Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong hari ini tampil Bersatu sebagai “parti berpecah” susulan perebutan dalaman untuk menentukan calon perdana menteri dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan, Woo betkata himpunan “Turun PMX” yang dianjurkan pada Julai lalu bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tetapi sebenarnya mencerminkan konflik dalaman Bersatu sendiri.

“Rupa-rupanya tujuan himpunan Turun PMX adalah demi menurunkan pimpinan Bersatu sendiri.
“Adakah parti sebegini yang berpecah dan tidak bersatu boleh diberikan kepercayaan untuk memimpin negara? “ soalnya.
Lembaga Disiplin Bersatu awal pagi tadi memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) selama satu penggal.
Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal itu adalah dua daripada enam ahli Bersatu yang dikenakan tindakan oleh badan disiplin parti kerana melanggar peraturan yang ditetapkan parti terbabit.

Empat yang turut dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris dari bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Sebelum ini Wan Saiful membuat kejutan apabila mengkritik Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, serta menjelaskan langkah sesetengah pemimpin parti itu mengumpul akuan berkanun (SD) dalam kalangan ketua-ketua bahagian bukan bertujuan untuk mengetepikan presiden mereka, Muhyiddin Yassin.
Pada 26 Julai lalu, Perikatan Nasional (PN) menganjurkan perhimpunan ‘Turun Anwar‘ di ibu negara yang dihadiri kira-kira 25 ribu peserta.

Mengulas lanjut, Woo turut menyindir Bersatu yang sedang bergelut dengan perpecahan dalaman dan berkata PN tidak sepatutnya diberi kepercayaan untuk memimpin negara.
“Adakah parti sebegini yang berpecah dan tidak bersatu boleh diberikan kepercayaan untuk memimpin negara?
“Jangan harapkan parti sebegini untuk memberikan bantuan RM500,” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang berjanji sekiranya menjadi kerajaan, PN akan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun kepada isi rumah yang memerlukan.

Malah kata pemimpin DAP itu, bantuan tunai sering digunakan sebagai bahan politik oleh PN.
Semalam, Hamzah, berkata janji bantuan sebanyak RM500 sebulan oleh PN jauh lebih baik berbanding program Bantuan Asas Rahmah (Sara) yang menurutnya bersifat bersyarat dan terhad yang diumumkan kerajaan Madani semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lalu.
Dalam nada sinis, Woo turut menasihatkan MCA dan MIC supaya “menarik brek tangan” daripada terus menghampiri PN, sambil menyindir bahawa kedua-dua parti itu kini hanya berlindung dalam kerajaan demi jawatan dan pangkat.

“Kepada MCA dan MIC yang sedang menanti-nantikan perkahwinan mereka dengan PN, bolehlah menarik brek tangan dahulu.
“Teruslah berselindung dalam kerangka kerajaan kini demi jawatan dan pangkat. Tapi jangan menangis pula apabila tak dapat mainan,” katanya lagi, menutup kenyataannya dengan tanda pagar #TahniahPAS.
Sebelum ini Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran menolak kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menggambarkan parti mereka ibarat “kanak-kanak yang kehilangan mainan dan berharap untuk mendapatkannya semula.”
Kedua-dua pemimpin itu menegaskan, dakwaan Zahid bahawa MCA dan MIC hanya berminat pada “mainan” atau jawatan dalam Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar.
Kedua-dua parti itu kini sedang menilai kemungkinan keluar daripada BN berikutan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam politik nasional, khususnya selepas Umno di bawah pimpinan Zahid menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Antara kebimbangan utama mereka ialah pembahagian kerusi pilihan raya yang memihak kepada parti penyandang. Berdasarkan formula perkongsian kerusi antara BN dan PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan mendapat sebilangan kecil kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketika ini, MCA hanya memiliki dua kerusi Parlimen, manakala MIC satu.






