Malaysia Oversight

Tulisan jawi bukan untuk diperap di muzium

By MkiniBM in August 19, 2025 – Reading time 2 minute
Tulisan jawi bukan untuk diperap di muzium


Jangan biarkan tulisan Jawi menjadi khazanah usang yang hanya terperap di muzium.

Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu 2025 di Kuantan, Pahang, hari ini.

Baginda bertitah, tulisan Jawi adalah warisan rohani dan intelektual orang Melayu dan rakaman sejarah tamadun dan ilmu agama banyak menggunakan tulisan itu.

“Melalui tulisan Jawi (juga) mengatur undang-undang dan menyampaikan karya sastera yang mempersonakan,” titahnya.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Agama, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pada majlis sama, Al-Sultan Abdullah melancarkan buku ‘Mahir Jawi: Panduan Komprehensif Untuk Semua Peringkat‘ yang dihasilkan Universiti Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas).

Al-Sultan Abdullah mencadangkan supaya usaha berterusan dalam memperkasakan tulisan Jawi dilakukan secara konsisten.

“Pihak berkuasa tempatan perlu menyeragamkan penulisan tulisan Jawi di premis perniagaan dan tempat pelancongan di Pahang.

“Lebih ramai pakar tulisan Jawi juga perlu dilahirkan menerusi kursus intensif secara berterusan.

“Selain itu, perkembangan teknologi digital juga perlu dimanfaatkan dengan penghasilan aplikasi dan media sosial berasaskan Jawi,” titahnya lagi.

Baginda dalam masa yang sama memuji usaha dilakukan Pahang dengan kerjasama Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang serta Unipsas memartabatkan tulisan Jawi.

Titah baginda, walaupun tulisan Jawi masih belum digunakan secara meluas dalam urusan rasmi dan harian, namun langkah untuk memperkasakan khazanah itu perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Saya percaya bahawa memelihara tulisan Jawi ini bukan sekadar amanah sekolah atau institusi agama semata-mata.

“Tetapi tanggungjawab semua lapisan masyarakat.

“Tulisan Jawi adalah nadi dan wajah sebenar identiti bangsa Melayu… andai ia pupus, maka seakan-akan hilang sebahagian roh dan jasad kita,” titahnya.



Source link