Bermula dengan niat berkongsi ilmu agama secara santai dan mampu diakses semua, seorang editor buku mengambil inisiatif mengadakan kelas dalam talian menerusi TikTok bagi tuisyen Pendidikan Islam dan Bahasa Arab pada harga simbolik RM1.
Tanpa mengejar keuntungan, Muhammad Hafeez mewujudkan kelas yang dinamakan ‘Tuisyen Abah’, yang bukan sahaja membantu murid sekolah mendalami ilmu agama, malah turut menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam proses pembelajaran anak-anak mereka.
“Matlamat saya bukan mencari untung, tapi menyampaikan ilmu. Ramai ibu bapa terlepas pandang subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sebab ia tidak termasuk dalam peperiksaan utama, sedangkan nilai agama dan akhlak itulah asas kejayaan sebenar,” katanya kepada Bernama.
Editor di Pustaka Yakin Pelajar Sdn Bhd itu berkata kelas berkenaan disiarkan secara langsung di TikTok setiap malam Ahad hingga Jumaat selama satu jam bermula 8.30 malam, dengan kandungan disusun mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia.
Menurut Muhammad Hafeez, penekanan diberikan kepada bacaan al-Quran dan tulisan Jawi kerana kedua-duanya menjadi asas dalam memahami topik-topik penting seperti akidah, hadis dan ibadah.
“Kemahiran membaca dan menulis Jawi sangat penting. Jika lemah dalam Jawi, pelajar akan sukar faham isi kandungan Pendidikan Islam. Jadi, saya fokus satu subtopik setiap malam supaya lebih mudah difahami,” katanya yang pernah menjadi guru ganti di beberapa sekolah.
Muhammad Hafeez yang merupakan lulusan ijazah syariah Islamiah daripada Universiti Al-Azhar berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan, dengan kehadiran mencecah lebih 50 peserta dalam satu sesi.
“Ada juga ibu bapa yang ikut sekali kelas. Mereka beritahu, sambil pantau anak, mereka dapat ulang kaji tajwid, al-Quran dan asas bahasa Arab. Itu antara maklum balas yang buat saya terus bersemangat,” katanya.
Beliau menjelaskan bayaran RM1 yang dikenakan hanyalah simbolik dan diserahkan kepada keikhlasan ibu bapa kerana yang lebih utama ialah anak-anak mendapat ilmu dan nilai manfaat.
Selain sesi langsung, beliau turut merancang menerbitkan nota video pembelajaran berharga RM3 hingga RM5 sebagai bahan tambahan ulang kaji, selain menambah elemen interaktif dalam pengajaran.
“Saya anggap ini satu bentuk saham akhirat. Walaupun cuma sejam setiap malam, kalau ia memberi kesan positif kepada anak-anak, itu sudah memadai,” katanya.
Muhammad Hafeez turut menyimpan harapan untuk mengembangkan inisiatif kecilnya itu menjadi sebuah pusat tuisyen fizikal pada masa akan datang yang memfokuskan pada pembelajaran agama secara santai dan berkesan.
– Bernama






