Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang terkenal dengan pidatonya kerana sering memetik kata-kata hikmah daripada pelbagai tamadun dunia, sekali lagi mencuri perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Kali ini Anwar mengungkap kata-kata hikmah daripada sejarah untuk menegaskan mesej — bahawa kepimpinannya berpaksikan prinsip, bukan semata-mata kuasa. Namun, para pengkritiknya mungkin berpendapat sebaliknya.
Ketika awal ucapan, Anwar mengimbau kata-kata bekas Presiden Republik Czech, Václav Havel, yang mengingatkan bahawa “Politik harus menjadi cerminan luhur manusia, tidak sekadar perhitungan mahupun percaturan kuasa”.
Dia kemudian menelusuri kembali sejarah Yunani dengan memetik pandangan negarawan Athens, Pericles, yang menyatakan bahawa “Kemuliaan tidak diukur dari kekayaan tetapi dari keberanian dan ketegasan dalam menterjemah amanah kepada tanah air”.
Beralih ke zaman Pencerahan di Perancis, Anwar mengutip mutiara kata hakim dan ahli falsafah terkenal, Montesquieu, bahawa “Kuasa tanpa pertanggungjawaban adalah permulaan kepada kezaliman”.
Dia kemudian turut memetik karya klasik Cina dan Tamil.
Ketika berucap mengenai peruntukan untuk pertahanan, Anwar menyebut falsafah besar dari karya sejarah agung dalam Catatan Musim Bunga dan Luruh berjudul Zuo Zhuan yang mengingatkan tentang kesiapsiagaan.
Anwar membacakan petikan itu dalam bahasa Mandarin, lalu menterjemahkannya: “Dalam damai, kita wajar berwaspada akan ancaman dan marabahaya”.
Ketika bercakap tentang cabaran dalam negara, khususnya dalam menangani kos sara hidup, Anwar sekali lagi memetik karya agung Tamil, Thirukurral, dengan ungkapan: “Susah dan senang silih berganti, namun keteguhan hati nurani adalah mercu tertinggi kemuliaan insan”.
Dia turut mengimbas kata-kata Allayarham Dr Tun Ismail Abdul Rahman dalam buku “The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time”:
“Kita tidak hanya membina semula dinding dan bumbung, tetapi membangkitkan semangat agar kota ini kembali berbicara tentang siapa kita, dari mana asal kita dan ke mana kita menuju”.
Di akhir ucapannya, Anwar merenung situasi di Timur Tengah dan gencatan senjata Israel-Hamas, dengan menyatakan:
“Dunia pasca-Gaza menuntut keberanian moral dan kebijaksanaan diplomasi untuk membina ufuk baharu yang menjanjikan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat.”
Dia juga memetik bait puisi Muhammad Haji Salleh yang berjudul “Sajak-Sajak Pendatang”.
“jikalau akarku
merangkak ke tanah ini
akan lainlah buahnya nanti
getahnya akan jadi anih
kental atau beku
atau mengalir
melawan arus.”






