UK Mulakan Siasatan Bas Buatan China Boleh Dimatikan Dari Jarak Jauh
Effi Saharudin
Kerajaan United Kingdom memulakan siasatan ke atas bas elektrik keluaran Yutong, sebuah syarikat berpangkalan di China. Ini adalah kerana muncul laporan di Norway bas Yutong mungkin boleh dimatikan dari jarak jauh oleh pengeluar memberikan risiko keselamatan pada infrastruktur pengangkutan negara.

Lebih 700 bas Yutong kini beroperasi di UK khususnya di Scotland, Wales dan Nottingham. Di Norway, syarikat pengangkutan Ruter mengatakan dalam ujian mereka data bas Yutong boleh diakses. Antara sistem yang boleh diakses ialah bateri dan sistem pengurusan kuasa. Secara teorinya jika sistem ini boleh diakses, bas boleh dimatikan daripada jarak jauh oleh sesiapa sahaja.
Yutong mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan data pelanggan tidak boleh diakses oleh mereka tanpa kebenaran dan mereka memenuhi kesemua kehendak keselamatan Kesatuan Eropah (EU). Namun begitu pihak Pusat Sekuriti Siber Nasional UK masih akan menjalankan siasatan bagi menilai risiko yang mungkin wujud.
Kerisiauan mengenai kenderaan buatan China digunakan untuk risikan bukanlah perkara baharu. Amerika Syarikat menggunakan alasan ini untuk menghalang kemasukan kenderaan China ke pasaran mereka. China juga mengharamkan kenderaan buatan Tesla memasuki bandar apabila di dilawati oleh Presiden Xi atas sebab yang sama.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






