Saya sekarang di Belfast, Ireland Utara untuk menghadiri pelancaran Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition. Perjalanan dari Asshai (Malaysia) merentasi Lautan Dothraki (India) sebelum merentasi Narrow Sea (Selat England) untuk tiba ke Westeros (Ireland) mengambil masa 15 jam. Seperti ada serendipiti menghadiri mengambil masa yang sama dengan nombor peranti yang dilancarkan.
Selepas menggunakan Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition selama beberapa hari, ini pendapat saya mengenainya dan bagaimana ia berbeza dengan Realme 15 Pro yang dilancarkan sebelum ini.

Spesifikasi
| Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition | ||||
|---|---|---|---|---|
| Skrin | 6.8-inci, 1280 x 2800 piksel | OLED, 144Hz, 6500 nits (peak) | 19.5:9 ratio (~453 ppi) | Corning Gorilla Glass 7 |
| Pemproses | Snapdragon 7 Gen 4 (4nm) | |||
| Cip | 1 x 2.8 GHz Cortex-720 | 4 x 2.4 GHz Cortex-720 | 3 x 1.8 GHz Cortex-520) | |
| Cip Grafik | Adreno 722 | |||
| RAM | 12GB RAM LPDDR4x | |||
| Muatan Dalaman | 512GB UFS 3.1 | (tiada kad mikroSD) | ||
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.8 (lebar), PDAF, OIS | 50 MP, f/2.0 (ultra-lebar) | 4K@30/60FPS | |
| Kamera Depan | 50 MP, f/2.4 (lebar), | 4K@30/60fps | 1080p@30/60fps | |
| Bateri | Si/C Li-Ion 7000 mAh | 80W berwayar | ||
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano | |||
| NFC | Ya | |||
| Infra Merah | Ya | |||
| Kalis Air | IP69 | |||
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari | Imbasan wajah | ||
| Harga Jualan | RM2099 (12/512GB) |
Pengalaman Penggunaan
Sepanjang menggunakan Realme 15 Pro 5G, saya mendapati reka bentuknya selesa dan sesuai untuk kegunaan harian. Kita mulakan dengan skrin OLED dengan kadar segar semula sehingga 144Hz yang membuatkan tatalan terasa lancar. Ia bukan dari jenis LTPO tetapi memadai untuk peranti kelas pertengahan

Saya kurang gemar dengan skrin yang melengkung tetapi ia masih popular digunakan pada peranti kelas pertengahan. Dengan skrin OLED semuanya nampak terang dan jelas walaupun dalam situasi pencahayaan yang terang. Panel menyokong HDR10+ tetapi dalam Netflix hanya resolusi HD dan HDR biasa sahaja disokong.
Pengimbas cap jari terbina pada skrin dari jenis optikal. Ianya pantas dan responsif walaupun bukan dari jenis ultrasonik. Imbasan wajah juga disokong dengan nyahkunci lebih pantas berbanding menggunakan imbasan jari.

Tubuh peranti sangat selesa dalam tangan kerana penggunaan panel “kulit naga” di bahagian belakang serta jata naga keluarga Targaryen. Tekstur kasar kulit ini membuatkan peranti tidak licin dan tidak mengumpul kotoran jari dengan mudah.
Kulit ini akan berubah warna daripada hitam ke merah Lannister apabila mencapai suhu sekitar 45 darjah Celsius. Ciri menarik tetapi warna merah ini tidak kekal lama. Ia juga hanya diaktifkan apabila terkena air panas. Apabila memainkan permua panel belakang tidak memanas secukupnya untuk ia berubah warna.

Selain kulit naga, bahagian logam peranti semuanya berwarna emas membuatkan telefon ini nampak premium. Bonggol kamera pada versi Game of Thrones juga lebih besar membuatkan panel belakang nampak lebih seimbang berbanding varian Realme 15 Pro biasa.
Terdapat dua cengkaman naga dan jata 9 keluarga terbesar di Westeros diukir pada permukaan kaca bonggol kamera. Bonggol paling besar mempunyai moto Targaryen “Fire and Blood” diukir. Pada gelang besi kamera pula terdapat ukiran moto Lannister “Hear Me Roar” dan Stark “Winter is Coming”. Ini ialah beberapa keperincian pada peranti yang hanya akan disedari peminat tegar GoT.

Ciri Pulse Light turut dikekalkan dengan lampu ini akan menyala untuk beberapa fungsi seperti notifikasi mesej, mod GT dan kamera. Ia masih berwarna putih dan saya sedikit kecewa ia tidak berwarna merah yang boleh membuatkannya kelihatan seperti mata seekor naga.
Melengkap spesifikasi peranti mempunyai pemancar infra merah di bahagian atas, sepasang speaker stereo, sokongan NFC, dan tubuh melepasi piawaian IP69
Perisian dan Penggunaan
Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition dilengkapi dengan cip Snapdragon 7 Gen 4 bersama memori RAM 12GB dan storan 512GB. Walaupun ia peranti edisi terhad tiada usaha menambah lebih banyak RAM atau storan lebih besar. Semua perubahan dilakukan pada bahagian luaran serta estetik sahaja

Memori boleh ditambah sebanyak 14GB lagi menerusi sistem RAM Expansion maya. Sepanjang ulasan saya menetapkan memori maya ke 4GB RAM sahaja dan ia sudah mencukupi untuk pelbagai keperluan aplikasi. Harus saya tegaskan untuk majoriti pengguna, memori asas 12GB sebenarnya lebih daripada cukup dan RAM Expansion boleh dimatikan tanpa perubahan prestasi.
Sistem operasi Android 15 digunakan bersama antaramuka Realme UI 6.0 dengan Realme menjanjikan sokongan 3 kemas kini versi Android dan 4 tahun tampalan sekuriti. Ini ialah memuaskan bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Hanya Samsung sahaja menawarkan sokongan lebih lama untuk peranti kelas ini. Galaxy A56 misalnya menerima sokongan 6+6 tahun sebagai standard.
Sepanjang penggunaan, Realme 15 Pro 5G berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah. Tatalan antaramuka lancar, animasi kelihatan kemas dan aplikasi dibuka serta dimuat turun dengan pantas. Secara keseluruhan, saya tidak menghadapi masalah besar semasa menggunakan peranti ini untuk aktiviti harian.

Tetapi ia masih tidak selancar peranti kelas mercu sebenar kerana memori hanya LPDDR4x dan storan pula UFS 3.1 sahaja. Sebagai pengguna peranti mercu saya dapat merasakan pemasangan dan proses melancarkan aplikasi masih tidak sepantas kilat yang dinikmati pada Realme GT7 Pro yang diulas tahun lepas.
Antaramuka dengan tema Ice dan Fire diberikan sebagai dua pilihan. Pek hadir dengan skrin latar belakang, animasi skrin kunci dan pek ikon yang menggunakan tema Game of Thrones. Skrin but juga diubah mengikut terma bersama dengan animasi apabila mengaktifkan mod GT. Ia mengingatkan saya kepada tema Coca Cola pada Realme 10 Pro beberapa tahun yang lalu. Sekilas pandang memang unik serta tersendiri. Tetapi apabila dikorek dalam sedikit kekurangan mula terdedah.

Pertama sekali tema hanya pada bahagian hadapan peranti. Apabila membuka aplikasi, wajah setiap aplikasi kembali normal. Nampak canggung apabila tema berubah daripada tema naga menjadi Google Material Design. Skrin tetapan aplikasi, aplikasi telefon, mesej, Photos dan banyak lagi tidak berubah. Lebih canggung tiada nada dering lagi tema Game of Thrones yang ikonik disertakan.
Ini kekecewaan paling besar buat saya kerana saya tergolong dalam kumpulan peminat tegar. Kerana kecewa, saya muat turun nada dering lagu tema yang digubah Ramin Djawadi pada telefon ini. Kalau anda ingat pada tema Coca Cola dahulu ada bunyi gelembung buih dan membuka botol Coca Cola yang membuat peranti benar-benar terasa lebih eksklusif. Wakil Realme mengesahkan lagu tema Game of Thrones tidak ditawarkan sebagai nada dering kerana isu pelesenan.

Terdapat pelbagai ciri pintar yang memudahkan tugasan harian. Sebagai contoh, Sketch to Image membolehkan saya menukar lakaran kepada gambar yang lebih realistik manakala AI Recording Summary membantu meringkaskan rakaman mesyuarat atau kelas secara automatik.
Saya turut menggunakan AI Copywriting untuk menjana kapsyen menarik lengkap dengan emoji. Sementara itu, Smart Loop boleh mengenal pasti tindakan saya dan mencadangkan aplikasi yang sesuai secara serta-merta sama seperti ciri Magic Portal yang terdapat pada peranti Honor.

Sistem kamera ini menyokong beberapa ciri menarik seperti Ultra Clarity untuk meningkatkan ketajaman imej yang kabur, Motion Deblur bagi menjadikan subjek yang bergerak kelihatan lebih jelas dan Eraser 2.0 untuk menghapuskan objek yang tidak diingini dengan mudah. Selain itu, ciri Best Face membolehkan pembetulan pada mata yang tertutup dalam gambar manakala AI Studio pula membolehkan pengguna menghasilkan pelbagai gaya visual daripada satu imej.

Saya juga mendapati fungsi Touch to Share sangat berguna kerana ia memudahkan perkongsian gambar dan video antara peranti Android dan iOS dengan hanya satu sentuhan. Namun begitu, kehadiran bloatware masih menjadi isu dan kadangkala menjejaskan pengalaman penggunaan secara keseluruhan.
Penanda Aras
Berikut ialah beberapa markah penanda aras yang sempat direkodkan untuk Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition. Jelas Snapdragon 7 Gen 4 ialah pemproses kelas pertengahan yang memadai untuk pelbagai aplikasi lazim, media sosial, suntingan video asas dan permua dengan tetapan grafilk pertengahan
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Snapdragon 7 Gen 4 | 1,012,352 |
| Dimensity 8400-Ultra | 1,590,533 |
| Dimensity 8450 | 1,437,541 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 788,110 |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 1,524,100 |
| Tensor G4 | 1,016,712 |
Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Snapdragon 7 Gen 4 | 1201 | 3540 |
| Dimensity 8400-Ultra | 1575 | 6121 |
| Dimensity 8450 | 1615 | 6174 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 1146 | 3123 |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 1137 | 3130 |
| Tensor G4 | 1916 | 4644 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Snapdragon 7 Gen 4 | 6368 |
| Dimensity 8400-Ultra | 3839 |
| Dimensity 8450 | 3780 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 1037 |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 5334 |
| Tensor G4 | 2567 |
Dari segi pengalaman permua, saya dapat memainkan Honor of Kings (HOK) sehingga 120FPS dengan kadar bingkai yang stabil. Ini memberikan pengalaman yang lancar dan memuaskan, terutama bagi pengguna yang mementingkan prestasi grafik. Dari segi suhu, peranti terasa suam semasa sesi permainan biasa tetapi menjadi agak panas ketika menjalankan ujian penanda aras.

Kamera Dan Hasil Gambar
Realme 15 Pro 5G mempunyai dua kamera utama 50MP. Kamera pertama ialah lensa sudut lebar dengan autofokus dan penstabilan imej optikal (OIS), jadi gambar lebih stabil dan jelas. Kamera kedua pula ialah lensa ultra lebar yang sesuai untuk merakam gambar landskap atau subjek dalam Kumpulan Selain itu, ia dilengkapi dengan ciri seperti LED flash, HDR dan panorama untuk membantu menghasilkan gambar yang lebih menarik.

Peranti ini menyokong rakaman video sehingga 4K pada 30/60FPS serta 1080P dengan beberapa pilihan kadar bingkai. Pengguna boleh pilih profil warna seperti ‘Vibrant’ dan ‘Textured’ mengikut cita rasa. Ia juga menawarkan ciri fotografi seperti AI Landscape, Night, Portrait, Street dan Film. Dalam mod Photo, terdapat pilihan Smart Scene seperti Party, Stage, Silhouette dan Fireworks untuk rakaman yang lebih kreatif dan sesuai dengan suasana.

Sepanjang penggunaan kamera utama, saya dapati gambar yang diambil kelihatan tajam dan warnanya menarik dalam situasi pencahayaan yang baik. Ini ialah pengalaman berdasarkan ulasan Realme 15 Pro 5G tempoh hari. Tetapi di Ireland Utara sekarang ialah musim luruh. Sepanjang 3 hari di sini cuaca sangatlah suram dan matahari hampir tidak wujud. Maka prestasi kamera adalah tidak begitu cemerlang tanpa matahari di langit.
Lihat gambar di bawah, warna nampak lebih sejuk (kebiruan) berbanding situasi di dunia sebenar. Bandaraya Belfast memang sejuk dan mendung tetapi tidaklah nampak kelabu yang membuatkan rasa murung seperti gambar-gambar di bawah.


Dalam situasi gelap Game of Thrones Studio Tour, saya rasakan gambar diambil adalah masih boleh tahan. Semua gambar di bawah seingat saya diambil menggunakan mod malam. Masih jelas cuma kurang tajam kerana dedahan mengambil masa sekitar 3 saat. Gambar diambil Galaxy S25 Ultra dan Pixel 10 Pro XL yang saya ambil dalam situasi sama memang lebih cantik. Tetapi ini tidak adil kerana kedua-dua peranti ini harganya 3 kali ganda lebih mahal.





Gimik kamera yang diberikan ialah penuras Kingdom (memberikan mod seperti berada di King’s Landing) dan Northland (mod seperti berada di Winterfell). Secara peribadi saya rasakan kedua-dua penuras ini sekadar gimik kurang menjadi. Gambar di Belfast terasa seperti diambil di New Mexico atau terlalu biru seperti lensa disalut dengan dakwat biru.


Bateri Dan Pengecasan
Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition menawarkan kapasiti bateri yang besar dalam kelasnya, iaitu sehingga 7000mAh di mana satu angka yang jarang ditemui dalam peranti komersial masa kini. Dalam penggunaan biasa, bateri masih mempunyai baki 35% selepas digunakan lebih 16 jam. Jadi apabila dicongak kemampuan bertahan lebih 24 jam adalah tidak mustahil.

Pengecasan semula bateri mengambil masa hanya 60 minit menggunakan pengecas 80W yang disertakan. Ini jauh lebih pantas berbanding 70 minit diperlukan S25 Ultra untuk mengecas 5000 mAh. Realme juga tidak lokek memberikan pengecas dan kepala pengecas sekali dengan setiap pembelian peranti.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition
- 4x Poskad Game of Thrones (Daenerys, Jon, Arya, Tyrion)
- 2x Pelekat Game of Thrones.
- 1x Warkah rahsia Game of Thrones.
- 1x Pin SIM King’s Hand Game of Thrones.
- 1x Kotak khas dengan The Iron Throne.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 80W USB-A
- 1x Kerangka silikon

Kesimpulan
Secara keseluruhan, Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition adalah sama sahaja dengan Realme 15 Pro 5G yang baru sahaja diulas sebelum ini. Semua kekuatan dan kekurangannya adalah sama.
Bateri 7000mAh boleh bertahan lebih daripada sepanjang hari dengan pengecasan yang mengambil masa 1 jam. Galaxy S25 Ultra dengan bateri 5000 mAh mengambil masa 70 minit untuk dicas sepenuhnya. Kamera sekadar sederhana sahaja dengan dua ciri penuras GoT yang ditawarkan saya rasakan sekadar gimik yang tidak begitu praktikal.

Tetapi ini ialah peranti edisi terhad untuk peminat kipas mati sebenar Game of Thrones. Saya rasakan jika adan seorang “collector” ia adalah ciri yang menarik untuk melengkapkan koleksi. Rekaannya cukup unik dan menarik. Kotak yang diberikan juga lain daripada edisi terhad Naruto, Coke dan Dragonball yang ditawarkan oleh Realme.
Realme 15 Pro Game of Thrones Limited Edition dijual di Malaysia pada harga RM2499 dengan kotak khas, kerangka pelindung, enam poskad GoT, patung Realmeow GoT, pin Hand of The King dan beberapa lagi barangan percuma bermula 10 Oktober. Jika anda tidak begitu meminati GoT, peranti biasa tanpa edisi terhad ditawarkan pada harga RM2099.
Pro
- Kemasan unik dunia Game of Thrones.
- Antaramuka khas dengan dua tema Game of Thrones.
- Prestasi lancar dan stabil dengan cip Snapdragon 7 Gen 4.
- Paparan OLED 6.8 inci terang dan tajam 144Hz.
- Sistem audio stereo cukup memadai.
- Kalis air IP69.
- AI Edit Genie menyokong arahan suara dalam bahasa Melayu.
- Bateri besar 7000mAh dan pengecasan pantas 80W.
Kontra
- Implementasi tema tidak menyeluruh. Tiada nada dering lagu GoT disertakan misalnya.
- HDR10+ tidak disokong Netflix.
- Dua penuras kamera GoT sekadar gimik.
- Mod potret tidak kemas.
- AI Edit Genie kurang konsisten.







