Pada 8 September 2025, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan bahawa akuan berkanun (SD) yang mahukan Presiden, Muhyiddin Yassin berundur sebagai tidak ada tempat dalam perlembagaan parti. SD, katanya, tidak boleh menjadi asas untuk mengangkat atau menjatuhkan pemimpin.
Namun sehari kemudian, 9 September, melalui status Facebooknya, Tun Faisal tiba-tiba menyatakan bahawa 120 SD itu bukan menggesa presiden berundur, sebaliknya SD menyokong presiden pengasas.
Kenyataan ini pula dipetik daripada laporan media mengenai kenyataan ketua bahagian Pasir Salak disertai ucapan terima kasih. Anehnya, kali ini beliau langsung tidak menyebut bahawa 120 SD itu juga “tidak berperlembagaan”.
Di sinilah wujud percanggahan besar. Jika SD menolak Muhyiddin dianggap tidak sah, mengapa SD yang menyokong beliau tiba-tiba diraikan? Jika logik perlembagaan digunakan secara konsisten, kedua-duanya — SD menyokong mahupun menolak presiden — harus sama-sama ditolak.

Lebih mengelirukan, Tun Faisal begitu ghairah mengulas soal tindakan disiplin terhadap ahli yang didakwa terbabit dengan SD menolak presiden.
Persoalannya, kumpulan mana yang patut dibawa ke Lembaga Disiplin? Adakah 120 SD yang menolak kepimpinan presiden, atau juga 120 SD yang menyokong presiden? Mengikut logik Tun Faisal sendiri, kedua-duanya sudah melanggar disiplin kerana menggunakan instrumen yang “tidak berperlembagaan”.
Kekeliruan makin bertambah apabila naratif SD ini disamakan dengan isu calon perdana menteri (PM). Padahal, isu kepimpinan parti adalah soal dalaman Bersatu, manakala isu siapa calon PM adalah urusan gabungan Perikatan Nasional (PN). Dua perkara berbeza ini sengaja digaul dalam satu kuali, kononnya sebagai penyelesaian kepada krisis.
Soalan yang lebih mendasar ialah: jika SD dianggap tidak relevan, adakah suara ahli yang mahu presiden berundur juga tidak relevan?
Jika benar begitu, maka demokrasi dalam Bersatu hanya tinggal hiasan. Akar umbi tidak ada hak untuk bersuara, dan sebarang perbezaan pandangan boleh dilabel sebagai pelanggaran disiplin.

Akhirnya, gaya Tun Faisal ini bukan meredakan keadaan, malah menambahkan lagi persoalan. Beliau kelihatan lebih seperti jurucakap peribadi Muhyiddin berbanding ketua penerangan parti.
Jika beginilah wajah demokrasi dalaman Bersatu, rakyat wajar bertanya: adakah ini model kepimpinan parti yang mahu menawarkan diri sebagai kerajaan kelak?
Kerana jika suara ahli sendiri dianggap ancaman, apalah harapan suara rakyat nanti?
MAHDZIR IBRAHIM adalah anggota Bersatu Bangi, Selangor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.