Malaysia Oversight

ULASAN | Kemerdekaan bukan noktah perjuangan

By MkiniBM in August 31, 2025 – Reading time 4 minute
malaysiakini logo


ULASAN | Hari ini, 31 Ogos 2025 sekali lagi negara mencatat sejarah penting buat tanah air apabila Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-68.

Sambutan ini bukan sekadar acara tahunan yang meriah dengan kibaran Jalur Gemilang, perarakan atau percikan bunga api pada saat detik 12 malam. Sebaliknya ia adalah saat refleksi mendalam terhadap perjalanan bangsa, pengorbanan pejuang terdahulu serta tanggungjawab besar kita sebagai generasi pewaris untuk terus mempertahankan kemerdekaan yang diperolehi dengan duka lara pengorbanan wira negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 lahir daripada perjuangan kolektif. Tunku Abdul Rahman bersama para pemimpin pelbagai kaum dengan penuh kebijaksanaan dan muafakat menuntut hak negara untuk berdiri sebagai sebuah bangsa merdeka.

Laungan keramat “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” di Stadium Merdeka telah menjadi saksi bahawa sebuah negara yang berbilang kaum mampu berdiri gagah di persada dunia tanpa belenggu penjajahan lagi.

Namun seperti kata seorang ulama besar, Imam Hassan al-Banna, “Kemerdekaan yang hakiki bukan hanya bebas dari penjajahan asing tetapi bebas daripada belenggu kelemahan diri sendiri.” Hakikatnya inilah cabaran sebenar bagi rakyat Malaysia hari ini dengan mempertahankan kemerdekaan bukan dengan senjata semata-mata tetapi dengan jiwa, akal dan semangat kebangsaan yang tidak luntur ditelan arus peredaran zaman.

Tanggungjawab rakyat

Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini hanya akan kekal bermakna jika seluruh rakyat sedar akan tanggungjawab mereka. Pertahanan sebenar sesebuah negara bukan hanya terletak pada kekuatan ketenteraan tetapi jauh lebih utama adalah kekuatan moral, kesatuan jiwa dan kematangan rakyatnya. Maka tanggungjawab utama yang wajib dipikul setiap warga antaranya:

Menghormati Perlembagaan dan Undang-undang

Perlembagaan Persekutuan ialah tonggak kedaulatan negara. Menghormati undang-undang, menjunjung prinsip Rukun Negara serta mempertahankan kewibawaan institusi Raja Berperlembagaan merupakan asas keamanan dan kestabilan. Rakyat wajib berpegang pada nilai integriti, tatakelola baik, mengamalkan disiplin dan menyelesaikan perbezaan melalui saluran sah.

Seperti kata Imam Al-Ghazali, “Agama dan negara itu umpama saudara kembar, agama adalah asasnya dan negara pula penjaganya. Sesuatu yang tanpa asas akan runtuh, sesuatu yang tanpa penjaga pasti akan hilang.” Begitulah pentingnya perlembagaan dan undang-undang dalam menjaga keutuhan sebuah negara bangsa merdeka.

f8880d35bd58ae766727a7cae9f364d5

Memelihara dan memperkukuh perpaduan

Kemerdekaan Malaysia dicapai hasil permuafakatan bersama pelbagai kaum. Justeru rakyat wajib mempertahankan semangat ini dengan menghormati perbezaan budaya, bahasa dan agama sebagai khazanah bersama.

Melalui dialog, gotong-royong dan sambutan silang budaya pastinya rakyat dapat menyemai persefahaman dan mengikis prejudis antara mereka. Pepatah Melayu memberi ingatan, “Bersatu teguh, bercerai roboh.” Tanpa perpaduan tiada kekuatan untuk negara ini menempuh cabaran global yang semakin kompleks.

Menolak ddu domba, ancaman dan provokasi

Dalam era dunia tanpa sempadan ancaman kepada negara hadir bukan sahaja dalam bentuk ketenteraan tetapi juga melalui propaganda, berita palsu, ekstremisme dan politik kebencian.

Rakyat perlu bijak menapis maklumat, berdisiplin di ruang digital serta menolak sebarang usaha yang cuba memecah-belahkan masyarakat.

Jiwa merdeka adalah jiwa yang tidak mudah diadu-domba sebaliknya tegas mempertahankan keamanan dan keharmonian. Malangnya, musibah rakyat hari ini adalah terlalu percaya kepada sumber “viral” di media sosial. Pesan saya untuk warga, tak pasti jangan kongsi!

Bersama menyumbang kepada pembangunan

Mempertahankan kemerdekaan juga bermaksud menyumbang ke arah kemajuan negara. Rakyat adalah aset negara maka jadilah aset yang bernilai kepada tanah air.

Guru yang membentuk anak bangsa, petani yang mengusahakan bendang dan ladang, saintis yang kreatif dan berinovasi, atlet yang mengangkat nama negara dan usahawan yang menembusi pasaran global, semuanya adalah pahlawan kemerdekaan dalam konteks moden.

Seperti kata bijaksana, “Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rakyatnya berusaha dengan tangan mereka sendiri bukan hanya menunggu tangan orang lain.”

a117a2fd7e0b1faa259600c13b7c4cf4

Nilai rahmah dalam Madani

Dalam usaha mempertahankan kemerdekaan, nilai rahmah wajar dijadikan landasan hidup rakyat Malaysia. Rahmah ialah berkasih sayang, belas ihsan, mengangkat keadilan dan keharmonian yang mengikat seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan anutan kepercayaan.

Imam Al-Ghazali pernah menegaskan bahawa kekuatan negara tidak hanya lahir daripada kemajuan material semata-mata tetapi daripada nilai rahmah yang meresap dalam sanubari warganya. Apabila rakyat saling mengasihi, menghormati dan berlaku adil sesama mereka nescaya negara akan aman, harmoni dan disegani. Hadis Rasulullah SAW juga mengingatkan, “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Nilai rahmah inilah sepatunya yang menjadi acuan dalam membentuk Malaysia sebuah negara Madani yang seimbang antara kemajuan ekonomi dengan kesejahteraan rohani. Negara yang meraikan kepelbagaian yang rencam tetapi tetap berpaut pada kejituan perpaduan, negara yang bebas tetapi tetap beradab.

Unggul di persada antarabangsa

Malaysia telah pun dikenali sebagai sebuah negara makmur yang aman, berbilang budaya dan sederhana dalam pendekatan agamanya. Dengan rakyat yang bertanggungjawab serta berjiwa rahmah, Malaysia bukan sahaja mampu mempertahankan kemerdekaan tetapi juga melangkah lebih jauh sebagai negara maju yang berdaya saing di persada antarabangsa.

Dalam bidang ekonomi, rakyat perlu gigih berinovasi agar Malaysia mampu bersaing di era digital dan akhirnya hasrat meletakkan Malaysia ini sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi tercapai. Dalam aspek sosial dan budaya, kepelbagaian bangsa kita harus dijadikan kekuatan untuk menarik dunia mengenali Malaysia sebagai bumi makmur dan harmoni. Dari sudut keagamaan, Malaysia mestilah terus tampil sebagai contoh negara yang progresif dengan nilai toleransi yang tinggi.

Kemerdekaan bukanlah noktah kepada berakhirnya sebuah perjuangan tetapi permulaan kepada amanah besar yang mesti diteruskan. Amanah besar inilah yang harus dipelihara dan dipertahankan oleh setiap warga agar generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang lebih gemilang, cemerlang dan terbilang daripada yang kita nikmati hari ini.

Pepatah Melayu mengingatkan: “Takkan Melayu hilang di dunia” selagi berpegang pada jati dirinya. Begitu jugalah Malaysia, selagi rakyatnya berpadu, berjiwa rahmah dan teguh mempertahankan kedaulatan nescaya negara ini akan terus melangkah maju sebagai negara bangsa yang berdaulat dan disegani dunia!

Dirgahayu Malaysiaku tercinta! Merdeka! Merdeka! Merdeka!


ZULKIFLI MOHAMED ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rahmah Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link