Ulasan ASUS ExpertBook PM3 – Cukup Profesional, Cukup Lasak
Nazrin
Apabila memilih sebuah laptop, secara lazimnya pengguna akan perlu memilih keperluan penggunaan, samada mereka memerlukan kuasa pemprosesan yang hebat, ciri-ciri-AI, rekaan komputer yang padat, ataupun kebolehan menaiktaraf komponen sendiri dan juga tahan lasak.

Baru-baru ini, kami telah diberi peluang untuk menguji komputer riba ASUS ExpertBook PM3, sebuah komputer riba dari ASUS yang dikatakan menepati semua keperluan-keperluan ini, dan ini adalah ulasan kami mengenainya.
Spesifikasi Dan Rekaan
| Nama Model | ASUS ExpertBook PM3 | |||
| Saiz Paparan | 14″, WUXGA (1920 x 1200) 16:10, IPS, 60 | 300 nits | ||
| Pemproses | AMD Ryzen AI 7 350 | |||
| Cip Grafik | AMD Radeon 860M | |||
| RAM | 16GB LPDDR5X | |||
| Muatan Dalaman | 512GB NVMe PCIe 4.0 SSD | |||
| Kamera | Full HD + Windows Hello | |||
| Audio | Speaker stereo terbina | Mikrofon terbina | ||
| Palam I/O | 2x USB 3.2 Gen 2 Type-A (>10Gbps) | 2x USB 4.0 Gen 3 Type-C (>40Gbps) | 1x HDMI 2.1 TMDS | 1x 3.5mm Combo Audio Jack |
| Sistem Operasi | Windows 11 Home | |||
| Sambungan | Wi-Fi 7 (802.11be) | Bluetooth 5.4 | ||
| Bateri | 70WHr | Pengecas 65W | ||
| Harga | Bermula dari RM5,199 |
Bermula dengan spesifikasi komputer riba ini, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen AI 7 350 yang hadir dengan gabungan lapan teras fizikal dan 16 bebenang kuasa dengan kelajuan memproses sehingga 5GHz. Model ini juga dilengkapi dengan 16GB memori dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Kelebihan komputer riba ExpertBook PM3 ini hadir melalui kebolehan spesifikasi memori dan storan komputer riba ini untuk dinaiktarafkan oleh pengguna sendiri. Di bahagian bawah rangka terdapat empat skru yang boleh dibuka yang memberi akses kepada ruangan komponen komputer riba, dimana komponen memori dan storan boleh dinaiktaraf.
Komputer riba ini hadir dengan satu slot pengembangan tambahan, yang membolehkan pengguna untuk menambah memori dan storan tanpa perlu mengeluarkan komponen-komponen asal. Dalam pada itu, komponen bateri juga boleh ditukar dengan cepat dan mudah tanpa memerlukan pemutar skru.

ASUS ExpertBook PM3 ini juga hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 1920×1200 dengan nilai kecerahan 300 nit. Bukan itu sahaja, paparan ini juga hadir dengan engsel yang diperkuatkan dengan besi, untuk memastikan bahawa ia tidak rosak apabila paparan ditutup dengan halangan diantara paparan dan papan kekunci.
Dari segi penawaran palam pula, ASUS ExpertBook PM3 ini hadir dengan dua palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu palam kabel internet RJ-45.

Tambahan kepada ciri ketahanan engsel paparan skrin komputer riba ini, palam-palam USB ExpertBook PM3 ini juga ialah palam-palam USB Type-A dan Type-C yang boleh menahan diangkat apabila sebuah kabel disambungkan kepada objek berat. Ini memastikan kebarangkalian bahawa palam USB rosak apabila kabel disentap secara tidak sengaja adalah lebih rendah.
Ia juga telah melepasi piawaian MIL-STD 810H yang memperlihatkannya hadir dengan rekaan tahan lasak dan boleh digunakan di lokasi-lokasi dimana suhu adalah sangat tinggi atau rendah, atau mempunyai tahap kelembapan yang tinggi.

Untuk sokongan sambungan nirwayar, komputer riba ini hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 7 dan juga Bluetooth 5.4. Dari segi bateri, ia dimuatkan dengan bateri bersaiz 70Whr yang seperti saya katakan sebelum ini, sangat mudah untuk digantikan apabila diperlukan.
Komputer riba ini menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 11 terbaru dan hadir dengan perisian MyASUS untuk memudahkan proses mengemaskini sistem komputer riba ini, dan juga perisian AI ExpertMeet yang menambahkan mutu pengalaman sesi-sesi telesidang anda dengan ciri-ciri seperti pembatalan bunyi hingar pada mikrofon dan pembesar suara, sarikata terjemahan dan sebagainya.
Komputer riba ini juga hadir dengan berat 1.34kg sahaja, cukup ringan dan mudah untuk dibawa dan digunakan dimana-mana sahaja.
Pengalaman Pengguna
ASUS ExpertBook PM3 hadir dengan prestasi produktiviti pejabat yang cukup baik. Masa ringkas saya bersamanya, saya boleh melakukan tugasan-tugasan pejabat harian saya dengan lancar walaupun hanya menggunakan kuasa bateri sahaja. Perkara ini saya akan ulas dengan lebih lanjut di bawah.

Dengan cip pemprosesan AMD Ryzen AI 300 terbaru, tidak kira anda sedang menaip, menyunting gambar dan video ataupun menonton kandungan video beresolusi tinggi, ia boleh melakukannya semua tanpa perlu risau tentang isu seperti lengah masa atau perisian tersekat-sekat apabila anda melakukan tugas yang memerlukan kuasa pemprosesan yang berat.
Ini adalah kerana cip pemprosesan AMD Ryzen AI 300 ini direka untuk membolehkannya beroperasi pada kadar prestasi lebih tinggi walaupun apabila menggunakan kuasa bateri. Jika anda memerlukan kuasa pemprosesan maksima, menyambungkannya kepada sebuah sumber bekalan kuasa adalah cara yang terbaik untuk menggunakannya.
Paparan IPS komputer riba ini juga cukup cerah dan berkualiti untuk digunakan dalam pelbagai situasi. Dengan nilai kecerahan maksima 300 nit, ia boleh digunakan dibawah panas matahari terik apabila anda menetapkan nilai kecerahan pada tahap maksima, tetapi untuk kegunaan di dalam pejabat, saya secara lazimnya hanya menggunakan kecerahan 40 peratus untuk membantu mendapatkan jangka hayat bateri yang lebih tinggi.

Sudut pandangan paparan skrin ini juga bagi saya agak baik. Ia mungkin tidak selebar paparan skrin OLED yang boleh menjanjikan sudut pandangan cerah hampir 180 darjah, tetapi cukup baik jika anda mahu menunjukkan sesuatu pada skrin anda kepada rakan sekerja di sebelah anda.
Satu lagi perkara yang menarik pada komputer riba ini ialah kebanyakan palam-palamnya terletak di bahagian kanan komputer riba ini. Palam-palam USB 3.2 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A dan palam HDMI terletak di lokasi tersebut.
Ini adalah untuk memberi ruang yang lebih besar di sebelah kiri komputer riba supaya pengguna boleh menggunakan tetikus dengan lebih mudah. Saya secara lazimnya hanya menggunakan pad sesentuh pada dengan komputer riba seperti ini, tetapi ini adalah sebuah pertimbangan yang baik untuk mereka yang lebih gemar menggunakan tetikus.
Jika ada perkara yang saya mungkin tidak begitu gemar tentang komputer riba ini, ia mungkin berkenaan papan kekuncinya. Pada pendapat saya, ruang diantara kekunci adalah telalu lebar, dan suis yang digunakan adalah terlalu cetek.

Untuk saya yang sering menaip dengan pantas, ini boleh menyebabkan isu jari sakit dengan kadar yang lebih pantas. Mungkin ini hanyalah isu untuk saya sendiri, tetapi bagi saya, ia masih lagi satu masalah khususnya apabila pekerjaan saya memerlukan saya menaip dengan banyak
Tetapi dua ciri yang paling penting pada komputer riba ini, pada pendapat saya ialah ketahanan lasaknya, dan kemampuan pengguna untuk menaik-taraf komponen-komponen dalaman secara sendiri.

Pertama ialah berkenaan ketahanannya. ASUS ExpertBook PM3 ini hadir dengan kemampuan menahan dipijak, dilempar dan engsel paparannya dibina supaya ia tahan walaupun didera dengan teruk. Malah, palam-palam komputer riba ini juga telah diperkuatkan dengan logam untuk memastikan bahawa ia boleh mengangkat berat objek sehingga 9kg, dan ini mengurangkan kebarangkalian bahawa palam-palam tersebut akan rosak sekiranya kabel ditarik secara tidak sengaja.

Dengan pengesahan piawaian MIL-STD 810H ini, ia juga bermakna bahawa komputer riba ini boleh digunakan di lokasi-lokasi yang mempunyai cuaca yang ekstrim, tidak kira panas ataupun sejuk.

Seperti yang saya katakan, ASUS ExpertBook PM3 juga hadir dengan kebolehan untuk menaiktaraf komponen dalaman, termasuklah memori, storan dan bateri. Untuk mengaksesnya anda hanya memerlukan sebuah pemutar skru Philips untuk membuka empat skru pemegang rangka bahagian bawah, dan anda boleh melihat komponen-komponen didalamnya secara terus.

Bermula dengan storan, komputer riba ini memperlihatkan dua slot storan SSD PCIe 4.0 dengan dua saiz berbeza. Ini termasuklah satu slot SSD M.2 2280 yang bersaiz lebih besar, dan satu lagi slot M.2 2230 yang bersaiz lebih kecil. Apabila anda membeli komputer riba ini, ia akan dimuatkan dengan storan SSD bersaiz 512GB ataupun 1TB pada slot M.2 2280, dan jika anda memerlukannya, anda boleh memuatkan storan bersaiz lebih besar dan menambahkannya lagi jika diperlukan.
Komputer riba ini juga mempunyai dua slot memori LPDDR5 yang boleh dimanfaatkan. Model-model yang ditawarkan di pasaran Malaysia hadir dengan pilihan 16GB atau 32GB, akan tetapi jika pengguna mahu menambah memori, ia juga boleh dinaiktarafkan sehingga 64GB sekiranya diperlukan.

Satu lagi komponen yang boleh ditukar ialah bateri. Kelainan penukaran bateri pada komputer riba ini ialah ia tidak memerlukan sebarang pemutar skru untuk menggantikannya. Sistem bateri 70Whr pada komputer riba ini boleh dicabut melalui dua tab di bahagian sisinya, dan boleh dikeluarkan dan dipasang balik.
Ini dilihat sangat berguna khususnya untuk bahagian IT syarikat sekiranya pengguna mengatakan bahawa bateri perlu ditukar, dan mereka boleh melakukannya dengan cepat dan mudah.
Bateri
Seperti yang saya katakan, ASUS ExpertBook PM3 ini hadir dengan bateri bersaiz 70Whr, yang mana ASUS mengatakan bahawa komputer riba ini boleh memainkan video luar-talian menggunakan kuasa bateri selama 18 jam berturut-turut.
Akan tetapi, realiti sebenar penggunaan komputer riba seperti ini bukanlah sekadar untuk memainkan video dengan nilai kecerahan yang paling rendah.

Saya akan katakan bahawa komputer riba ini, dengan corak penggunaan saya, dengan nilai kecerahan ditetapkan pada 50 peratus dengan mod penggunaan biasa, komputer riba ini boleh bertahan selama kira-kira 7 ke 8 jam dengan satu pengecasan penuh.
Tugasan-tugasan biasa saya ialah seperti menulis artikel di laman Amanz, menyunting gambar, dan menonton video sewaktu makan tengahari di pejabat. Ia juga boleh menggerakkan beberapa permainan ringkas, tetapi jika anda menggunakan kuasa bateri, ia akan turun dengan mendadak sekali.
Walaupun begitu, pengecasan bateri komputer riba ini saya akan katakan adalah cukup pantas sekali. Dalam setengah jam sahaja, saya boleh mengecas komputer riba ini menggunakan pengecasan 65W ke 50 peratus, dan ini membolehkan saya menggunakan komputer riba untuk kira-kira 3 ke 4 jam tanpa sebarang masalah.
Skor Penanda Aras
Ini adalah skor penanda aras untuk komputer riba ASUS ExpertBook PM3
PCMark 10

CrystalDiskMark

Ada Apa Dalam Kotak?

Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak sebuah komputer riba ASUS ExpertBook PM3:
- 1x ASUS ExpertBook PM3
- 1x pengecas USB Type-C 65W
- 1x manual penggunaan
Penutup
ASUS ExpertBook PM3 adalah komputer riba yang sangat sesuai untuk beberapa jenis kumpulan pengguna, termasuklah syarikat-syarikat yang mempunyai ramai pekerja di luar pejabat, dan memerlukan sesuatu yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis keadaan sekitar.

Kedua ialah ia sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu yang lebih fleksibel dari aspek komponen dalaman. Mungkin mereka mahu membeli komputer riba yang lebih murah terlebih dahulu, dan mahu menaiktaraf komponen memori dan storan kemudian.
Pada harga permulaan RM5199 untuk model dengan CPU AMD Ryzen AI 5 330 dan RM5799 untuk model AMD Ryzen AI 7 350 dengan 16GB memori dan 512GB storan, anda boleh memilih spesifikasi yang bersesuaian dengan keperluan anda.
Pro:
- Komputer riba produktiviti pejabat dengan kemampuan produktiviti yang baik
- Tahan lasak
- Penaiktarafan komponen yang mudah
- Boleh digunakan di pelbagai lokasi, cuaca dan suhu
Kontra:
- Suis papan kekunci terlalu cetek
- Jangka hayat bateri boleh lebih lama
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






