Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim berkata alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung keputusan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah adalah hujah yang ‘celaru’.
Hassan berkata perdana menteri menyatakan bahawa kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan tetapi pada masa sama mengatakan tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh hakim.
“Perlu difahami Keputusan Mahkamah yang dibuat oleh hakim dan alasan penghakiman yang juga dibuat oleh hakim yang sama adalah dua perkara yang berbeza tetapi saling berkait seperti isi dengan kuku.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu adalah berasaskan alasan penghakiman hakim yang mendengar kes semakan kehakiman itu.
“Jika ada isu yang dikemukakan di dalam alasan penghakiman yang kerajaan persekutuan tidak setuju, maka kerajaan persekutuan perlu merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu hari ini, Anwar menegaskan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan persekutuan hanya akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menyatakan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah telah melakukan kesilapan besar sejak tahun 1974.

Anwar berkata perkara itu tidak akan menjejaskan keputusan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah.
Keputusan mahkamah itu mendapati kerajaan persekutuan, kerajaan Sabah dan Ahli Parlimen dalam kerajaan “tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur yang betul, dan cuai terhadap tanggungjawab mereka kepada negeri Sabah,” kata Anwar.
Kabinet keliru, Peguam Negara cuai
Bagaimanapun, Hassan berkata penjelasan Anwar menunjukkan bahawa kabinet keliru, manakala Jabatan Peguam Negara gagal menasihati cabang eksekutif itu dengan sewajarnya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu juga berkata isu hak 40 peratus itu adalah perkara perlembagaan dan platform terbaik untuk menyelesaikannya ialah di Mahkamah Persekutuan dan bukan Mahkamah Tinggi.
Dia menegaskan bahawa jika kerajaan persekutuan tidak memfailkan rayuan, ini bermakna kerajaan persekutuan mesti mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi sepenuhnya.
“Pada peringkat sekarang kerajaan persekutuan tidak boleh berlengah-lengah atas alasan untuk berunding dengan kerajaan negeri Sabah atau Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 ( MA63).
“Ini bukan masa berunding lagi. Ini masa untuk laksanakan apa yang diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. Tidak ada option lain.
“Jika kerajaan persekutuan gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu maka kerajaan persekutuan telah tidak menghormati mahkamah atau menghina mahkamah.Inilah kesannya atau natijah keputusan kerajaan yang terburu-buru memutuskan untuk tidak merayu.
“Jangan salahkan sesiapa jika ada pihak membuat kesimpulan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membuat satu kesalahan tort yang dipanggil kecuaian kerajaan persekutuan kerana tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tersebut,” kata Hassan.






