CYBERJAYA: Op Sohor yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini turut dibantu oleh rangkaian maklumat dikongsi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Baginda juga mahu sindiket penyeludupan dadah yang berpusat di selatan tanah air itu dibanteras.
“Tengku Mahkota Johor sebagai Pemangku Sultan Johor amat bekerjasama dan mahu perkara (sindiket) ini dibanteras.
“Dan banyak juga kita dapat maklumat-maklumat yang kami peroleh daripada hasil networking (jaringan dan rangkaian) maklumat daripada Tengku Mahkota Johor,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR), di sini hari ini.
Ditanya sama ada sindiket itu turut dikesan di lokasi lain, Azam menjelaskan, setakat ini sindiket itu hanya dikesan di selatan tanah air sahaja.
Azam berkata, pihaknya juga akan menyiasat lanjut pembabitan sebuah syarikat media yang dikatakan terbabit dalam sindiket berkenaan.
“Semalam banyak bertanya tentang pembabitan dua orang wartawan yang ditahan membabitkan sindiket itu.
“Ya, mereka tu memang dari segi rekodnya, mereka adalah wartawan dalam bidang sosial media dan bukan wartawan daripada arus perdana,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 hingga 55 tahun ditahan di Lembah Klang sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Antara ditahan adalah pegawai kanan itu adalah dari bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM dari bahagian sama.
Difahamkan, pegawai tentera itu adalah mereka yang ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan, tetapi mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan itu sejak lima tahun lalu dan disyaki mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta. – UTUSAN