Israel mesti diharamkan daripada menyertai semua pertandingan sukan ekoran serangan rejim berkenaan ke atas Gaza, kata persekutuan bola sepak Turki.
Keputusan mungkin akan diambil oleh UEFA pada minggu depan sama ada untuk menggantung kelab dan pasukan kebangsaan Israel atau sebaliknya, lapor agensi berita PA.
Rancangan sedang diatur untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif luar biasa badan berkenaan bagi membincangkan isu tersebut. Walaupun belum ada yang dijadualkan, difahamkan terdapat sokongan dalam kalangan ahli persatuan UEFA untuk mengambil tindakan.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Turki Ibrahim Haciosmanoglu dilapor mengumumkan pendiriannya secara terbuka. Dalam kenyataan yang dilaporkan oleh saluran berita dalam talian Sporx, dia berkata: “Walaupun meletakkan diri mereka sebagai pembela nilai bertamadun dan keamanan, dunia sukan dan institusi bola sepak berdiam diri terlalu lama.
“Sudah tiba masanya untuk Fifa dan UEFA mengambil tindakan. Israel mesti diharamkan daripada semua pertandingan sukan dengan segera.”
Israelyang menjadi ahli penuh UEFA sejak 1994 menghadapi peningkatan kritikan antarabangsa berhubung serangannya ke atas Gaza.
Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub – yang sejak sekian lama menyeru agar Israel digantung – memberitahu media Norway yang dia akan bertemu dengan Presiden UEFA Aleksander Ceferin minggu depan, bersama dengan Kirsty Coventry, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.
Presiden Persatuan Bola Sepak Israel, Moshe Zuares, pula memberitahu TV2 Norway, tindakan menggantung negara itu “tidak akan menghentikan serangan atau apa yang sedang berlaku.”
“Saya tidak fikir menghentikan bola sepak akan membantu dalam apa jua cara.
“Saya tidak melihat perang antara Rusia dan Ukraine berakhir selepas Rusia diharamkan. Saya tidak nampak yang ia menyelesaikan sebarang masalah,” katanya.
Pentadbiran Donald Trump di AS berkata Washington akan berusaha untuk menghalang Israel daripada digantung daripada Piala Dunia.
Israel berada di tempat ketiga dalam kumpulan kelayakan di belakang Norway dan Itali.
– Bernama/PA Media/dpa






