Walaupun begitu, saya faham bahawa banyak daripada rekaan ini hadir daripada individu yang membangunkannya, dan tidak semestinya hadir melalui Samsung sendiri.

Satu lagi fungsi baru yang diperkenalkan pada peranti ini ialah Samsung DeX yang membolehkan anda untuk menyambungkan peranti ini kepada sebuah paparan skrin dan membolehkannya digunakan sebagai sebuah komputer.

Flex Screen

Flex Screen baru pada Samsung Galaxy Z Flip7 ini bagi saya adalah salah satu daripada dua kemaskini terbesar pada siri peranti ini. Ia akhirnya hadir dengan paparan yang memenuhi bahagian belakang peranti utama apabila ditutup, dan kini akhirnya boleh dikatakan sebagai tarikan utama penggunaan peranti ini.

batch DSC06584

Walaupun begitu, apabila digunakan terus dari kotak, paparan Flex Screen ini hanya boleh digunakan sebagai skrin untuk memperlihatkan widget-widget tertentu sahaja. Untuk memanfaatkan paparan skrin 4.1 inci ini “sepenuhnya” dengan menggunakan aplikasi-aplikasi yang anda sudah muat-turun pada peranti ini, anda akan perlu memuat-turun aplikasi Good Lock daripada gedung aplikasi Samsung Store dan kemudian menggunakan fungsi MultiStar didalam aplikasi tersebut untuk “mengaktifkan” penggunaan aplikasi.

batch DSC06571

Untuk menggunakan fungsi MultiStar, anda hanya perlu ke menu tetapan peranti, masuk ke dalam tetapan Cover Screen dan menambahkan ciri MultiStar sebagai sebuah widget ke dalam Flex Screen tersebut. Kemudiannya anda boleh menambahkan pintasan aplikasi-aplikasi yang sudahpun dipasang pada peranti, dan apabila anda mengaktifkan paparan Flex Screen, aplikasi-aplikasi tersebut boleh diakses dan digunakan terus daripada widget MultiStar tersebut.

batch DSC06596

Sebagai tambahan, anda boleh mengubahsuai nisbah aspek aplikasi yang dipaparkan pada Flex Screen untuk memudahkan akses kepada pilihan menu yang mungkin terletak di bahagian bawah aplikasi. Ini adalah satu lagi aspek kemudahan penting kerana lensa kamera Z Flip7 mungkin akan menghalang kepada akses menu tertentu pada aplikasi tersebut.

Di antara aplikasi-aplikasi yang saya sering gunakan dengan Flex Screen adalah seperti Youtube dan Netflix untuk tontonan video tanpa memerlukan paparan utama, WhatsApp dan Telegram untuk melihat sejenak mesej-mesej yang masuk (dan juga membalasnya, jika perlu) dan juga permua Honkai Star Rail untuk membuat daily quests.

Kamera

Tidak banyak yang saya boleh katakan tentang kamera Samsung Galaxy Z Flip7 ini kerana ia merupakan sistem kamera yang sama digunakan pada peranti Z Flip6 sebelumnya. Tetapi oleh kerana ini adalah kali pertama saya menggunakan peranti siri ini, saya akan katakan bahawa sistem kamera ini adalah salah satu daripada beberapa perkara yang saya kurang gemari tentang peranti ini.

batch DSC06540

Kualiti gambar yang dihasilkan oleh kamera peranti ini bergantung kepada sama ada subjek yang anda tangkap mempunyai pencahayaan yang mencukupi dan angka zum yang digunakan. Apabila subjek berada dalam keadaan terang atau cerah, dan jumlah zum yang digunakan tidak melebihi 2X, gambar yang diambil secara lazimnya adalah terang dan tajam.

Dalam keadaan malap ataupun gelap, saya akan katakan bahawa kualiti gambar yang diambil merudum terus, penuh dengan noise, dan gambar jarang sekali dapat diambil dalam keadaan tajam.

image 74
20250805 161926 scaled e1755148308444
20250807 152532 scaled e1755148554321
20250821 181111
20250821 181114
20250821 181117
20250821 181121

Apabila jumlah zum melangkaui angka 2X tersebut, gambar yang diambil dalam keadaan cerah akan menjadi pudar, hilang seri warna, dan dalam keadaan gelap, kualiti gambar dilihat menjadi lebih teruk dari sebelumnya.

AD 4nXdKitjohU3 VScXF5ChRwk1DKYo6dJ5EipIghCsin aL1JgjywjCxFLLMax5Nt9QgNLyhttQHZ9NTX1xtHY66v 60pBAUTkO9qEmBlKp fx41eyeIOQ2LqWVdK9K90x2qle 6Q?key=YPCDyDBMcd6BL5FjwwR5cg
AD 4nXdcNJdcM ZAg Gzs0V4aA6rL85XUXsqyG4zC2pzCboOKwqKUNyaDmJlZmIZ0POwVn nJ kPrc wcqZnPXjOLVWkr7E5Vaupa

Tetapi untuk gambar selfie, mod Flex Cam menjadikan pengambilan gambar berbentuk petak sangat mudah untuk dilakukan, dan butang kelantangan audio boleh digunakan sebagai butang katup kamera untuk memudahkan lagi pengambilan gambar. Ia juga boleh dimanfaatkan sebagai peranti “webcam” untuk sesi panggilan video ataupun telesidang yang unik.

Pengalaman Pengguna

Salah satu sebab mengapa saya mengulas tentang peranti Samsung Galaxy Z Flip7 ini adalah untuk mengetahui sekiranya saya boleh hidup tanpa menggunakan peranti pintar yang hadir dengan cip pemprosesan paling berkuasa di pasaran sekarang.

Saya juga mahu mencuba sebuah peranti yang unik dan tidak hadir dengan rekabentuk candy bar semata-mata, jadi apabila Samsung Galaxy Z Flip7 ini masuk ke makmal kami untuk diulas, saya telah meminta untuk mengujinya.

batch DSC06562

Setelah menggunakannya sebagai satu-satunya peranti pintar saya untuk beberapa minggu, saya boleh katakan bahawa ia adalah peranti yang baik untuk kegunaan harian biasa. Saya tidak akan nafikan bahawa fungsi lipatan peranti Z Flip7 ini masih dilihat sebagai satu gimik untuk saya, tetapi ia masih mempunyai fungsinya tersendiri.

batch DSC06580

Siapa sahaja yang tidak suka peranti kecil yang mudah dimasukkan ke dalam kocek ataupun beg tangan dan tidak makan begitu banyak ruang? Atau menggunakan paparan skrin Flex Window untuk menonton kandungan video dengan peranti dalam keadaan berdiri yang tidak merosakkan nisbah aspek kandungan, ataupun untuk melihat notifikasi yang masuk dengan sekilas pandang sahaja?

batch DSC06569

Satu aplikasi yang saya tidak jangkakan bahawa saya akan sering gunakan ialah Samsung Health. Digabungkan dengan peranti Samsung Galaxy Watch 8 (ulasan akan menyusul), aplikasi ini memberikan saya butiran-butiran tentang senaman yang saya lakukan (jalan pantas di atas treadmill), dan akan membekalkan butiran seperti kelajuan berjalan, purata kadar degupan jantung, penggunaan oksigen dan kalori yang dibakar.

batch DSC06606

Jika anda baru mahu belajar berlari untuk jarak singkat dan sederhana, Samsung Health juga kini memperkenalkan fungsi Running Coach yang akan membantu anda memulakan proses pembelajaran tersebut. Fungsi ini perlu dimanfaatkan bersama-sama jam Samsung Galaxy Watch untuk pengalaman yang terbaik.

Dari segi prestasi pula, saya akan katakan bahawa cip pemprosesan Samsung Exynos 2500 yang digunakan dalam peranti ini adalah cukup berkuasa untuk kegunaan harian anda. Digabungkan dengan skrin yang mempunyai kadar segar semula tinggi, sebarang tatalan yang dilakukan, tugasan produktiviti atau riadah yang dibuat semuanya boleh dilakukan dengan lancar, tidak kira melalui paparan utama ataupun Flex Window.

batch DSC06598

Walaupun begitu, ini bukanlah untuk mengatakan bahawa peranti ini tidak mempunyai isu-isunya tersendiri. Jika anda tidak suka peranti yang menjadi suam atau panas dalam masa yang singkat, saya perlu mengatakan bahawa perkara ini sangat sering berlaku pada Z Flip7.

Tidak kira apa pun aplikasi yang dibuka, sama ada Twitter, Facebook, WhatsApp ataupun aplikasi kamera, jika anda menggunakan peranti ini untuk lebih daripada dua ke tiga minit, bersedialah untuk suhu peranti ini naik dengan cepat.

AD 4nXcYlJMT nKu6 2HLFwSejzCtfJG 7yAz SlImapGRcc5TJIjD3fay4mKWL8D5 63ps7HCYVkxDbXKvsq ZHx7WpK33KoMc8oTS1Yb3USf5zqKqCFt6ixbtimYf1IrzhC7WqKTIK g?key=YPCDyDBMcd6BL5FjwwR5cg

Isu ini dapat dirasakan paling cepat apabila anda menggunakan sistem kamera. Perkara ini tidak begitu mengejutkan khususnya apabila anda sedari bahawa bahagian SoC dan modul kamera terletak di antara dua paparan skrin. Kenipisannya mungkin menyebabkan Samsung tidak boleh menyediakan penebat haba yang mencukupi untuk mengelak daripada pengguna merasakan betapa panasnya peranti ini apabila digunakan untuk lebih daripada beberapa minit sahaja.

Saya juga mempunyai pendapat tentang penggunaan bateri dan pengecasannya, yang saya akan terangkan di bawah.

Bateri

Samsung Galaxy Z Flip7 dilengkapi dengan bateri berkapasiti 4300mAH, hanya 100mAH lebih rendah berbanding dengan Samsung Galaxy Z Fold7. Jika anda membaca ulasan tentang peranti tersebut, Effi telah berkata bahawa kapasiti bateri ini tidak mencukupi untuk kegunaan seharian.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan peranti tersebut dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite yang sangat berkuasa, disamping penggunaan paparan skrin boleh-lipat dengan saiz dan resolusi yang besar.

Jadi bagaimanakah prestasi bateri peranti Galaxy Z Flip7 pula? Saya boleh katakan bahawa untuk kapasiti bateri yang tidak begitu besar ini, peranti ini mempunyai ketahanan bateri yang tinggi. Saya memberikan dua senario penggunaan, satu ialah apabila saya hanya ke pejabat dan melakukan tugasan-tugasan harian, dan satu lagi apabila saya perlu ke lokasi acara dan melakukan laporan di sana.

Dalam senario pertama, peranti hanya digunakan untuk melayar web, menatal platform media sosial dan untuk menonton video YouTube/Netflix sewaktu makan tengah hari dan malam, dan juga untuk menstrim lagu melalui Spotify apabila memandu ke dan pulang dari kerja.

Untuk senario ini, saya dapati bahawa peranti ini hadir dengan angka screen-on time setinggi 8-9 jam dengan baki bateri sekitar 20-30 peratus pada penghujung malam, kira-kira 9 malam.

image 77
image 75

Dalam senario kedua pula, apabila saya akan ke sebarang acara pelancaran dan lain-lain, saya akan menggunakan aplikasi GPS seperti Waze atau Google Maps untuk mencari jalan terpantas untuk ke lokasi acara, dan kemudiannya menggunakan fungsi hotspot internet untuk menyambungkan komputer riba ke internet untuk menulis laporan. Untuk keseluruhan hari, penggunaan peranti adalah seperti biasa.

Untuk senario penggunaan kedua, peranti mencatatkan penggunaan screen-on time kira kira tujuh jam, dengan peratusan bateri tinggal 15-20 peratus pada jam 7-7.30pm. Pernah sekali saya lihat bahawa jumlah screen-on time peranti saya bertahan hanya selama 5 jam dan kira-kira 12 jam penggunaan penuh, tetapi itu adalah hanya kerana saya menggunakan aplikasi Google Maps selama dua jam sepanjang hari.

Bagi saya, optimasi jangka-hayat bateri yang dilakukan oleh Samsung untuk peranti ini adalah sangat baik dari segi ketahanan sepanjang hari. Bergantung kepada corak penggunaan anda, penggunaan sepanjang hari sangat mudah dicapai, dan tiada isu dari segi prestasi peranti dapat diperlihatkan.

Akan tetapi, satu kekurangan ketara pada Samsung Galaxy Z Flip7 ialah kuasa pengecasannya yang sangat perlahan. Sama seperti Samsung Galaxy Z Fold7, peranti ini hanya menyokong pengecasan berwayar 25W, yang pada pendapat saya adalah sangat perlahan.

Ya, pengecasan dari hampir kosong ke sekitar 50 peratus tidak mengambil masa begitu lama, tetapi jika anda mahu mengecas peranti anda ke 100 peratus sekali harum, ia akan mengambil masa sekitar sejam 30 minit untuk melakukannya.

Saya juga tidak menyarankan anda menggunakan peranti ini untuk jangka masa lama apabila ia sedang dicas. Jika anda hanya menatal platform media sosial ataupun melihat mesej-mesej yang masuk, ini adalah perkara yang biasa, tetapi saya tidak akan gunakan peranti ini untuk menonton video ataupun menggunakan aplikasi yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi sewaktu ia dicas. Peranti akan menjadi sangat panas, dan pernah pada satu ketika kesemua aplikasi-aplikasi ditutup secara paksa kerana perkara ini.

Penanda-Aras

Ini adalah beberapa skor penanda-aras untuk peranti Samsung Galaxy Z Flip7 yang telah kami uji.

Geekbench 6

Screenshot 20250714 124758 Geekbench 6
Screenshot 20250714 131405 Geekbench 6

PCMark Work 3.0

Screenshot 20250714 133653 PCMark

3DMark Wild Life Extreme

Screenshot 20250714 141504 3DMark

Antutu

Screenshot 20250714 150443 AnTuTu Benchmark

Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang anda akan terima apabila anda membeli sebuah peranti Samsung Galaxy Z Flip7:

  • 1x Samsung Galaxy Z Flip7
  • 1x kabel pengecasan USB Type-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x Manual

Penutup

Jika anda mahukan sebuah peranti padat yang serba boleh dengan gimik-gimik menarik, saya akan katakan bahawa Samsung Galaxy Z Flip7 adalah sebuah peranti yang sekurang-kurangnya anda perlu pertimbangkan dalam pilihan pembelian anda.

batch DSC06542

Samsung telah menaiktarafkan paparan Flex Window untuk memenuhi keseluruhan panel belakang paparan utama, mengoptimasikan bateri dan juga merupakan satu-satunya peranti Samsung yang menggunakan cip pemprosesan Samsung Exynos 2500 yang memperlihatkan prestasi yang lancar untuk kegunaan harian.

Buat masa ini, Samsung Galaxy Z Flip7 merupakan satu-satunya peranti siri flip baru yang telah dilancarkan di Malaysia. Secara teknikalnya, Xiaomi MIX Flip 2 sudahpun tampil di beberapa pasaran tertentu, tetapi Xiaomi Malaysia masih tiada pelan untuk membawanya masuk untuk pasaran tempatan, manakala OPPO masih belum memperlihatkan penawaran Find N Flip terbaru mereka.

Pro:

  • Prestasi peranti yang memuaskan
  • Kesan lipatan kemas dan tidak terlalu menonjol
  • Jangka hayat bateri yang panjang
  • Paparan FlexWindow yang lebih besar
  • Ekosistem aplikasi dan ciri-ciri yang sangat baik
  • Sokongan kemas kini sistem operasi 7+7 tahun.

Kontra:

  • Pengecasan perlahan
  • Modul kamera yang lama
  • Cepat menjadi panas
Skor Samsung Galaxy Z Flip7



Source link