Malaysia Oversight

Ulasan Google Pixel 10 – Pixel Asas Yang Biasa

By Amanz in September 30, 2025 – Reading time 8 minute
Ulasan Google Pixel 10 – Pixel Asas Yang Biasa


Ulasan Google Pixel 10 – Pixel Asas Yang Biasa

September 30, 2025
Google
Peranti

Nur Amzari

Sudah semestinya nama Google Pixel tidak lagi asing di dalam kalangan peminat peranti Android. Ini disebabkan peranti Pixel ini popular dengan kemampuan kameranya, perisian yang paling bersih tanpa sebarang aplikasi gendut dengan setiap kemas kini baharu untuk peranti Android akan diberikan kepada Pixel dahulu. Siri Pixel 10 sudah hadir pada bulan lepas dan untuk kali pertamanya saya berpeluang untuk mencuba model asasnya iaitu Pixel 10.

IMG 20250914 093751563

Spesifikasi

Skrin 6.3″ OLED, 120Hz Actua Display, HDR10+
Pemproses Google Tensor G5 (3nm)
Cip 1×3.78 GHz Cortex-X4 5×3.05 GHz Cortex-A725 2×2.25 GHz Cortex-A520
Cip Grafik PowerVR DXT-48-1536
RAM 12GB GB LPDDR5X
Muatan Dalaman 128 GB UFS 3.1
Kamera Utama 48MP f/1.7, OIS (Utama) 13MP f/2.2(Ultra Lebar) 10.8MP f/3.1, OIS, 5X Zum Optikal (Telephoto)
Kamera Swafoto 10.5MP f/2.2
Bateri 4970 mAh Pengecasan berwayar 30W Pengecasan nirwayar 15W PixelSnap
SIM/Telefoni 1 Nano, 1 eSIM 5G Sub 6
NFC Ya
Bicu Audio Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Pengimbas cap jari ultrasonik Imbasan wajah
Harga Jualan RM 3999 (12/128GB)
RM 4499 (12/256GB)

Rekaan

Sekali imbas rekaan pada Pixel 10 ini lebih kurang sama sahaja seperti model terdahulu dengan rekaan ikonik bar kamera yang melintang ini. Kali ini, model asas Pixel ini dilengkapi dengan lensa telefoto dan dengan lensa ini model asas Pixel ini kelihatan seperti abang besarnya dari segi luaran. Untuk membezakan sama ada ia adalah Pixel model asas ataupun model Pro adalah dengan lampu flash pada kamera bar dimana model Pro mempunyai satu sensor tambahan manakala model asas hanya ada lampu flash sahaja. 

Pixel10rewiew12

Panel belakang pada Pixel 10 ini menggunakan bahan binaan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 dengan kemasan berkilat yang agak mudah memerangkap kesan cap jari. Pada bahagian bingkai peranti menggunakan aluminium dengan kemasan kusam. Perkara yang saya suka pada Pixel 10 ini adalah reka bentuknya yang rata. Dalam tangan, ia sangat sedap digenggam dan terasa premium ditambah pula dengan saiznya yang kecil membuatkan lebih selesa dalam tangan. 

Pixel10rewiew18

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan butang aras suara yang diletakkan secara terbalik tidak seperti kebanyakan peranti android yang lain. Susunan butang ini yang terbalik ini selalu membuatkan saya tersalah tekan sama ada untuk melaras audio atau menghidupkan peranti. Bahagian bawah terdapat lubang pengecasan USB-C dan pembesar suara. Pada bahagian atas masih lagi terdapat slot SIM fizikal untuk pasaran Malaysia. 

Pixel10rewiew23

Pendek kata, saya agak tertarik dengan rekaan pada Pixel 10 ini yang kelihatan kemas dan premium. Tambahan pula, Pixel 10 kali ini mempunyai pilihan warna yang agak menarik seperti yang saya uji ini iaitu Indigo Blue yang nampak sangat menyerlah dari jauh. 

Skrin

Pixel10rewiew13

Pixel 10 dilengkapi dengan skrin 6.3” Actua Display yang menggunakan panel OLED dengan resolusi FHD+ ditambah HDR10+. Tahap kecerahan pula boleh capai sehingga 2000 nits untuk kandungan HDR dan 3000 nits untuk kecerahan maksimum. Ia juga turut menyokong kadar segar semula 120 Hz namun untuk model asas ini ia tidak menggunakan skrin jenis LTPO. 

Pixel10rewiew15

Sepanjang penggunaan, saya tiada pengalaman yang buruk atau kurang baik mengenai skrin pada Pixel 10 ini. Warna yang dihasilkan sangat baik dan kandungan masih lagi nampak tajam walaupun ia masih lagi menggunakan resolusi FHD+. Satu lagi perkara yang membuatkan saya suka pada skrin Pixel 10 ini adalah pengimbas cap jarinya yang sangat pantas dengan menggunakan sensor ultrasonic. 

Prestasi

Kesemua siri Google Pixel 10 tahun ini menggunakan cip Tensor G5 dan untuk Pixel 10 yang saya uji ini hadir dengan konfigurasi 12GB RAM LPDDR5X bersama storan 128GB UFS 3.1. Mungkin ada yang berharap bahawa Tensor G5 ini lebih berkuasa dan boleh bersaing dengan cip mercu yang lain seperti Snapdragon 8 Elite dan sebagainya. Malang sekali ia bukanlah seperti apa yang anda harapkan. 

Pixel benchmark

Untuk ujian penanda aras, saya memilih Samsung Galaxy Z Flip7 (Exynos 2500), Nothing Phone (3) (Snapdragon 8s Gen 4), dan vivo X200 FE (Dimensity 8300+) untuk dibandingkan dengan Google Pixel 10.

Antutu 3D

  • Google Pixel 10 – 1,027,922
  • Samsung Galaxy Z Flip7 – 1,542,966 
  • Nothing Phone (3) – 1,891,347
  • vivo X200 FE – 1,384,721

Geekbench 6

  • Google Pixel 10 – 2300/5006
  • Samsung Galaxy Z Flip7 – 2236/7627
  • Nothing Phone (3) – 2107/6429
  • vivo X200 FE – 1909/6560

3D Mark Wildlife Extreme

  • Google Pixel 10 – 3164
  • Samsung Galaxy Z Flip7 – 5201 
  • Nothing Phone (3) – 4207
  • vivo X200 FE – 3482

Kalau dibandingkan dengan peranti mercu lain, kuasa yang dihasilkan oleh Tensor G5 ini agak jauh ketinggalan. Namun, saya sendiri sudah menjangkakan perkara ini kerana fokus utama cip ini bukanlah kepada kuasa yang tertinggi sebaliknya ia dibuat untuk keupayaan AI dan kelancaran untuk perisiannya. 

Pixel10rewiew8

Walaupun begitu, pengalaman penggunaan secara nyata terasa amat lancar dan pantas. Melancarkan aplikasi terasa pantas dan tiada isu yang besar. Kalau saya tidak tahu tentang prestasi cip Tensor G5 ini atas kertas, saya mungkin akan katakan ini adalah peranti mercu. Hanya satu masalah sahaja yang saya hadapi adalah isu pemanasan. Ketika menggunakan aplikasi media sosial ia tiada sebarang masalah namun isu ini timbul ketika menggunakan kamera walaupun dalam jangka masa yang pendek. Namun suhu panas yang dihasilkan ini bukanlah panas sehingga tidak boleh menggunakan peranti ini.

Pixel10rewiew2

Isu pemanasan dan kekurangan kuasa cip Tensor G5 ini lebih terasa apabila bermain permua. Untuk permua e-sukan seperti Mobile Legends peranti ini tiada masalah untuk menggunakan tetapan ultra. Apabila bermain permua yang memerlukan sedikit kuasa grafik, sudah terasa kekurangan kuasa pada cip ini dimana ia kadar bingkai akan jatuh sedikit dan mula memanas. Namun saya pasti kebanyakan orang yang memiliki peranti ini bukannya seorang gamer tegar. 

Pixel10rewiew3

Kamera

Pada Google Pixel 9 dahulu hanya terdapat dua lensa sahaja iaitu lensa utama dan ultra lebar. Untuk Pixel 10 kali ini, ia mempunyai lensa telephoto 10.8MP dengan zum optikal 5X yang melengkapkan lensa utama 48MP dan ultra lebar 13MP. Tambahan lensa telephoto ini akan menjadikan peranti ini lebih versatil untuk menghasilkan gambar dengan pelbagai sudut. 

Pixel10rewiew17

Seperti yang anda tahu, kebolehan kamera ialah salah satu kekuatan pada peranti Pixel. Saya juga turut mempunyai ekspektasi yang agak tinggi untuk peranti ini. Namun hasil gambar dari Pixel 10 ini saya boleh katakan dalam kategori ‘biasa-biasa’ sahaja. Pada waktu siang, hasil gambar agak baik namun bagi saya identiti Pixel iaitu gambar dengan kontras yang agak pekat seakan hilang kerana pada Pixel 10 ini ia kelihatan lebih natural. Selepas itu, gambar diambil ia juga akan diproses oleh AI yang memakan masa dalam 3-5 saat. 

PXL 20250914 0143066252
PXL 20250914 013938893.PORTRAIT
PXL 20250914 013730957
PXL 20250914 015923274

Nilai megapiksel pada lensa ultra lebar ini sebenarnya telah diturunkan dari 48MP dan hasil gambarnya juga kelihatan kurang keperincian tapi warna yang dihasilkan masih lagi serupa dengan kamera utama. Lensa telephoto ini yang menutup segala kekurangan pada kamera Pixel 10. Saya lebih banyak menggunakan lensa ini berbanding lensa utama kerana lebih gemarkan komposisi yang agak ketat. Pada zum 5X dan kebawah hasil gambar kelihatan sangat baik dengan keperincian yang tinggi. Zum lebih dari 5X ia akan mula menggunakan bantuan AI untuk mencantikan lagi gambar. 

PXL 20250918 110131371
PXL 20250918 110032761
PXL 20250908 014443203 1

Pada waktu malam, kamera Pixel 10 ini mula menunjukkan kekurangannya dan lebih mengejutkan ia mempunyai masalah lens flare yang popular pada peranti . Hasil gambar juga kurang memuaskan dimana gambar mempunyai hingar yang agak ketara pada kesemua lensa. Lensa swafoto tiada apa-apa penambahbaikan dan masih lagi sama dengan model terdahulu. Secara ringkasnya, prestasi kamera pada Pixel 10 ini lebih kepada sekadar cukup untuk kebanyakan pengguna yang tidak terlalu memfokuskan kebolehan kamera pada tahap yang lebih tinggi. 

PXL 20250908 113235770
PXL 20250908 114017025
PXL 20250917 114905394.NIGHT

Perisian

Perisian merupakan kekuatan besar pada siri Google Pixel dimana ia menawarkan pengalaman Android stok yang sangat bersih tanpa sebarang iklan dan aplikasi gendut. Untuk siri Pixel 10, ia sudah menjalankan Android 16 sebaik sahaja keluar dari kotak. Gabungan cip Tensor G5 dan perisian ini menjadikan peranti ini sangat lancar dalam penggunaan seharian. 

Pixel10rewiew14

Walaupun ini pengalaman pertama saya menggunakan Pixel, saya tidak terasa kekok untuk menggunakan peranti ini. Ini mungkin disebabkan saya sudah terbiasa dengan Nothing OS yang lebih kurang sama seperti stok Android ini. Walaupun perisian ini nampak agak mudah untuk digunakan, jika anda dari sistem operasi yang lain mungkin perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri. 

laucher collage
launcher collage 2

Siri Pixel 10 kali ini tidak akan lengkap tanpa ciri AI yang baharu dari Google. Terdapat beberapa AI baharu untuk siri Pixel 10 kali ini seperti Camera Coach. Seperti namanya, Camera Coach ini akan menjadi jurulatih anda untuk mengambil gambar dengan baik menggunakan bantuan AI menerusi beberapa cadangan hasil gambar. Namun mungkin ciri ini berguna untuk sesetengah orang yang betul-betul tiada asas atau ilmu tentang fotografi. 

collage camera coach

Selain itu, terdapat juga Magic Cue yang akan membantu memberikan anda informasi tentang sesuatu benda apabila anda memerlukannya tanpa menukar aplikasi. Magic Cue ini juga diintegrasikan bersama Google Calendar dan Google Maps sekiranya terdapat apa-apa informasi yang mengandungi tarikh dan tempat. Mengikut ujian saya Magic Cue ini hanya boleh berfungsi dengan bahasa Inggeris sahaja, mungkin bahasa Melayu akan hadir pada masa akan datang. 

Pixel10rewiew9

Fungsi AI terbaru yang lain adalah anda kini boleh cipta lagu menerusi aplikasi Recorder. Lagu yang dihasilkan akan dibuat menggunakan suara atau bunyi yang anda rekod kemudian lagu akan dijana mengikut beberapa “vibe” yang dipilih. Bagi saya, ini adalah ciri yang agak menarik walaupun mungkin tidak semua orang yang akan menggunakannya. 

Pixel10rewiew10

Pada pandangan saya, saya agak tertarik dengan perisian Android stok dari Google kerana ia kelihatan sangat kemas dan mudah digunakan. Sebelum menggunakan Pixel ini, saya merupakan seorang pengguna Nothing OS yang bagi saya bukanlah untuk semua orang namun untuk perisian dari Pixel ini ia lebih fleksibel untuk kebanyakan pengguna. Ia juga hadir dengan 7 tahun sokong Android menjadikan peranti ini sangat sesuai untuk penggunaan jangka masa panjang. 

Bateri

Bateri yang dimuatkan didalam tubuh kecil Pixel 10 ini adalah sebesar 4970mAh. Mungkin nombor itu agak kecil berbanding dengan beberapa peranti Android yang lain malah lebih kecil dari Pixel 9a. Namun dalam penggunaan seharian ia masih lagi dapat bertahan sekitar 7-8 jam yang agak impresif untuk saya. Ini menunjukan cip Tensor G5 sangat efisien dalam mengurus tenaga. Pengecasan pula agak mengecewakan dimana Google hanya memberikan pengecasan pantas 30W sahaja dan memakan masa yang agak lama untuk mengecas peranti ini. 

Pixel10rewiew25 1

Untuk siri Pixel 10 ini juga sudah hadir dengan pengecasan berwayar magnetik  sokongan Qi2 bersama digelar PixelSnap dengan kelajuan 15W . Ciri ini merupakan yang pertama untuk Android setelah beberapa tahun menggunakannya. 

Pixel10rewiew24 1

Telefoni & GPS

Pixel 10 ini hadir dengan rangkaian 5G, WiFi 6E dan Bluetooth 6. Sepanjang tempoh penggunaan, Pixel 10 ini tiada apa-apa isu mengenai sambungan. Panggilan suara juga jelas sahaja tanpa sebarang isu kecil mahupun besar. Navigasi menggunakan GPS juga tidak mendatangkan apa-apa masalah malah ia cukup cemerlang dan pantas. 

Pixel10rewiew16

Kesimpulan

Kesimpulannya, Pixel 10 ini merupakan peranti yang agak baik dengan binaan yang berkualiti, perisian yang lancar, kemampuan AI yang berbagai, lensa telefoto yang terbaru dan sokongan Android yang panjang serta kemaskini yang pantas. Namun, walaupun ini peranti mercu dari Google ia terasa seperti peranti kelas pertengahan jika dibandingkan dengan pesaing yang lain dari segi kemampuan cip pemprosesnya.

Pixel10rewiew20

Sudah terang lagi bersuluh bahawa peranti ini bukan untuk anda yang mahukan kuasa. Kemampuan kameranya pun bukanlah ditaraf peranti mercu walaupun ada lensa tambahan yang baharu. Saya boleh katakan peranti ini lebih sesuai untuk pengguna kasual yang tidak mengejar kelajuan dengan perisian yang sangat bersih, lancar dan pantas. Selain itu, saya rasakan yang Pixel 10 ini juga sesuai untuk anda yang teringin untuk mencuba peranti Pixel.

Pixel10rewiew5

Google Pixel 10 ini dijual pada harga bermula RM 3999 tapi ia bermula dengan storan sebesar 128GB sahaja yang bagi saya kurang relevan pada tahun 2025 ini kerana aplikasi yang kian hari makin memakan ruang storan. 

Kelebihan

  • Kualiti binaan yang baik
  • Paparan berkualiti dan cantik
  • Bateri dengan ketahanan yang baik.
  • Dilengkapi dengan penarafan IP68.
  • Perisian yang bersih tanpa aplikasi gendut.
  • Sokongan sehingga 7 versi Android.

Kekurangan

  • Cip Tensor G5 tidak setaraf seperti cip mercu lain.
  • Kualiti gambar mod malam kurang memuaskan.
  • Pengecasan 30W yang agak perlahan.
  • Storan pemulauan 128GB tidak mencukupi.
Skor Google Pixel 10

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link