Malaysia Oversight

ULASAN | Gaza, cermin hati kita

By MkiniBM in October 26, 2025 – Reading time 5 minute
ULASAN | Gaza, cermin hati kita


ULASAN | Di balik runtuhan batu, jeritan anak kecil, dan debu yang menutup langit Gaza, terselit satu persoalan besar yang perlu difahami oleh seluruh umat manusia: siapakah sebenarnya yang ‘mengawal remote’ untuk menghancurkan bumi para nabi itu?

Adakah Israel semata-mata pelakunya, atau wujud kuasa lain yang lebih besar, lebih halus, dan lebih berpengaruh di balik tabir peperangan ini?

Persoalan ini penting kerana setiap kali dunia dikejutkan dengan berita serangan, akan muncul pula pengumuman ‘gencatan senjata sementara’ kononnya tanda kemanusiaan.

Namun, hanya dalam beberapa hari atau minggu, darah kembali tumpah, dan peluru kembali berbunyi. Ia ibarat drama terancang, satu pihak menekan butang ‘pause’ agar dunia tenang seketika, kemudian menekan semula ‘play’ untuk meneruskan episod kehancuran yang telah dirancang.

Dalam banyak catatan sejarah moden, Gaza bukan sekadar tanah kecil di Timur Tengah. Ia simbol keteguhan umat , pusat ujian bagi kemanusiaan, dan saksi kepada kekejaman yang berulang sejak lebih 70 tahun lalu.

Namun, ramai tidak sedar bahawa perang ini bukan sekadar antara Hamas dan Israel. Ia adalah cerminan kepada pertembungan ideologi, perebutan geopolitik, serta permainan kuasa besar dunia yang menjadikan Gaza sebagai ‘papan catur’ ujian pengaruh.

Israel memang bertindak sebagai pelaku langsung di medan peperangan. Namun kuasa yang menggerakkan di sebaliknya jauh lebih luas. Amerika Syarikat (AS), sebagai sekutu paling setia, terus membekalkan senjata, melindungi Israel di Majlis Keselamatan PBB, dan menghalang sebarang resolusi yang menuntut keadilan untuk rakyat Palestin.

Dalam banyak keadaan, Washington bertindak bukan sekadar sebagai rakan strategik, tetapi sebagai pelindung utama yang memastikan Israel tidak pernah diadili di mata dunia. Di sisi lain, kuasa Eropah pula berperanan sebagai penyokong pasif, mengeluarkan kenyataan simpati kepada Gaza, namun terus berdagang dan menjual peralatan perang kepada pihak yang menindas.

677e4118e66cdb78770d6de54e221574

Kuasa yang tidak kelihatan?

Lebih menakutkan, peperangan ini turut digerakkan oleh kuasa yang tidak kelihatan, syarikat senjata, industri media, dan lobi politik antarabangsa yang mendapat keuntungan daripada darah manusia.

Semakin lama perang berlangsung, semakin besar keuntungan yang diraih oleh industri ketenteraan global. Maka tidak hairan jika ‘gencatan senjata’ sering menjadi helah, bukan untuk menghentikan peperangan, tetapi untuk mengatur semula strategi dan membina naratif baru agar dunia kembali percaya bahawa kezaliman ini mempunyai justifikasi.

Jika ditelusuri, Israel telah lama mengamalkan dasar kawalan mutlak terhadap Gaza. Mereka menentukan siapa yang boleh keluar dan masuk, berapa banyak bekalan air dan elektrik yang boleh disalurkan, bahkan mengawal ruang udara dan laut Gaza.

Rakyat di sana hidup dalam kepungan besar seperti penjara terbuka dan setiap tindakan, termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan, tertakluk pada kehendak Tel Aviv. Maka apabila ada serangan balas daripada pihak Palestin, ia sering dijadikan alasan untuk ‘membenarkan’ tindakan ketenteraan yang jauh lebih dahsyat.

Analogi yang menyamakan Israel dengan Firaun dalam kisah Nabi Musa amat tepat. Firaun dahulu bukan sekadar pemerintah zalim, tetapi seorang yang menganggap dirinya Tuhan. Dia menindas Bani Israel, menindas golongan lemah, dan menggunakan propaganda untuk mengekalkan kuasa.

Hari ini, watak itu terzahir semula dalam bentuk moden, pemimpin yang berasa dirinya kebal, yang menganggap nyawa manusia lain tidak bernilai. Firaun moden bukan hanya seorang individu, tetapi sistem yang dibina atas keangkuhan kuasa dan sokongan antarabangsa yang hipokrit.

Dilema besar dunia

Ironinya, dunia yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia kini membisu. Negara-negara besar yang lantang bersuara dalam isu lain menjadi tuli apabila pembunuhan di Gaza dibincangkan.

Media Barat pula memainkan peranan mencipta naratif yang memihak kepada penjajah, dengan menggunakan istilah seperti ‘self-defence’ untuk menjustifikasi pembunuhan kanak-kanak dan wanita.

Mereka lupa bahawa pembelaan diri tidak mungkin dilakukan dengan memusnahkan rumah, hospital, sekolah, dan tempat ibadah. Mereka lupa bahawa keamanan tidak boleh dicapai di atas penderitaan manusia lain.

1cded50b414b37576a70f672b8c38cca

Dunia kini berdepan dilema besar. Ramai yang marah, tetapi tidak tahu bagaimana hendak bertindak. Ramai yang simpati, tetapi hanya berhenti pada doa dan status media sosial. Sedangkan kezaliman yang berakar ini hanya boleh dilawan dengan kesedaran, keberanian, dan tindakan kolektif.

Kesedaran bermula daripada ilmu, dengan memahami siapa yang mengawal ekonomi dunia, siapa yang menguasai media, siapa yang menentukan naratif politik global. Dari kesedaran itu lahirlah keberanian untuk menolak ketakutan, dan seterusnya tindakan, sama ada dalam bentuk advokasi, pendidikan, atau sokongan berterusan terhadap usaha kemanusiaan.

Kita perlu sedar bahawa solidariti bukan sekadar slogan di baju atau poster di jalanan. Solidariti sejati ialah apabila umat menuntut pemimpin mereka agar tidak tunduk kepada kuasa besar. Ia berlaku apabila rakyat mendesak agar memboikot syarikat yang membiayai penjajahan, apabila masyarakat dunia menekan institusi antarabangsa untuk membawa penjenayah perang ke muka pengadilan.

Solidariti bermakna apabila setiap individu berani berkata benar di hadapan kezaliman, walau suaranya kecil, kerana setiap suara itu bergabung menjadi gelombang kesedaran yang akhirnya menggoncang tembok ketakutan.

Memperjuangkan naratif kebenaran

Dunia kini sedang diuji, bukan tentang siapa yang kuat, tetapi siapa yang berani menegakkan keadilan. Umat diuji sama ada mereka hanya akan terus meratap dan menyalahkan takdir, atau bangkit memperjuangkan naratif kebenaran di tengah gelombang propaganda.

Sejarah membuktikan bahawa kekuatan umat bukan pada senjata, tetapi pada keyakinan dan kesatuan hati. Nabi Musa tidak menang kerana bilangan tenteranya, tetapi kerana keyakinan bahawa Allah tidak pernah meninggalkan orang yang berjuang di jalan-Nya.

Kita mesti berhenti menjadi penonton. Dunia tidak akan berubah jika manusia terus memandang Gaza hanya sebagai ‘isu luar negara.’ Hakikatnya, Gaza adalah cermin kepada hati kita sendiri. Jika kita masih mampu tidur lena sedangkan anak-anak Palestin terbaring di bawah runtuhan, itu tanda hati kita telah jauh daripada rasa kemanusiaan.

1da598bc1958e6ec266776324a551023

Jika kita masih boleh berdebat tentang siapa benar atau salah tanpa memikirkan penderitaan manusia yang tidak bersalah, itu tanda kita telah buta oleh propaganda dunia moden.

Kini, yang perlu dilakukan oleh umat bukan sekadar menanti mukjizat, tetapi menjadi sebahagian daripada perubahan. Setiap perkongsian maklumat benar, setiap doa yang tulus, setiap sumbangan kecil, dan setiap desakan kepada pemimpin, semuanya adalah batu kecil yang membina jalan menuju pembebasan. Dunia akan berubah bukan apabila musuh berhenti menindas, tetapi apabila umat berhenti berdiam diri.

Israel mungkin menguasai ‘remote’ untuk menghancurkan Gaza, tetapi umat Islam dan manusia yang berjiwa kemanusiaan masih memiliki sesuatu yang lebih kuat, hati nurani dan doa yang tidak pernah putus.

Selagi ada satu jiwa yang berani menyuarakan kebenaran, selagi itu kezaliman tidak akan selesai di singgahsana. Firaun akhirnya tenggelam di Laut Merah bukan kerana kekuatan Musa, tetapi kerana ketamakan dan keangkuhannya sendiri. Begitu juga mereka yang menindas hari ini, kezaliman pasti akan tenggelam oleh kebenaran yang dijanjikan Tuhan.

Gaza mengajar kita erti kemanusiaan. Ia mengingatkan bahawa keadilan bukan milik pihak yang berkuasa, tetapi hak setiap manusia yang diciptakan dengan harga diri. Maka, jangan biarkan suara kita padam. Jangan biarkan anak-anak Gaza mati dalam senyap. Jangan biarkan sejarah mencatat bahawa ketika kezaliman berlaku di depan mata, kita hanya menonton tanpa berbuat apa-apa.

Kerana pada akhirnya, yang lebih berbahaya daripada peluru bukanlah senjata musuh, tetapi keheningan manusia yang tahu kebenaran, namun memilih untuk diam tanpa kata!


ATRIZA UMAR ialah calon ijazah kedoktoran dalam bidang kepimpinan wanita.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link