Dalam naratif Darurat Malaysia, nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng mendominasi sebagai aktor utama. Namun, di sebalik medan perang pertempuran itu berdiri seorang tokoh propaganda yang tidak menggalas senjata tetapi berjaya memusnahkan idealisme Parti Komunis Malaya (PKM).
Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1920, Tan Sri Dr Too Chee Chew atau lebih dikenali sebagai CC Too membesar dalam persekitaran silang budaya dengan memahami sistem nilai masyarakat Cina dan strategi kolonial Inggeris.
Dengan latar pendidikan di sekolah Cina, Methodist Boys’ School dan Raffles College, Singapura, Too memperkukuh kebolehan intelektualnya.
Ketika Darurat 1948 meletus, beliau menyertai Emergency Information Services (EIS) sebelum dilantik sebagai Ketua Bahagian Perang Saraf pada 1956 sekali gus menjadi rakyat tempatan pertama memegang jawatan strategik itu.
Dalam tempoh 30 tahun, Too memimpin satu pertempuran tanpa senjata iaitu memenangi hati dan fikiran rakyat untuk menolak PKM, bukan dengan kekerasan sebaliknya dengan keyakinan dan persepsi.
Beliau memimpin operasi propaganda yang sistematik, sensitif budaya dan mengambil kira pendekatan psikologi. Ia merupakan satu model strategi komunikasi yang masih relevan sehingga kini.
Pada 1937, di Amerika Syarikat ditubuhkan organisasi Institute Of Propaganda Anaylsis (IPA). Sumbangan besar organisasi ini kepada dunia propaganda ialah merumuskan tujuh teknik propaganda dan menerbitkan buku karya Alfred & Elizabeth Lee bertajuk The Fine Art of Propaganda (1939). Artikel ini cuba menilai peranan Too dalam melawan gerakan komunis dan pengaruh teknik-teknik propaganda dalam gerak kerja beliau.

Too memahami bahawa PKM berusaha untuk menembusi komuniti bukan melalui senjata tetapi menggunakan naratif sosio-kultural yang menggambarkan diri mereka sebagai “pembela rakyat”. Bagi menghadapinya, Too mencipta counter-narrative iaitu PKM dilabel sebagai pengganas dan pengkhianat yang menggugat kestabilan masyarakat Cina.
Melalui saluran radio, risalah, ceramah dan kain pemidang, beliau membentuk kerangka mesej yang tidak sekadar menyampaikan fakta, tetapi membentuk interpretasi ideologi.
Risalah yang diedarkan bercetak dalam warna tanah dan pasir, bukan merah simbolik komunisme. Kandungannya ditulis dalam dialek tempatan Cina untuk memudahkan penyerapan mesej.
Ini adalah strategi plain folks dan testimonial supaya naratif kelihatan begitu “kampung”, sehingga mesej itu lebih dipercayai berbanding material rasmi kerajaan.
Teknik propaganda
Too menggabungkan tujuh teknik propaganda klasik dari IPA dengan sangat berkesan. Ia dapat dilihat dari amalan strategi seperti berikut;
Menggunakan Name Calling (Gelaran Keji) secara menyerang dengan melabel PKM sebagai “pengganas”, “perompak” dan “pemeras ugut”.

Ia merupakan kata-kata yang tajam untuk menjauhkan mereka daripada identiti rakyat. Dalam risalah yang diedarkan, beliau menampilkan kisah benar tentang bagaimana anggota komunis merompak hasil petani dan membunuh saudara sendiri yang enggan bekerjasama.
Dalam masa sama, beliau menggunakan Glittering Generalities dengan menonjolkan konsep positif berbau kabur (boleh diperdebatkan) dan tidak spesifik seperti “masa depan aman”, “kemerdekaan sejati” dan “tanah air stabil” sebagai idealisme yang hanya boleh dicapai melalui kerajaan yang sah.
Teknik Transfer yang bermaksud pemindahan makna simbol kepada sesuatu idea pula dimanifestasikan melalui penggunaan nilai budaya masyarakat Cina seperti keharmonian keluarga dan penghormatan terhadap orang tua yang dipindahkan ke dalam naratif pro-kerajaan.
Ini sekali gus menyangkal gerakan komunis sebagai gerakan kemasyarakatan dan ekonomi. Naratif kerajaan dibina melalui jurucakap oleh bekas bekas anggota PKM, ketua kampung dan guru, sebagai saksi kisah sebenar.
Mereka adalah sumber jurucakap yang ada kredibiliti. Kerajaan digambarkan sebagai pelindung nilai ini manakala PKM sebagai pemusnahnya.
Ini merupakan teknik propaganda Testimonial dengan meletakkan naratif kerajaan dalam minda dan mulut orang ramai dalam kalangan penduduk tempatan yang dipercayai dan ini menjadikannya lebih autentik dan dipercayai.
Sebagai seorang komunikator yang bijaksana, beliau menolak bahasa elit dan akademik. Sebaliknya, risalah dan poster yang disebarkan oleh unit beliau menggunakan pendekatan teknik propaganda Plain Folks dengan naratif menerusi bahasa mudah, gaya santai, dibingkai dalam bahasa pasar dan pengalaman harian komuniti.
Mesej-mesej ini bukan datang dari pejabat tinggi, sebaliknya seolah-olah lahir dari hati rakyat biasa, menjadikannya lebih berkesan.

Melalui teknik propaganda Card Stacking, fakta-fakta satu sisi dipilih dengan teliti untuk menonjolkan kekejaman PKM dan menyembunyikan isu-isu yang boleh menjejaskan imej kerajaan.
Ia bukan pembohongan, tetapi penstrukturan realiti untuk menguatkan naratif kemenangan. Ini secara tidak langsung menyusun framing agar percaya dan memberi keyakinan bahawa gerakan komunis lebih mengancam daripada memela.
Akhir sekali, beliau mewujudkan momentum sokongan dengan teknik Bandwagon iaitu mempersembahkan gerakan rakyat menolak komunis sebagai gelombang arus utama rakyat.
Risalah menggambarkan ramai yang telah menyerah diri, menyertai program pembangunan dan kembali kepada masyarakat. Ini mewujudkan tekanan psikologi dan sosial kepada mereka yang masih menyokong komunis bahawa mereka kini minoriti, terasing dan bakal tewas.
Too bukan sahaja ahli propaganda tetapi ahli psikologi budaya. Beliau faham bahawa kaum Cina luar bandar kurang terdedah kepada komunikasi rasmi, tapi sangat sensitif terhadap isu keturunan dan keluarga. Maka naratif beliau bertukar menjadi isu moral: “PKM mengkhianati keluarga Cina sendiri.”
Kaedah itu berkesan dalam memecahkan sokongan akar umbi terhadap komunis.
Beliau juga bertindak memberi makanan dan wang kepada anggota PKM yang lapar. Tindakan kemanusiaan ini bukan sekadar memberi impak moral malah mencipta dilema dalaman dalam kalangan anggota komunis iaitu adakah sebenarnya kerajaan itu musuh seperti yang ditanam PKM dalam minda mereka?
Jacques Ellul dalam The Formation of Men’s Attitudes menjelaskan bahawa propaganda ialah proses perlaksanaan kebiasaan dan nilai tanpa disedari.
Too berjaya membentuk “pseudoreality” iaitu realiti strategi di mana komunisme dilihat sebagai ancaman kepada identiti budaya dan sosial masyarakat sementara kerajaan dianggap pelindung.

Pada 1955, sebagai persediaan strategi, Too “berlakon” sebagai Chin Peng dalam simulasi rundingan Baling. Ramalan beliau mengenai taktik propaganda PKM membekalkan senjata kepada Tunku Abdul Rahman sebagai naratif untuk menangkis naratif yang dirancang komunis.
Pada 1962, Too pernah dihantar secara rahsia ke Singapura untuk menyokong Lee Kuan Yew. Cadangannya untuk membingkai naratif pilihan raya sebagai benteng stabiliti berbanding kekacauan komunis.
Ini memberi kelebihan moral kepada PAP dalam membayangi Barisan Sosialis dan memacu kemenangan besar serta menjadikan pendirian referendum sebagai “pilihan suara rakyat”.
Ketika rundingan damai Hatyai dicadangkan, Too menolak keras. Baginya, PKM telah tewas dalam medan persepsi, jika rundingan damai ini berlaku ia memberi mereka kejayaan moral.
Dalam analisis propaganda, ia sama seperti membiarkan naratif komunis kembali hidup dengan mencipta “story of redemption” melalui benteng perdamaian. Ini bakal menghapus naratif kekalahan yang telah dibina puluhan tahun.
Dalam era pasca-kebenaran (post-truth), di mana kebenaran mudah dimanipulasi dan maklumat sahih ditenggelami tsunami disinformasi dan teknologi deepfake, prinsip propaganda yang dipegang oleh Too masih lagi relevan.
Too memahami bahawa manusia tidak bertindak semata-mata berdasarkan fakta. Emosi, memori kolektif dan akar budaya lebih berpengaruh.
Maka, naratifnya dibina berdasarkan nilai tempatan seperti “komunis itu bertentangan dengan adat kita”, “komunis larang sembahyang” dan “komunis bunuh orang tua dan anak kecil”.
Naratif-naratif ini menyentuh nilai. Hari ini, dalam perang maklumat digital, prinsip yang sama digunakan. Isu vaksin, perubahan iklim, mahupun pilihan raya dipersembah bukan dalam bentuk angka, tetapi dalam kisah.
Fakta menjadi bahan mentah manakala emosi menjadi alat penghantar. Beliau juga menggunakan pelbagai saluran dari radio, risalah, poster, tayangan filem bergerak.
Semuanya untuk memastikan mesej sampai dalam bentuk yang difahami rakyat biasa.
Medium itu disesuaikan dengan lokasi, bahasa dan tahap celik maklumat penduduk kampung.

Pendekatan ini selari dengan era kini. TikTok, meme, Instagram, siaran langsung Facebook atau video pendek YouTube semuanya menjadi saluran propaganda moden.
Isunya bukan apa yang disampaikan, tetapi bagaimana dan melalui siapa ia disampaikan berbanding hanya menyampaikan mesej kerajaan “kami adalah baik”. Too memastikan naratifnya menekankan “komunis adalah jahat”. Taktik ini dikenali sebagai negative emotional framing, yang lebih melekat dalam ingatan awam. Beliau membina identiti moral yang jelas iaitu yang menyokong komunis adalah pengkhianat.
Propaganda moden juga menggunakan prinsip ini, sama ada dalam kempen politik, aktivisme atau konflik geopolitik. Musuh perlu dikenal pasti, emosi perlu dibakar, dan moraliti perlu diposisikan dengan jelas.
Bukan dengan fakta, tetapi dengan makna. Antara kekuatan Too ialah keupayaannya mewujudkan pseudoreality realiti yang belum tentu benar tetapi diyakini oleh rakyat.
Ini dicapai melalui kawalan maklumat di peringkat elit, penyaringan mesej melalui jurucakap yang ada wibawa seperti guru sekolah, ketua masyarakat dan penghulu.
Beliau mencipta dunia alternatif yang tidak memberi ruang kepada naratif komunis. Dalam dunia hari ini, echo chambers dan algoritma media sosial memainkan peranan yang sama. Pengguna hanya menerima maklumat yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada, menjadikan kebenaran sesuatu yang relatif dan boleh diprogramkan. Realiti dibentuk, bukan ditemui.
Too adalah contoh propagandis strategik yang memahami medan minda dan budaya masyarakat. Beliau menggunakan teori klasik dan teknik komunikatif secara praktikal, mencipta naratif, menggunakan tujuh teknik yang diperkenalkan oleh IPA dan akhirnya menundukkan ideologi komunisme.
Kepakaran beliau terbukti dalam usaha Malaysia membebaskan diri daripada pengaruh komunisme dan peninggalannya menjadi warisan strategi propaganda yang praktikal.
Ia adalah mengenai siapa yang menguasai cerita dan menguasai hati rakyat.
Dalam era digital yang penuh gejala disinformasi, pembelajaran terhadap model propaganda Too bukan saja akademik tetapi penting untuk tranformasi strategi negara.
Bermula dari pena dan suara zaman lama ke meme dan algoritma zaman kini. Selagi kita tidak faham seni propaganda, kita akan menjadi sasaran terbesarnya.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah naib ketua Umno bahagian Sungai Besar dan bekas ahli parlimen.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.