ULASAN | Setiap kali 16 September menjelma, kita diingatkan kepada detik bersejarah 1963, sebuah ikhtiar politik dan sosial yang berani menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak di bawah panji satu negara berdaulat.
Tahun ini, tarikh yang sama juga menandakan 10 tahun penubuhan Parti Amanah Negara, sebuah wadah politik yang lahir dengan tekad mengangkat nilai rahmah, integriti dan keadilan sebagai asas perjuangan.
Hari Malaysia bukan sekadar ulang tahun sejarah, tetapi cermin kepada realiti: sejauh mana kita benar-benar hidup sebagai satu bangsa yang adil, penyayang dan harmoni? Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 menjadi pedoman:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.”
Ayat ini menegaskan kepelbagaian sebagai rahmat, dan kemuliaan hanya diukur dengan takwa, bukan kaum, status atau kuasa.
Istilah Negara Rahmah tidak boleh dilihat sekadar slogan. Ia berakar daripada prinsip rahmatan lil alamin rahmat bagi seluruh alam dan dalam konteks Malaysia yang rencam, ia perlu diterjemahkan dalam nilai keadilan, penyantunan, kesaksamaan dan saling menghormati. Gagasan ini bertepatan dengan visi al-Quran tentang baldatun thoyyibatun wa robbun ghofur sebuah negeri yang makmur, diberkati dan dinaungi keampunan Tuhan.
Namun, realitinya tidak mudah. Politik berasaskan kaum dan agama sempit terus berakar. Wacana pelampau yang melabel kelompok lain sebagai kafir harbi atau musuh masih menular. Jurang ekonomi melebar, dan media sosial pula membiakkan kebencian tanpa sempadan.

Dari Perlis hingga ke Sabah terdapat kepelbagaian budaya, agama dan bahasa mewarnai wajah negara. Masjid, gereja, kuil dan tokong berdiri bersebelahan sambil anak-anak membesar bersama tanpa mengenal batas etnik.
Jika di Sabah, komuniti Kadazan-Dusun, Bajau, Melayu dan Cina berkongsi ruang hidup secara semula jadi. Namun, kita juga melihat bagaimana isu kaum dan agama tetap boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik, menguji keakraban masyarakat.
Untuk benar-benar menzahirkan ruh Negara Rahmah, ada beberapa cabaran utama:
Pertama, jurang ekonomi mesti dirapatkan. Kesejahteraan tidak boleh hanya dirasai elit, sedangkan masyarakat luar bandar dan pedalaman terus bergelut dengan isu asas. Misalnya kerajaan seharusnya memperkasa social safety net (bantuan tunai bersasar) kepada golongan yang memerlukan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) & MySara serta menggalakkan lebih banyak lagi community based economy seperti SEJATI MADANI yang tidak tertumpu kepada pertanian, jahitan, pelancangan semata-mata tetapi sektor perfileman, muzik, program digital upskilling dan tenaga boleh diperbaharui
Kedua, integriti kepimpinan perlu dipulihkan. Rasuah dan salah guna kuasa bukan sahaja merugikan ekonomi tetapi memusnahkan keyakinan rakyat. Hal ini boleh boleh dilaksanakan sekiranya ada satu garis panduan atau undang-undang yang menyeluruh seperti menyegerakan akta pendanaan politik yang boleh mempromosikan ketelusan dalam aktiviti menyalurkan sumbangan untuk aktiviti politik. Hasrat ini selaras dengan aspirasi Negara Rahmah yang inginkan pentadbiran kerajaan dan parti politik yang bersih, adil dan saksama.
Ketiga, pendidikan perlu dijadikan jambatan perpaduan. Kurikulum sekolah harus menekankan pemahaman silang budaya dan dialog agama. Misalnya, mewujudkan platform silang budaya melalui Kelab dan Persatuan untuk memastikan pelajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dapat berkongsi nilai sejagat dan saling hormati menghormati antara satu sama lain.

Justeru itu, usaha yang mampan mesti disegerakan. Misalnya, pelaksanaan Konvensyen Sekretariat Rukun Negara (SRN) 2025. Usaha baik yang digerakkan oleh Kementerian Perpaduan Negera menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Architects of Diversity Malaysia (AOD) tempoh hari.
Sejak ditubuhkan pada 2008, kini terdapat 193 buah SRN di IPT seluruh negara, menjadi wahana memperkasa mahasiswa sebagai agen perpaduan dan menyemarakkan aspirasi kebangsaan melalui pembudayaan dan kefahaman perihal Rukun Negara secara bersepadu. Rukun Negara merupakan asas buat seluruh rakyat Malaysia dalam mengimani setiap ruang kehidupan dalam nuansa kepelbagai latar belakang, kaum dan agama di Malaysia.
Namun, Negara Rahmah tidak akan terwujud jika kita membiarkan ekstremisme menular. Idea pelampau yang memperdagangkan agama untuk menjustifikasi kebencian mesti ditolak. Kita tidak boleh terus terperangkap dengan politik sempit yang menanam syak wasangka.
Hari Malaysia tahun ini membawa dua makna besar ulang tahun ke-62 pembentukan Malaysia dan ulang tahun ke-10 kelahiran Amanah. Kedua-duanya mengingatkan kita bahawa keberanian untuk berbeza, mengangkat nilai serta memilih naratif rahmah adalah jalan ke depan. Negara Rahmah bukan utopia, ia keperluan untuk memastikan Malaysia terus makmur, adil dan dihormati.
Sempena hari ini, marilah kita memperbaharui komitmen membina Malaysia yang bebas daripada perpecahan, berjiwa rahmah menyantuni semua warganya, menjunjung keadilan dan meraikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan. Bukan sikap prejudis dan perkauman.
Selamat Hari Malaysia dan Salam 10 dekad Parti Amanah Negara!
FADHLI UMAR AMINOLHUDA merupakan Exco Pemuda Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.