MUKTAMAR PAS | Pemuda PAS hari ini mencadangkan Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pilihan utama untuk menjadi calon perdana menteri PN.
Bercakap kepada wartawan selepas muktamar kali ke-66 sayap itu di Kedah, ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden turut mengemukakan beberapa nama lain yang diyakini memiliki potensi untuk memimpin PN dan negara.
Antaranya ialah Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor, yang juga pengarah pilihan raya PN.
“Yang pertama saya nak cadangkan, macam yang disebut sebelum ini, kita timbalan presiden. Kita ada presiden (Abdul Hadi Awang). Tapi kalau ikut kecergasan (kesihatan), mungkin timbalan presidenlah.
“Presiden pun dah banyak kali sebut dia tak nak jadi Perdana Menteri sebab dia nak memberi ruang kepada orang lain yang lebih bertenaga,” kata Afnan.
Sebelum ini, Abdul Hadi, 77, yang juga ahli Parlimen Marang, beberapa kali dilaporkan menerima rawatan di hospital.
Terdahulu ketika Muktamar Pemuda PAS, perwakilan sebulat suara meluluskan usul supaya kepimpinan parti mengambil alih PN dan memimpin negara.
Afnan juga berkata PAS mempunyai ramai pemimpin berwibawa yang berpengalaman sebagai menteri kabinet dan Menteri Besar.
Dia menyebut nama Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Ahmad Samsuri Mokhtar, yang kedua-duanya merupakan ahli Parlimen.
“Kita ada ramai lagi, Menteri Besar Kedah boleh jadi ahli Parlimen (dan seterusnya) boleh jad Perdana Menteri. Jadi, tak ada masalah,” katanya yang juga ahli Parlimen Alor Setar.
Tuan Ibrahim dan Idris sebelum ini pernah menjadi menteri dalam kerajaan persekutuan, manakala Samsuri ialah Menteri Besar Terengganu pada masa ini.