ULASAN l Apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Peguam Negara berkaitan isu kebenaran untuk Najib Razak meneruskan permohonan semakan kehakiman, ada yang bertanya “adakah ini bermakna bekas perdana menteri itu sudah menang dan hari ni dia boleh mula ditahan di rumah?”
Jawapan saya ringkas “Najib belum menang lagi!” Dan saya tambah “hari ini dia kena balik lagi ke penjara Kajang.”

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini hanya bermakna permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan kewujudan Titah Adendum akan kena didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu.
Keputusan hari ini hanya bermaksud Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Peguam Negara untuk menghalang supaya semakan yang dikemukakan Najib itu daripada didengar di Mahkamah Tinggi.
Seperti biasa para penyokong tegar Najib dan mereka yang sewaktu dengan mereka – yang malangnya tidak begitu faham prosedur sebenar semakan kehakiman (judicial review) bersorak gembira. Ini kerana mereka tersalah faham menyangka Najib – yang telah pun disabitkan bersalah sebulat suara oleh sembilan orang hakim dalam kes jenayah kewangan terbesar di Malaysia (jenayah kleptokrasi – bahasa mudah jenayah songlap wang rakyat – melibatkan SRC International (anak syarikat 1MDB pada masa materia ) – telah menang dan boleh mula menjalani hukuman penjara di rumah.

“Sorry guys not too soon! (Saya banyak mengendalikan kes semakan kehakiman dahulu dan saya tidak pelik dengan keputusan mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan kerana “to obtain leave for judicial revie , the legal threshold is very low – the applicant only needs to establish he or she has a prima facie plain or arguable case.”
Dalam permohonan semakan kehakiman ada dua peringkat (level) yang Najib kena tempoh.
Peringkat pertama dia perlu dapatkan kebenaran (leave) dari mahkamah untuk membolehkan mahkamah dengar permohonan dia untuk dengar merit semakan kehakiman itu.
Dalam kes ini Najib asalnya kalah di Mahkamah Tinggi – dia tidak dapat kebenaran.
Selepas itu dia merayu ke Mahkamah Rayuan dan dia menang. Keputusan majoriti memihak kepada Najib.

Maknanya, Mahkamah Rayuan putuskan sepatutnya Mahkamah Tinggi harus kena bagi kebenaran (leave) kerana ada arguable case.
Selepas itu Kamar Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Dan hari ini Mahkamah Persekutuan tidak benarkan rayuan AGC dan minta kes di dengar semula di Mahkamah Tinggi.
Selepas ini Mahkamah Tinggi akan mendengar pula sama ada permohonan semakan kehakiman Najib itu benar- enar bermerit atau tidak bermerit. Itu prosedurnya.
Sama ada Najib memang atau kalah di Mahkamah Tinggi di pusingan kedua nanti kemungkinan besar akan ada proses rayuan sekali lagi baik di Mahkamah Rayuan mahupun Mahkamah Persekutuan. Jadi Najib kena tunggu lagi Tidak tahu hingga bila?
Sementara itu kita semua tahu Najib masih ada baki beberapa kes lagi yang melibatkan kes jenayah dan juga kes sivil yang ada kaitan dengan 1MDB.

Setakat ini semua pihak yang terbabit dengan jenayah 1MDB di beberapa negara luar semuanya telah disabitkan BERSALAH dan setakat ini kita juga tidak dengar lagi mereka ada meminta supaya dia menjalani hukuman penjara kat rumah.
Apa pun kes Najib sentiasa menarik untuk diulas.
MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah bekas timbalan menteri undang-undang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.