Ulasan Kobo Elipsa 2E – Baca, Sunting Dan Conteng Sesuka Hati Anda
Nazrin
Kami telah mengulas tentang beberapa buah peranti tablet pembacaan Kobo sebelum ini, termasuklah Kobo Libra Colour dan Kobo Clara 2E. Kedua-dua tablet ini sangat sesuai dijadikan aksesori bacaan buku dan juga komik, tetapi bagaimana jika anda mahukan sebuah tablet yang juga boleh digunakan sebagai alat untuk menandatangani dokumen, atau untuk membuat sebarang tanda pembetulan?

Jika itu adalah keperluan untuk anda, Kobo baru-baru ini telah menghantar sebuah lagi tablet untuk kami ulas, iaitu Kobo Elipsa 2E.
Spesifikasi Dan Rekaan
Berbeza dengan dua tablet Kobo yang telah kami ulas sebelum ini, Kobo Elipsa 2E hadir dengan rekaan paparan skrin E-Ink bersaiz 10.3 inci dengan fungsi sesentuh, yang turut membolehkannya dipadankan bersama pena digital Kobo Stylus 2.

Tablet ini juga hadir dengan rangka penutup paparan tablet untuk memastikan paparan E-Ink tidak tercalar. Paparan diaktifkan terus apabila dibuka, dan hadir dengan fungsi-fungsi sama yang diperlihatkan pada Kobo Clara 2E dan Kobo Libra Colour yang kami ulas sebelum ini.

Ini termasuklah sokongan untuk sambungan WiFi, kebolehan untuk membeli buku digital dari gedung buku Kobo sendiri dan sokongan untuk sambungan akaun Google Drive, yang membolehkan peranti ini untuk mengakses dokumen PDF dan buku digital yang disimpan di akaun tersebut.
Kobo Elipsa 2E juga dilengkapi dengan bateri bersaiz 2400mAH yang mana dengan pengecasan penuh membolehkannya untuk digunakan selama beberapa minggu tanpa masalah. Dalam pada itu, ia juga tampil dengan pengecasan USB Type-C untuk pengecasan mudah.

Dari segi storan, Kobo Elipsa 2E ini dimuatkan dengan storan terbina 32GB, yang boleh memuatkan beratus-ratus, jika tidak beribu fail-fail dokumen seperti PDF, CBR, EPUB dan sebagainya tanpa sebarang masalah. Sayangnya, tablet ini tidak hadir dengan slot pengembangan storan, jadi anda hanya terhad kepada storan terbina untuk semua buku-buku digital anda.
Pengalaman Pengguna
Dari segi penggunaan sebagai pembaca PDF biasa, jika anda pernah membaca ulasan Kobo Libra Colour dan Kobo Clara 2E kami sebelum ini, fungsi pembacaan dan penatalan kandungan pada Kobo Elipsa 2E ini adalah sama sahaja seperti apa yang diperlihatkan pada kedua-dua peranti sebelum ini.
Integrasi Google Drive juga masih sama, dan masih cara paling mudah untuk memuat-naik buku digital pelbagai format kepada peranti ini.

Perbezaan paling ketara yang dapat diperlihatkan ialah sokongan dengan pena Kobo Stylus 2. Dengan pena ini, anda boleh menambah nota pada buku digital dan menggunakannya sebagai pen penyerlah (highlighter pen) untuk menanda ayat atau perenggan dalam bahan bacaan anda. Akan tetapi oleh kerana tablet ini hanya menggunakan paparan E-ink hitam-putih, anda tidak akan boleh menukar warna highlight tersebut.

Pena stylus ini juga boleh digunakan untuk mengisi dan menandatangani dokumen-dokumen PDF. Tulisan tangan menggunakan stylus ini juga boleh ditukar kepada font sekiranya mahu. Untuk memadamkan tulisan atau contengan yang dibuat, anda boleh menggunakan “pemadam” yang terletak di bahagian atas stylus.

Dari segi pengecasan dan bateri, Kobo Stylus 2 hadir dengan palam pengecasan USB Type-C di bahagian atas. Dalam pengalaman saya menggunakannya, saya hanya mengecasnya sekali sahaja, dan setelah membiarkannya untuk beberapa minggu, saya masih boleh menggunakannya tanpa sebarang isu.
Untuk tablet Kobo Elipsa 2E ini pula, saya juga boleh menggunakan tablet ini untuk beberapa minggu secara berterusan dengan penggunaan berkala. Pengecasan tablet ini juga cukup pantas, jadi saya boleh menggunakannya bila-bila masa saya mahukan
Ada Apa Dalam Kotak?
Ini adalah apa yang hadir didalam sebuah kotak Kobo Elipsa 2E apabila anda membelinya.

- 1x tablet Kobo Elipsa 2E
- 1x kabel pengecasan USB Type-C
- 1x pena Kobo Stylus 2
- 2x mata pena stylus tambahan
- 1x risalah penggunaan
Penutup
Kobo Elipsa 2E merupakan satu lagi tablet buku digital yang sangat baik oleh Kobo. Saya masih sukakan cara penggunaannya yang tidak begitu berbeza apabila dibandingkan dengan Kobo Libra Colour dan Kobo Clara 2E. Pada tanda harga RM2019, ia dilihat sedikit lebih mahal berbanding dengan pembaca digital Kobo yang pernah kami ulas sebelum ini, tetapi ia juga hadir dengan pena stylus yang cukup fleksibel penggunaannya,

Keunikan model Elipsa hadir melalui sokongan pena stylus Kobo Stylus 2, dan jika anda melihat diri anda sebagai seorang pengguna yang gemar menyunting teks dokumen ataupun lebih biasa menandatangani dokumen secara fizikal, peranti ini sangat sesuai untuk keperluan bacaan dan penulisan anda.
Pro:
- Satu lagi pembaca buku digital yang baik oleh Kobo
- Jangkahayat bateri panjang
- Pena stylus yang boleh digunakan dalam pelbagai cara
Kontra:
- Harga tablet yang sangat mahal
- Tidak menggunakan panel paparan E-ink berwarna







