ULASAN | Hari ini (2 Ogos), genap 52 tahun sejak Tun Dr Ismail Abdul Rahman kembali ke rahmatullah. Namun bagi saya yang sudah menjangkau usia emas, yang tidak pernah bersua mata dengannya, tetap merasakan kehadirannya seolah-olah masih berhembus dalam sejarah tanah air.
Saya membaca tentangnya bukan sekali dua, malah berulang-ulang. Buku The Reluctant Politician, Bukan Kerana Pangkat, dan Drifting into Politics seakan menjadi jendela kepada jiwa seorang tokoh yang jarang dilaungkan, tetapi teguh disemat dalam nadi negara.
Saya tidak mengenalnya secara peribadi, tetapi entah mengapa terasa dekat. Mungkin kerana dalam perwatakannya tersimpan cerminan Melayu tulen yang tidak sombong, tetapi tidak juga tunduk. Mungkin kerana dalam keputusannya, terpancar kejujuran yang tidak berpura-pura. Dan mungkin juga kerana Tun Dr Ismail telah menyerahkan jantungnya — secara harfiah dan hakiki — kepada tanah air tercinta ini.
Saya membaca dengan teliti, kadang kala perlahan kerana penglihatan dan keupayaan saya tidak lagi seperti dahulu. Namun setiap helaian buku tentang Tun Dr Ismail menyalakan semangat dan membuka pemahaman saya terhadap sejarah Malaysia yang lebih jujur dan mendalam.
DaripadaThe Reluctant Politician yang ditulis Ooi Kee Beng, saya memahami bagaimana Tun Dr Ismail seorang yang tidak tamak kuasa, malah sebenarnya lebih gemar hidup dalam tenang daripada bergelumang dalam politik. Tetapi apabila bangsa memerlukan, dia melangkah masuk — bukan kerana mahukan pangkat, tetapi kerana tidak mampu berpaling daripada tanggungjawab.
Buku terjemahan Bukan Kerana Pangkat menguatkan lagi kesedaran saya tentang nilai keikhlasan dalam perjuangannya. Tiada jejak populis, tiada permainan persepsi. Dia tidak bergantung kepada pidato megah, tetapi kepada integriti, kecekapan dan keberanian mengambil keputusan yang berat demi kebaikan bersama.
Dalam Drifting into Politics, memoir separa siap yang disunting oleh anaknya Tawfik Ismail, saya dapat menelusuri suara hatinya sendiri. Di situ, terpancar betapa dia sendiri tidak menyangka bahawa dirinya akan hanyut ke gelanggang politik, namun akhirnya itulah medan bakti paling agung buatnya.

Dilahirkan pada 4 November 1915 di Johor Bahru, Tun Dr Ismail adalah anak kepada Datuk Abdul Rahman Mohamed Yasin, tokoh yang tegas menentang Malayan Union. Darah yang mengalir dalam dirinya bukan sekadar darah bangsawan, tetapi darah yang membawa amanah.
Seawal usia muda, Tun Dr Ismail dihantar belajar ke Australia dan Singapura, lalu menekuni bidang perubatan. Namun jalan hidupnya tidak berhenti di hospital atau klinik; sejarah telah memilihnya untuk merawat bangsa.
Tahun 1951 menyaksikannya menyertai Umno dan terus dilantik menjadi Naib Presiden. Di saat negara masih terumbang-ambing antara penjajahan dan kemerdekaan, Tun Dr Ismail berdiri sebagai antara perunding utama delegasi Tanah Melayu ke London.
Tun Dr Ismailas bukan jenis pemimpin yang lantang menghentak meja, tetapi kata-katanya menusuk tepat. Diplomasinya berakar pada harga diri dan ketajaman akal, bukan sekadar kebolehan retorik.
Selepas merdeka, dia menjadi duta Malaysia pertama ke Amerika Syarikat dan PBB. Bayangkan — seorang lelaki Melayu, dari tanah yang baru bebas, berdiri di dewan-dewan antarabangsa mewakili satu bangsa yang baru bertatih.
Dia membawa Malaysia ke dunia, dan dunia mengenali Malaysia melalui sikap tenang, yakin, dan berprinsip yang ditunjukkannya.
Sekembalinya ke tanah air, Tun Dr Ismail tidak meminta ganjaran. Sebaliknya dia menggalas tugas lebih berat: Menteri Luar, kemudian Menteri Dalam Negeri, di waktu negara dihimpit oleh komunis dan ketegangan kaum. Dialah yang menjadi arkitek ketenteraman. Dialah yang mengepalai penguatkuasaan ISA — bukan untuk menindas, tetapi untuk menyelamatkan.
Pada 1966, dia menjadi individu pertama menerima gelaran “Tun”, namun dia sendiri tidak menuntut penghormatan itu. Apabila kesihatan jantungnya semakin merosot, Tun Dr Ismail bersara pada 1967.

Tetapi istirahatnya tidak lama. Peristiwa 13 Mei 1969 menggugah negara. Dalam waktu genting itu, Tun Abdul Razak memanggilnya kembali — bukan untuk nama, bukan untuk kuasa, tetapi kerana negara sangat memerlukan seseorang yang boleh dipercayai sepenuhnya. Dan dia kembali, menjadi Timbalan Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran), kemudian Menteri Dalam Negeri semula.
Saya membaca kembali catatan tentang hari-hari getir itu. Dalam kekacauan dan ketegangan, Tun Dr Ismail menenangkan keadaan tanpa menimbulkan panik. Dia tidak memberi ucapan yang membakar, tetapi mengambil tindakan yang memulihkan.
Dalam riuh rendah politik perkauman, Tun Dr Ismail berdiri di atas prinsip bahawa Malaysia bukan milik satu kaum, tetapi milik bersama. Semangat Melayu dalam dirinya bukan bersifat rasis, tetapi berakar pada keadilan, maruah, dan tanggungjawab.
Pada 1970, dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, menggantikan Tun Razak yang mengambil alih tampuk negara daripada Tunku Abdul Rahman. Pada waktu itu, tubuhnya semakin uzur. Kanser leher dan serangan jantung yang kerap tidak menghalangnya untuk terus bekerja. Ramai ahli keluarga menasihatinya untuk berehat. Namun jawapannya tetap: “Saya akan berhenti bila saya tahu saya sudah tidak berguna untuk negara ini.”
Julai 1973 menyaksikan tubuhnya semakin lemah. Namun dia tetap berkhidmat — menghadiri mesyuarat kabinet, menghadap Yang di-Pertuan Agong, dan menjalankan tanggungjawab sebagai pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Tun Razak di luar negara.
Dan pada 2 Ogos 1973, dia merasmikan Sambutan Jubli Perak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) — mungkin sebagai amanah terakhir kepada generasi muda. Pada malam itu, jantungnya rebah dalam senyap. Doktor cuba menyelamatkannya selama lima jam. Namun Tuhan lebih menyayanginya.

Dia meninggal dunia pada jam 10 malam. Dan pada esoknya, negara tersentak. Pemergiannya diratapi bukan hanya oleh pemimpin dan ahli politik, tetapi oleh rakyat yang sedar bahawa mereka baru kehilangan seorang pemegang amanah sejati.
Jenazah Tun Dr Ismail dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara — menjadikannya yang pertama menerima penghormatan itu. Ia bukan sekadar pengkebumian, tetapi pemahkotaan kepada seorang pejuang yang setia hingga ke nafas terakhir.
Sebagai seorang warga emas, yang telah melihat pelbagai pergolakan dalam politik tanah air, saya mengangkat nama Tun Dr Ismail sebagai contoh yang semakin jarang. Dalam dunia yang kian dibanjiri oleh pemimpin yang rakus kuasa dan gila sanjungan, Tun Dr Ismail hadir sebagai lambang kepimpinan yang bersih, cekal dan tidak menjual prinsip.
Saya ingin menyampaikan harapan ini kepada generasi muda — bacalah kisah Tun Dr Ismail. Bukan sekadar untuk menghafal tarikh atau fakta sejarah, tetapi untuk menyelami semangat dan nilai yang dibawanya.
Semangat Melayu yang tidak mementingkan diri. Semangat Malaysia yang mendahulukan perpaduan. Tun Dr Ismail bukan sahaja pemimpin orang Melayu, tetapi pemimpin untuk semua kaum. Kerana baginya, menjadi Melayu yang sejati adalah menjadi adil kepada semua, bukan hanya kepada sendiri.
Jangan biarkan namanya tenggelam dalam buku teks atau pameran muzium. Hidupkan kembali semangatnya dalam sikap, dalam keputusan, dalam perjuangan harian. Negara ini memerlukan lebih ramai Tun Dr Ismail — yang bekerja dalam diam, yang bercakap dengan perbuatan, dan yang mengorbankan keselesaan demi maruah tanah air.
Saya mungkin tidak lama lagi akan mengikut jejak usia. Namun saya berharap, ketika mata ini tertutup nanti, saya tahu bahawa generasi baru telah mengenali dan menghargai warisan yang ditinggalkan oleh tokoh seperti Tun Dr Ismail. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, dan semoga semangatnya terus hidup dalam denyut nadi Malaysia.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.