Tahun ini ialah tahun kedua siri Google Pixel dipasarkan di Malaysia dengan ia menerima cabaran besar daripada Apple serta pengeluar peranti Android yang lain. Tahun lalu saya katakan Pixel 9 Pro XL kurang kompetitif untuk pasaran Malaysia kerana kekurangan kuasa dan set ciri yang tidak cukup unik. Menerusi Pixel 10 Pro XL, saya merasakan saya akhirnya tahun apakah keunikan sebenar Pixel.

Ianya bukan kuasa menawarkan grafik permainan 100FPS, bukan sokongan ekosistem Apple dan bukan kuasa pengecasan terpantas. Sebaliknya ia adalah peranti kecerdasan buatan (AI) sebenar bagi mereka yang mencari peranti dengan integrasi AI terbaik.
SPESIFIKASI
| Google Pixel 10 Pro Fold | ||||
|---|---|---|---|---|
| Skrin | 6.4″ OLED, 120Hz Actua Display | 8.0″ LTPO OLED, 120Hz Super Actua Flex | HDR10+ | |
| Pemproses | Google Tensor G5 (3nm) | |||
| Cip | 1 X 3.78 GHz Cortex X4 | 5 X 3.05 GHz Cortex A725 | 4 X 2.25 GHz Cortex A520 | |
| Cip Grafik | PowerVR DXT-48-1536 | |||
| RAM | 16GB LPDDR5X | |||
| Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.0 | |||
| Kamera Utama | 48MP f/1.7, OIS (Utama) | 10.5MP f/2.2 (Ultra Lebar) | 10.8MP f/3.1, OIS (Telefoto 5X) | |
| Kamera Swafoto | 10 MP, f/2.2 (Luar) | 10 MP, f/2.2 (Dalam) | ||
| Bateri | 5015 mAh | Pengecasan berwayar 30W | Pengecasan nirwayar 15W Qi2 | Pengecasan berbalik |
| SIM/Telefoni | 1 Nano, 1 eSIM | 5G Sub 6 | ||
| NFC | Ya | |||
| Bicu Audio | Tiada | |||
| Kalis Air | IP68 | |||
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi | Imbasan wajah | ||
| Harga Jualan | RM 7999 (16/256GB) RM 8599 (16/512GB) |
SKRIN
Skrin luar Pixel 10 Pro Fold sebesar 6.4″ OLED mempunyai nisbah skrin 20:9 yang sama seperti pada sebuah peranti candybar. Ia menyokong kadar segar semula 120Hz tetapi bukan dari jenis LTPO. Kadar segar semula ialah antara 60-120Hz sahaja.
Saya berpindah daripada sebuah Pixel 10 Pro XL ke Pixel 10 Pro Fold dan pengalaman menggunakan kedua-dua peranti ini adalah serupa. Skrin sangat responsif kepada setiap sentuhan dan nisbah skrin menjadikannya sangat selesa untuk digunakan. Ia mengingatkan saya kepada Opppo Find N5 yang diulas awal tahun ini.

Boleh saya katakan Find N5 dan Pixel 10 Pro Fold adalah dua peranti yang sangatlah serupa cuma peranti Oppo sedikit lebih besar. Jika anda mencari peranti lipat dengan pengalaman penggunaan sama dengan peranti candybar, dua peranti ini ialah yang saya rasakan terbaik di pasaran sekarang.
Kerana ia amatlah sama, saya jarang sekali merasakan perlu untuk membuka skrin dalaman. Skrin dalaman bersaiz 8″ dari jenis LTPO 120Hz. Masih dapat kesan lipatan pada skrin tetapi saya merasakan ia kini bukan lagi isu yang besar. Skrin ini mempunyai nisbah 1:1 yang berkotak membuatkannya sedikit janggal digunakan berbanding skrin Z Fold7 atau Magic V5.

Saya memuji skrin luar yang senang digunakan tetapi skrin dalam adalah kurang praktikal. Bayangkan bermain COD Mobile dengan skrin empat segi. Sangat aneh dan anda kehilangan pandangan sisi. Maka saya sarankan dalam tetapan aplikasi, pastikan anda memilih mod melancarkan aplikasi tertentu dengan nisbah 18:9 atau 20:9 kerana ia adalah lebih baik berbanding 1:1. Akhir sekali skrin menyokong paparan HDR10+ dalam aplikasi Netflix, Prime Video dan HBO Max. Tiada sokongan Dolby Vision kerana Google mengikut langkah Samsung di sini
BIOMETRI
Sistem biometri adalah dari jenis pengimbas jari sisi yang pantas serta imbasan wajah. Lokasi pengimbas cap jari ergonomik kerana pada peranti Pixel, butang kuasa diletakkan di atas butang laras audio. Sistem imbasan wajah juga tidak kurang pantas asalnya dalam situasi terdapat pencahayaan yang mencukupi.

REKAAN
Pixel 10 Pro Fold mempunyai rekaan tubuh yang lebih tebal jika dibandingkan dengan Z Fold7 dan Magic V5. Dari sudut pandangan negatif rekaan ini boleh dikatakan ketinggalan zaman dalam era telefon kini seperti sedang mengambil Ozempic. Tetapi hakikatnya rekaan lebih “tembam” ini adalah diperlukan bagi sebuah peranti lipat. Lebih mudah untuk membuka 10 Pro Fold berbanding dua peranti lipas nipis yang dinyatakan tadi.

Peranti mempunyai kemasan yang terasa mewah dan selesa di dalam tangan. Tidak terlalu berat dan mempunyai sisi yang rata. Terdapat butang kuasa dan laras audio pada pintu kanan Pixel 10 Pro Fold. Talam SIM terletak di atas dengan dua speaker stereo kedua-duanya menembak ke sisi. Port pengecasan USB-C pula terletak di bahagian bawah. Sekali lagi ingin saya nyatakan Pixel 10 Pro Fold adalah amat mirip dengan Find N5.

Tubuh melepasi piawaian IP68 yang merupakan tertinggi dalam kalangan peranti skrin lipat. Z Fold7 hanya melepasi IP48 dan Magic V5 pula hanya IP59. Panel belakang mempunyai kemasan tidak berkilat yang tidak memerangkap kotoran. Bonggol kamera pada peranti ini memang besar tetapi kerana ianya rata, peranti agak stabil apabila diletakkan pada permukaan meja.

Badan yang tebal ini digunakan dengan sepenuhnya oleh Google untuk meletakkan bateri 5015 mAh. Ia lebih kecil berbanding 5820 mAh pada Magic V5 tetapi jauh lebih besar berbanding 4400 mAh pada Z Fold7. Bateri menyokong pengecasan 30W sahaja yang boleh dikategorikan sebagai tidak begitu pantas.
Perisian – Google Android Paling Asli
Perisian Android 16 yang paling suci murni tanpa aplikasi gendut dan pelancar pihak ketiga yang tidak begitu menarik. Tiada perbezaan besar pada Pixel 10 Pro Fold dengan Pixel 10 Pro XL kecuali terdapat mod untuk skrin lebih besar di bahagian dalam.
Perisian ini berjalan dengan cukup lancar dengan ia dipadankan kepada cip Google Tensor G5, memori 16GB RAM dan storan sehingga 1TB. Google tidak menawarkan ciri tambahan RAM maya seperti pengeluar lain dan saya sendiri merasakan 16GB RAM yang disertakan adalah lebih daripada mencukupi.

Ia adalah peranti pertama menggunakan Material 3 Expressive yang jauh lebih mudah digunakan dengan elemen yang juga ceria. Saya kurang suka dengan Android 15 tahun lalu yang terasa agak kosong. Tahun ini elemen antaramuka terasa lebih selari dengan keperluan dunia moden.
Selain perisian yang paling ringan, ia hadir dengan ciri-ciri eksklusif Pixel serta menerima sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti. Bagi yang mencari telefon yang digunakan untuk jangka masa lama, Pixel 10 Pro XL ialah pilihan yang baik.

Walaupun Android 16 yang digunakan adalah yang paling suci murni, ia bukanlah yang saya rasakan paling baik dan praktikal. Sebagai contoh sistem taskbar pada Pixel 10 Pro Fold tidak mesra pengguna jika dibandingkan dengan taskbar Z Fold7. Pada Z Fold7, palang aplikasi ini sentiasa dipaparkan di bawah skrin memudahkan pertukaran aplikasi pantas, dan melancarkan dua aplikasi serentak dengan Multi Window.

Pada Pixel 10 Pro Fold tatalan dari bawah perlu dilakukan setiap kali untuk memaparkan taskbar. Kadang kala kerana terlebih tatal, skrin Split Screen yang muncul dan ini membuatkan saya menjadi kurang sabar dibuatnya. Mungkin dalam iterasi seterusnya, Google pinjam sahaja ciri Taskbar Samsung kerana ia adalah yang terbaik dengan ia turut telahpun dipinjam pada peranti lipat Oppo.
Ciri menarik lain ialah Gemini Nano dijalankan terus pada peranti untuk pelbagai tugasan AI seperti ciri Reimagine dan Pixel Studio. Pixel Studio menjana imej menggunakan AI generatif terus dari peranti tanpa memerlukan internet. Oleh itu imej boleh dijana dalam masa sekitar 10 saat.

Reimagine pula mengubahsuai gambar dengan memasukkan prom dalam Google Photos. Sebagai contoh anda mungkin ingin mengubah langit biru menjadi langit merah seperti matahari terbenam. Menukar jalan menjadi sungai yang mengalir deras. Gambar juga boleh diubah komposisinya dengan bahagian yang tiada dijana oleh Gemini.
Terdapat juga ciri Screenshot baharu yang menyimpan semua tangkapan layar dalam aplikasi khas. AI kemudian membaca semua maklumat dalam tangkapan layar seperti nombor telefon, kata laluan WiFi, nombor tempahan kapal terbang dan alamat venue acara. Dari dalam aplikasi pengguna hanya perlu bertanya soalan yang ingin diketahui jawapannya dan Screenshot akan memberikannya berdasarkan maklumat yang telah dikumpul.

Yang lebih berguna pada hemat saya ialah Recorder yang boleh menjana transkrip audio temubual secara automatik. Sepanjang lebih 4 minggu digunakan, ini ciri yang mengurangkan masa bekerja untuk menulis artikel. NotebookLM juga terpasang pada Pixel 10 Pro Fold memudahkan dokumen diproses, difahami dan kemudiannya diubah menjadi podsiar secara automatik.
Fungsi terbaik masih lagi Google Circle to Search, Gemini dan Gemini Voice yang kini akhirnya semakin pintar. Tetapi tiga ciri ini tidak eksklusif pada peranti Pixel sahaja. Google memberikan langganan Google AI Pro selama 12 bulan secara percuma yang memberikan akses janaan imej, Notebook LM, dan Google Gemini yang lebih menyeluruh berbanding penggunaan akaun percuma.
Ciri Magic Cue, dan Call Screening tidak berfungsi langsung sepanjang tempoh ulasan. Saya rasakan ciri ini masih tidak diaktifkan di Malaysia. Sama seperti ciri menyunting Photos menggunakan arahan suara juga terhad kepada pengguna di Amerika Syarikat.
PENANDA ARAS
Berikut ialah markah penanda aras Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark Wildlife Extreme. Saya bandingkan cip Tensor G5 yang digunakan Pixel 10 Pro Fold dengan cip-cip mercu di bawah.
- Dimensity 9500 – Oppo Find X9 Pro
- Apple A19 Pro – Apple iPhone 17 Pro
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy Z Fold7
- Snapdragon 8 Elite – Honor Magic V5
- Snapdragon 8 Elite (7 Teras) – Oppp Find N5
- Snapdragon 8 Elite – Xiaomi 15 Ultra
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
- MediaTek Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
- Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Google Pixel 10 Pro Fold | 1,214,735 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 1,747,012 |
| Oppo Find N5 | 2,157,718 |
| Xiaomi 15 Ultra | 2,341,598 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |
| Oppo Find X8 Pro | 2,629,017 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 1,720,751 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 1,016,712 |

Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Google Pixel 10 Pro Fold | 2303 | 6134 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 2745 | 9060 |
| Oppo Find N5 | 2866 | 7987 |
| Xiaomi 15 Ultra | 2918 | 8917 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |
| Oppo Find X8 Pro | 2663 | 8959 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 3359 | 8129 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 1916 | 4644 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Google Pixel 10 Pro Fold | 3266 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 5633 |
| Oppo Find N5 | 5507 |
| Xiaomi 15 Ultra | N/A |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |
| Oppo Find X8 Pro | 6251 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 4560 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 2567 |

Dalam semua ujian Tensor G5 mencatatkan markah yang lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Elite, Apple A19 Pro, Apple A18 Pro dan Dimensity 9500. Ia hanya mampu mengalahkan Tensor G4 yang tahun lalu merupakan cip mercu paling lemah di pasaran.
Prestasi menjalankan pelbagai aplikasi lazim adalah memuaskan dengan semuanya berjalan lancar. Cip pemproses majoriti peranti Android di pasaran sekarang, walaupun dari kelas pertengahan adalah lebih daripada cukup. Sekali lagi kami ingin menegaskan Tensor G5 ialah sebuah cip kelas pertengahan yang dipadankan dengan 16GB RAM bagi memastikan tiada isu serius akan dihadapi oleh pemilik apabila peranti digunakan.

Isu cip menjadi panas seperti yang dialami pada Pixel 10 Pro XL dan Pixel 10 juga berulang pada Pixel 10 Pro Fold. Peranti memanas walaupun sekadar membuka kamera dan mula mengambil gambar. Ia turut menjadi panas apabila menjalankan permua grafik rendah seperti Roblox. Siri Pixel 10 bukan peranti untuk peminat permainan video kerana ia terlalu pantas menjadi suam.
Tahun depan cip Tensor perlu diperbaiki dengan segera kerana sukar memberikan justifikasi Pixel ialah peranti mercu sekiranya markah penanda aras rendah dan terlalu mudah menjadi panas apabila disuruh bekerja keras sedikit.
KAMERA
Kamera pada skrin lipat adalah tidak sebaik peranti candybar. Untuk mengurangkan kos, kamera utama sekadar menggunakan sensor 48+10.5+ 10.8 MP dengan dwi kamera swafoto 10MP. Dari segi kemampuan fotografi saya merasakan ia lebih baik berbanding Z Fold7 dan Magic V5 walaupun dilengkapi sensor bersaiz lebih kecil.
Hakikatnya algoritma kamera Pixel adalah cemerlang sehingga mampu menghasilkan gambar dengan kualiti lebih baik walaupun dengan sensor yang bukan paling terkini. Ia cemerlang dalam keadaan terang benderang atau malam kelam. Prestasi kamera tidak mengecewakan.










Kamera hanya boleh melakukan zum secara digital sehingga 20x yang tidak sebaik 100x pada Pixel 10 Pro XL. Kualiti gambar pada tetapan 20x adalah masih baik dibantu oleh algoritma AI yang meningkatkan kualiti akhir.




BATERI
Bateri 5015 mAh yang digunakan mampu menawarkan penggunaan sepanjang hari. Jika skrin dalaman sahaja digunakan, tiada masalah mendapat SOT sehingga hampir 6 jam. Hayat penggunaan yang lama ini saya nikmati kerana jarang sekali membuka skrin dalaman.
Bateri yang besar untuk peranti lipat ini hanya menyokong pengecasan 30W dan memerlukan sekitar 90 minit untuk dicas daripada 0% ke 100%. Google hanya memberikan kabel pengecas USB-C ke USB-C dengan setiap pembelian tanpa kepada pengecas. Sokongan pengecasan nirwayar pula ialah 15W menggunakan format Qi2.

AUDIO
Dua speaker stereo yang digunakan adalah memuaskan dan seimbang kerana kedua-duanya ditembak ke sisi. Saya rasakan cukup memuaskan bagi sebuah telefon pintar. Ada bass dan treble yang jelas. Cuma kekisi audio ini akan mudah ditutup oleh telapak tangan sekiranya dipegang pada posisi seperti di bawah.

DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Google Pixel 10 Pro Fold
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

Kesimpulan
Anak-anak muda Gen Z gemar menggunakan perkataan “mid” untuk sesuatu yang ditengah-tengah. Ya, Pixel 10 Pro Fold berada di tengah-tengah tetapi ia mungkin peranti “mid” tetapi dalam situasi ini berada di tengah-tengah tidak membawa konotasi negatif. Pixel 10 Pro Fold terhimpit di antara Z Fold7 dengan perisian yang lebih baik dan Magic V5 yang dilengkapi bateri jauh lebih besar. Ia menawarkan perisian yang disokong selama 7 tahun, kamera yang terbaik antara ketiga-tiga peranti dan bateri yang mencukupi untuk digunakan sepanjang hari.

Harus diakui dengan harga jualan bermula RM7999 sebuah ia memang agak mahal. Tetapi secara keseluruhan saya rasakan ia tidak mengecewakan. Pixel 10 Pro Fold ialah peranti lipat yang kemas, selesa dan bergaya serta pada lebih penting sekali praktikal berbanding peranti lipat lain di pasaran.
Pro
- Rekaan premium sangat selesa dalam genggaman.
- Perisian Android 16 paling asli.
- Kemas kini perisian dan tampalan sekuriti selama 7 tahun.
- Kalis air dan debu IP68.
- Prestasi kamera yang baik untuk telefon lipat.
Kontra
- Tensor G5 di tidak setanding cip mercu lain.
- Pengecasan hanya 30W yang adalah perlahan untuk peranti moden.
- Peranti mudah menjadi panas.






