PARLIMEN | Kerajaan hari ini digesa untuk tidak menggunakan sentimen agama bagi menghalang rakyat membuat “perubahan secara demokratik” kerana ia bukannya sesuatu yang berdosa.
Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata hal itu kerana ia selaras dengan negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
“Jangan cuba tunggang agama, kononnya menukar kerajaan bukan cara Islam.
“Sistem negara kita adalah demokrasi berparlimen. Ada pilihan raya setiap lima tahun, maka menukar kerajaan bukanlah jenayah, bukan dosa, bukan juga pengkhianatan, sebaliknya itulah bukti rakyat sayang kepada negara.
“Kita ingin negara ini selamat dan kita ingin menjulang sistem beraja yang ada dalam negara kita.
“Kita ingin melihat negara ini dipimpin dengan nilai moral, iman dan amanah, bukan retorik semata-mata,” katanya semasa membahaskan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 20 Julai lalu seorang ulama terkenal berharap pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dapat dikekalkan yang menurutnya bagi mengelakkan kesan kepada perkembangan Islam dan ekonomi.
Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki menyuarakan harapannya itu ketika ada pihak tertentu terutama pembangkang berusaha menjatuhkan perdana menteri menerusi himpunan di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.
Bukan bermakna bisu, tak tegur
Menurut penasihat Kesatuan Pondok Kelantan itu, perubahan kerajaan yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat termasuk perkembangan sekolah pondok dan menyebabkan ekonomi menjadi malap.
Dalam perbahasannya Ahmad Marzuk turut membidas peringatan kepada penjawat awam agar tidak menyertai himpunan Turun Anwar hujung minggu ini.
Katanya tindakan itu adalah suatu penindasan dan menghalang hak bersuara rakyat.
“Kita faham benar Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara tapi jangan cuba memesongkan maksudnya.
“Kesetiaan kepada negara bukanlah kesetiaan mutlak kepada seorang perdana menteri. Kita setia kepada raja kerana itu lambang negara kita.
“Kita setia kepada negara kerana itu amanah yang kita warisi.
“Tetapi kesetiaan tidak bermakna bisu, tidak bermakna tidak boleh menegur apatah lagi menukar kerajaan secara sah dan demokratik” katanya.