Polis menahan tujuh individu yang dipercayai terbabit dalam penyebaran video serta kenyataan berunsur hasutan dan penghinaan terhadap pemimpin negara di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata, kesemua suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ Bukit Aman antara 17 September hingga semalam.
Menurutnya, siasatan dijalankan susulan tujuh kes penularan video di platform TikTok dan Facebook yang dikesan mengandungi elemen hasutan, ugutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
“Kes pertama membabitkan pemilik akaun TikTok @zollpatv yang membuat komen berbaur hasutan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
“Kes kedua pula melibatkan pengguna akaun @saya_alif5 yang memuat naik hantaran mengaibkan terhadap pemimpin negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, lima lagi kes membabitkan akaun @japajafaruddinshop, @HonaKia53, @k_a_m_i_l_2905, @tokgompo dan akaun Facebook Vincent Naidu. Semua akaun itu dikesan memuat naik hantaran berunsur penghinaan, ugutan serta kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam.
Jelasnya lagi, semua tangkapan dilakukan secara berasingan di beberapa lokasi seluruh negara, dengan perintah reman antara satu hingga tiga hari dibenarkan mahkamah bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut Kumar, semakan rekod mendapati seorang suspek berusia 40-an memiliki 19 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala seorang lagi berusia 60-an pernah disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
“PDRM memberi amaran keras terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial atau kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, ugutan atau penghinaan.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar berhemah dan bertanggungjawab ketika membuat sebarang kenyataan atau perkongsian di media sosial demi menjaga keharmonian masyarakat,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.






