Malaysia Oversight

UIAM bela kejahilan atas nama pendapat peribadi

By MkiniBM in November 7, 2025 – Reading time 2 minute
UIAM bela kejahilan atas nama pendapat peribadi


Pengerusi Urimai, P Ramasamy, menyelar Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana mempertahankan seorang pensyarah yang mendakwa kononnya orang Rom belajar membina kapal daripada orang Melayu, dengan alasan bahawa kenyataan itu sekadar “pendapat peribadi”.

Dalam satu kenyataan media hari ini, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu menyifatkan pendirian UIAM sebagai “memalukan” dan “menghakis integriti akademik”.

1fca2305e1656cc4dcaa1f8637dcb781

“Saya amat terkejut dan kecewa apabila mengetahui bahawa UIAM begitu mudah menolak ke tepi kenyataan seorang pensyarahnya yang mendakwa bahawa orang Rom kononnya belajar membina kapal daripada orang Melayu,” katanya.

Menurut Ramasamy, kenyataan luar biasa itu dibuat oleh pensyarah Jabatan Pengajian Arab, Solehan Yaacob, yang bidang kepakarannya tidak berkaitan dengan sejarah, arkeologi mahupun kajian maritim — bidang yang diperlukan untuk menyokong dakwaan sedemikian.

Dia berkata, tindakan universiti menjustifikasikan kenyataan tersebut sebagai “pendapat peribadi” menunjukkan kegagalan UIAM untuk mempertahankan standard akademik dan tanggungjawab ilmiah.

“Pendapat peribadi mungkin boleh diterima dalam hal-hal sosial atau kekeluargaan, tetapi tidak apabila ia melibatkan dakwaan besar tentang sejarah tamadun manusia.

19fa67fc06d80fe6cca42c4574b62d70
Solehan Yaacob

“Jika setiap pensyarah boleh membuat dua set kenyataan — satu ‘peribadi’ dan satu ‘akademik’ — apakah makna kelayakan universiti dan tanggungjawab ilmiah?” soalnya.

Ramasamy turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan disiplin diambil terhadap pensyarah berkenaan, sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “khayalan” yang boleh menyesatkan pelajar.

“Dakwaan bahawa bangsa Melayu mengajar orang Rom membina kapal adalah satu kenyataan luar biasa yang memerlukan bukti yang sama luar biasanya — bukan imaginasi kosong,” katanya.

UIAM dalam satu kenyataan tampil menyatakan rasa kesal susulan kenyataan “mengelirukan” oleh seorang ahli akademik universiti itu.

6fa892ec3bfe4182597430db31974b47

Ia menegaskan bahawa kenyataan ahli akademik berkenaan adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti berkenaan dan tidak menamakan ahli akademik yang dimaksudkan itu.

UIAM juga berkata ia telah memberi teguran kepada ahli akademik itu sebelum ini untuk lebih bertanggungjawab ketika memberi pandangan atas hal-hal akademik.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga adalah bekas profesor sains politik turut memberi amaran bahawa sikap sambil lewa dalam menangani kes seumpama ini hanya akan menjadikan universiti bahan ketawa masyarakat.

“Apabila universiti mula membela kejahilan atas nama pendapat peribadi, maka runtuhlah tiang ilmu yang sepatutnya menjadi tunjang dunia akademi,” katanya.

UIAM sebelum ini menjelaskan bahawa kenyataan mengenai hubungan tamadun Melayu dan Rom bukanlah pandangan rasmi universiti, sebaliknya pendapat peribadi pensyarah itu sebagai individu.

Terdahulu tular video rakaman ceramah Solehah yang mendakwa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.

Dakwaan pensyarah bahasa Arab itu mengundang kecaman dan kritikan, termasuk daripada Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) yang menggesa UIAM mengambil tindakan segera dan sewajarnya.

ASA menyifatkan kenyataan ahli akademik itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan reputasi serta nama baik universiti.

Tahun lepas Solehah turut mencetuskan kontroversi selepas berkongsi pandangan yang mengaitkan isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid, berkemungkinan berasal dari alam Melayu.



Source link