Malaysia Oversight

Tujuh menteri, lapan timbalan menteri angkat sumpah di Istana Negara

By Utusan in December 17, 2025 – Reading time 2 minute


KUALA LUMPUR: Seramai tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini, hari ini.

Lapan timbalan menteri yang baharu turut dilantik mengangkat sumpah jawatan, susulan rombakan Kabinet Madani.

Istiadat itu bermula dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis penandatanganan dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ibrahim turut hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu, yang berlangsung di Singgahsana Kecil pada pukul 10 pagi tadi.

Menteri yang mengangkat sumpah ialah:

1. Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bertukar daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

2.Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, bertukar daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

3. Datuk Seri R. Ramanan dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, bertukar daripada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

4. Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilantik sebagai Menteri Ekonomi, bertukar daripada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

5. Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), lantikan baharu.

6. Dr Zulkifli Hasan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bertukar daripada Timbalan Menteri portfolio sama.

7. Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang merupakan lantikan baharu.

Timbalan menteri yang merupakan lantikan baharu ialah:

1. Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

2. Datuk Mohd Shahar Abdullah sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.

3. R. Yuneswaran sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

4. Mordi Bimol sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

5. Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

6. Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

7. Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

8. Marhamah Rosli dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Istiadat diakhiri dengan sesi bergambar barisan menteri serta timbalan menteri baharu bersama Sultan Ibrahim sebelum meninggalkan Istana Negara pada pukul 10.45 pagi. – UTUSAN





Source link