Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi menjadi pemimpin kelima PH yang menerima ugutan video seks.
Adun Kota Anggerik itu berkata dia menerima e-mel dari akaun tidak dikenali yang mengandungi tangkap layar gambar video yang dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memaparkan wajahnya.
“Dalam emel tersebut, saya turut diugut agar membayar wang sebanyak USD 100,000 sebagai timbal balas bagi mengelakkan penyebaran video tersebut,” katanya.
Najwan juga mendedahkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari turut menjadi sasaran serupa, menjadikan jumlah pemimpin PH yang menerima ugutan ini meningkat kepada lima orang.

Senarai itu termasuk ahli parlimen PKR Rafizi Ramli dan Wong Chen, serta Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Foong Hin daripada DAP.
“Saya ingin menegaskan bahawa ugutan seumpama ini adalah satu perbuatan jenayah yang sangat serius serta bertujuan mengancam keselamatan dan menjatuhkan maruah saya,” kata Najwan.
Dia berkata sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan akan turut membuat laporan polis.
“Saya percaya dalang di sebalik ugutan ini menggunapakai modus operandi yang sama seperti yang turut diterima oleh YB Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, YB Wong Chen dan YB Mohammed Taufiq Johari.

“Justeru, saya menyeru masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet.
“Penyebaran kandungan palsu dan fitnah sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu bahkan turut mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat,” tegasnya lagi.
Semalam, Rafizi mendedahkan dia diminta membayar AS$100,000 atau berdepan risiko penyebaran video seks songsang yang kononnya memaparkan dirinya.
Bekas menteri itu berkata dia dimaklumkan tentang ugutan tersebut oleh Wong Chen, yang menerima mesej serupa.

Rafizi berkata mereka berdua turut menerima tangkap layar video berkenaan.
“Kami sama-sama kongsi tangkap layar (video). Rupa-rupanya kami dituduh tidur dengan lelaki yang sama,” kata Rafizi.