Berbaki dua hari lagi sebelum tarikh akhir sebelum perobohan dilangsungkan kerajaan Selangor digesa menghentikan operasi membabitkan kediaman kira-kira 100 penduduk Kampung Jalan Papan di Pandamaran.
Gesaan itu dibuat bekas ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dalam sidang media bersama penduduk hari ini Charles dan PSM juga menuntut kerajaan negeri pimpinan PH supaya segera campur tangan bagi melindungi hak penduduk yang telah menetap di kawasan tersebut lebih tiga dekad lalu.
Katanya, menurut perjanjian di antara kerajaan negeri – yang ditadbir BN ketika itu – dengan pemaju yang ditubuhkan untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai, TPPT Sdn Bhd (TPPT), keluarga terbabit diberikan rumah jika syarikat itu mengambil alih tanah berkenaan.
“Kerajaan Selangor pada 1995 memindahkan 95 ekar tanah tersebut kepada TPPT, sebuah anak syarikat Bank Negara Malaysia, manakala pada 2007, TPPT membawa masuk pemaju Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd untuk membina rumah-rumah tersebut.
“Namun, selepas hampir tiga dekad, keluarga di Kampung Papan masih belum menerima rumah teres dua tingkat yang dijanjikan, yang sepatutnya dijual kepada mereka pada harga RM99,000,” katanya.

Menurut Charles, kerajaan negeri mesti mengambil tanggungjawab dan melindungi hak rakyat serta perjanjian yang dibuat.
“Ini bukan isu baru, ia sudah berlanjutan lebih 30 tahun, dan janji rumah masih belum ditunaikan,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Charles berkata senarai nama penduduk yang layak menerima rumah telah diserahkan kepada menteri besar ketika itu, Azmin Ali, namun tiada tindakan lanjut diambil.
Pada 2020 dan pandemik Covid-19 melanda, pemaju memperoleh perintah mahkamah untuk mengusir penduduk.
Tak perlu halau
Bagaimanapun, kerajaan negeri pada 23 Okt lalu memberi jaminan bahawa perobohan hanya melibatkan rumah kosong dan premis perniagaan. Pada 27 Okt pula penduduk menerima notis baru yang mahu mereka mengosongkan rumah masing-masing.
“Apa yang berlaku? Mengapa mereka diusir? PH sepatutnya memperjuangkan reformasi, tetapi lihat apa yang sedang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata penduduk menerima notis pengosongan rasmi dari Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 Okt lalu dengan memberikan tempoh 14 hari untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Mereka mempunyai masa selewat-lewatnya jam 9 pagi pada 10 Nov ini untuk berbuat demikian.
“Kegagalan mematuhi arahan tersebut akan membolehkan bailif menggunakan kekerasan bagi mendapatkan kembali hak milik tanah,” katanya.
Arutchelvan turut merujuk kepada hantaran Facebook Polis Klang Selatan yang menunjukkan satu mesyuarat penyelarasan operasi diadakan pada 6 Nov lalu di antara pihak berkuasa tempatan, wakil mahkamah Shah Alam dan pemaju.
Katanya PSM bimbang jika tindakan perobohan tetap diteruskan walaupun terdapat rundingan yang belum selesai.
“Cara rumah dibina di situ sangat rapat. Jika rumah kosong dirobohkan sekalipun, ia boleh menjejaskan kediaman bersebelahan,” katanya.
Wakil penduduk, Teoh Ah Guat, 63, berkata mereka sedia berpindah dari situ sekiranya ada petempatan baru disediakan seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Namun, katanya yang tinggal lebih 30 tahun bersama suami dan dua anaknya di kampung berkenaan, kerajaan negeri perlu menunaikan janji dan memohon rumah ganti disiapkan terlebih dahulu.
“Jika kerajaan negeri selesaikan isu tempat tinggal kami, kami bersedia berpindah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, M Nathan, 55, juga berkata kerajaan negeri tidak perlu menghalau mereka kerana penduduk sendiri yang akan keluar jika rumah yang dijanjikan dapat ditunaikan.






