Malaysia Oversight

Ulasan Leapmotor C10 – SUV Elektrik Segmen-D Pada Harga Segmen-C, Kini Lebih Murah Lebih Nilai

By Amanz in September 13, 2025 – Reading time 5 minute
Ulasan Leapmotor C10 – SUV Elektrik Segmen-D Pada Harga Segmen-C, Kini Lebih Murah Lebih Nilai


Ulasan Leapmotor C10 – SUV Elektrik Segmen-D Pada Harga Segmen-C, Kini Lebih Murah Lebih Nilai

September 13, 2025
Automotif

Ikhwan Nazri

Sewaktu Leapmotor C10 diperkenalkan tahun lalu, boleh dikatakan ia ditawarkan pada harga yang meletakkannya didalam kelas yang sedikit premium berbanding lain. Pada harga RM 159,000 tahun lepas, ia merupakan SUV elektrik segmen-D yang penuh ciri-ciri kemewahan dan jelas juga terserlah dari badannya yang besar. Pada tahun ini, harganya telah dikemaskini kepada RM 125,000 dengan beberapa penambahbaikan dan kami telah berpeluang memandunya untuk beberapa hari bagi merasai sendiri kereta elektrik yang ditawarkan oleh Stellantis Malaysia ini.

Rekaan Luaran & Dalaman Yang Elegan Dan Mewah

Sebagai SUV elektrik segmen-D, sebagai perbandingan untuk saiz, anda boleh membayangkan ia mempunyai saiz yang hampir sama dengan Proton X90, dan jauh lebih besar dari SUV elektrik popular yang lain dalam kelas harganya seperti BYD Atto 3, dan juga Proton e.MAS7. Proton e.MAS7 mempunyai saiz yang hampir sama dengan Proton X70, jadi bagi anda yang mungkin tidak biasa memandu kenderaan besar, Leapmotor C10 ini boleh dikatakan agak besar dan mungkin memerlukan lebih pengalaman dalam mengendalikan kenderaan besar. 

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7290

Sekali pandang rekaan hadapannya terdapat logo dan lampu yang turut hadir dengan fungsi penyuluh tinggi automatik (auto high beam). Terdapat juga bilah penyejuk aktif yang akan terbuka apabila aliran angin diperlukan bagi pengudaraan dan penyejukan bateri. Ia menggunakan tayar Dunlop e.SportMaxx sebesar 245/45/R20 dengan rim ‘trident’ yang mempunyai sedikit elemen rekaan seumpama logo lembing bermata tiga, memandangkan ia turut mempunyai suspensi yang ditala oleh Maserati.

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7083

Di bahagian belakang terdapatnya label Leapmotor dibawah lampu LED yang panjang dari hujung ke hujung, yang menyerlahkan sifat elegan kereta ini. Terdapatnya butang untuk membuka but belakang, yang menempatkan ruangan storan sebesar 435 liter, yang boleh diluaskan sehingga 1,410 liter apabila kerusi belakang dilipat kehadapan. Terdapat sedikit ruang storan dan slot untuk meletakkan kabel pengecasan dan juga kit kecemasan. 

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7307

Dari segi rekaan, membezakan model lama yang saya pandu dengan model baharu tahun ini adalah ruang storan frunk yang kini tersedia, komponen penutup tonneau cover untuk ruang storan belakang, sebesar 32 liter, dan juga pengecasan AC 11kW menggantikan pengecasan AC 6.6 kW, menjadikan pengecasan AC 30-80% dalam masa 4 jam sahaja. Selain itu versi baharu turut mempunyai sistem pemantauan tekanan tayar dan warna kemasan dalaman yang baharu iaitu Midnight Aurora atau Camel Brown. 

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7312

Untuk bahagian dalaman, ia menampilkan paparan instrumen pemanduan bersaiz 10-inci dan paparan inforia bersaiz 14-inci. Keseluruhan rekaan papan pemuka, tempat duduk, tampak elegan dengan kemasan Oeko-Tex, dan juga minimalis tanpa sebarang butang-butang tambahan dan juga tiada sebarang tuil penghala untuk penyaman udara. Jika anda ingin menghalakan arah penyaman udara, anda perlu melakukannya menerusi paparan inforia. Stereng pemanduan pula menempatkan bebola yang boleh mengawal tahap suara, dan juga paparan instrumen. 

Salah satu kekurangan pada sistem inforianya adalah ia menggunakan sistemnya yang tersendiri dan tidak menyokong tambatan Android Auto mahupun CarPlay, sama seperti Tesla. Ini mungkin boleh menjadi salah satu faktor dalam pemilihan kereta, sekiranya bakal pemilik terlalu bergantung kepada tambatan telefon pintar bagi melancarkan aplikasi kegemaran mereka. 

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7311

Penumpang belakang pula akan merasai ruang yang sangat luas dan selesa baik dari segi ketinggian bumbung dan juga ruang letak kaki yang lapang. Terdapatnya penyaman udara yang boleh dihalakan, dan dengan bumbung lutcahaya, ia memberikan lebih pengalaman yang menyelesakan. Bumbung lutcahayanya juga mempunyai penutup cahaya, jadi pengguna bebas untuk mengawalnya. 

Pengecasan & Bateri LFP Yang ‘Diam Ubi Berisi’

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7253 2

Leapmotor C10 menggunakan bateri LFP berkapasiti 69.9 kW. Pada kapasiti tersebut, ia turut memberikan jarak perjalanan 424 KM WLTP. Untuk model lama yang dipandu ini, ia menggunakan pengecasan AC 6.6 kW dan DC 84kW. Pengecasan pantas 30-80% dapat dicapai dalam masa 30 minit. Sebagai bateri LFP juga, ia boleh dicaj penuh pada bila-bila masa. 

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7130Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7138

Sepanjang tempoh ulasan ini, prestasi pengecasannya boleh dikatakan sangat baik. Walaupun sekali dengar DC 84kW mungkin dirasakan kecil, namun ia dapat dicaj penuh sekitar 1 jam. Saya sendiri mengecas di Gentari Sungai Perak, dari 29% > 100 % dalam masa 1 jam. Dan jika dilihat pada graf pengecasan juga, penggunaan tenaga adalah seragam dan berkadaran, salah satu corak yang saya jarang jumpa pada kereta elektrik lain.

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7294 2

Prestasi & Pengalaman Pemanduan Yang Baik Namun Diganggu Sistem Pemantauan Pemandu Yang Agresif

Memacu Leapmotor C10 adalah pacuan belakang 160 kW 218 PS dengan 320 Nm tork maksimum. Ia membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dengan kelajuan maksimum 170 km/j. Prestasi ini boleh dikatakan prestasi kebiasaan, namun mencukupi sekiranya anda ingin memecut untuk memotong dan meluncur kehadapan. 

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7276 2

Bagi saya apa yang membuatkan pengalaman pemanduan Leapmotor C10 ini menyelesakan adalah pilihan mod pemanduannya yang turut boleh dikustomasikan. Ia mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort serta Sport, dan pilihan Custom membolehkan anda menentukan sendiri apa yang anda suka. Malah ia juga memberikan penjimatan yang tinggi untuk perjalanan yang jauh, dan dalam gambar diatas penggunaan tenaga untuk 243 KM hanyalah sebanyak 16.7 kWh / 100km.

Bagi saya sendiri, saya memilih untuk pecutan yang ‘Stable’ namun dengan pilihan pembrekan janaan semula ‘Low’. Pada pilihan sebegini, kadar respons pecutan adalah pada tahap normal, namun apabila pembrekan janaan semula (regen) ‘Low’, ia membolehkan Leapmotor C10 ini meluncur (coasting) tanpa sebarang rintangan yang terhasil dari pembrekan janaan semula, hampir sama dengan pengalaman pemanduan petrol. Walaupun saya pada kebanyakan masa memilih tahap rendah untuk pembrekan janaan semula, penggunaan tenaga adalah agak efisien, dalam konteks untuk saya yang memandu kereta elektrik sama seperti pemanduan kereta petrol. 

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7324

Seperkara lagi yang menjadi perhatian untuk Leapmotor C10 adalah talaan suspensi Maserati padanya. Ia mempunyai suspensi dan pengalaman yang tiada pada kebanyakan kereta elektrik buatan , dimana ia tidak terasa lembut, namun teguhnya pula tidaklah terlalu keras sehingga membuatkan rasa tidak selesa. 

Namun apa yang mengurangkan keselesaan adalah sistem pemantauan pemanduan yang agresif. Boleh dikatakan pada kebanyakan masa saya akan mematikan sistem ini kerana kadar pemantauan dia adalah terlalu cepat, dan kerap memberikan amaran. Bergantung kepada individu, fungsi keselamatan ini perlu ada, namun untuk saya, saya berharap kadar pemantauannya dikurangkan dan perkara sebegini boleh diubah menerusi kemaskini sistem operasi. Sebagai perbandingan, saya tidak menyukai sistem pemantauan yang terdapat pada Smart 1, namun apabila Smart 3 diperkenalkan, ia tidak lagi agresif seperti terdahulu. 

Beli Atau Tak ?

Pada harga RM 125,000 dengan beberapa kemaskini spesifikasi untuk versi baharu, saya boleh simpulkan Leapmotor C10 merupakan pilihan yang agak bersesuaian dari segi keselesaan yang ditawarkan, dan juga dari pengalaman pemanduan yang boleh disesuaikan oleh pengguna. Malah untuk pengecasan juga, mungkin dari segi nombor 84 kW DC dilihat sedikit, namun jika anda meluangkan masa untuk mengecas, anda mungkin hanya perlu menggunakan sejam untuk berehat sebelum menyambung perjalanan, dan ini adalah perkara kebiasaan untuk pemilik kenderaan elektrik. 

Namun terdapat beberapa kekurangan dari sistem pemantauan pemandu yang agresif, dan juga ketiadaan tambatan telefon pintar. Walaubagaimanapun dua perkara ini boleh diselesaikan sekiranya terdapat sebarang kemaskini yang diberikan oleh pengeluar. 

Ulasan Leapmotor C10 Malaysia Amanz IMG 7157

Sehingga kini tidak banyak Leapmotor C10 yang boleh dilihat di jalanraya dan saya yakin, pada harga yang telah ditawarkan lebih murah berbanding pada awalnya, ia mungkin boleh menarik minat ramai pengguna yang inginkan SUV elektrik segmen-D, pada harga kelas segmen-C. 

Skor Leapmotor C10

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link