Malaysia Oversight

Tuaian pertama bawang Kelantan cecah hasil 18.4 tan

By MkiniBM in August 13, 2025 – Reading time 2 minute
Tuaian pertama bawang Kelantan cecah hasil 18.4 tan


Projek penanaman bawang di menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila tuaian pertama dijangka menghasilkan 18.4 tan dalam tempoh dua minggu mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Pertanian NorBahani Zakaria berkata hasil itu membabitkan penanaman bawang merah varieti Baw 1 dan Baw 2 dengan keluasan tanah 4.6 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, Bachok.

Dia berkata penanaman menggunakan kaedah secara konvensional dan fertigasi gantung itu diusahakan 10 pengusaha bagi menjayakan projek rintis ini yang bermula sejak Jun lalu.

“Kita telah melakukan tuaian pertama hari ini kerana mencapai peringkat yang sesuai untuk dituai iaitu sekitar tempoh dua bulan untuk menjadi matang.

“Setakat ini, kami melihat hasil yang diraih adalah memuaskan, malah setakat hari ini sahaja pengusaha sudah mampu meraih sebanyak 250kg bawang.

“Kami menjangkakan hasil ini dapat bertambah dari semasa ke semasa dan mencapai sasaran sebanyak 18.4 tan menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penuaian bawang bagi Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri di TKPM Telong yang turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

NorBahani berkata hasil tuaian pertama itu akan disasarkan kepada pasaran tempatan termasuk ke pasar raya dan sebagainya, malah dari segi harga pula ia akan diputuskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan mengikut harga semasa.

Dia berkata projek penamaman bawang itu juga akan diperluas ke jajahan lain termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli, sekali gus sasaran hasil tuaian sebanyak 100 tan metrik menjelang akhir tahun ini untuk diusahakan di atas tanah 30 hektar di seluruh negeri akan dicapai.

“Bagi projek tanaman yang akan datang, ia akan membabitkan lebih 50 pengusaha di jajahan lain. Inisiatif negeri bersama Persekutuan menerusi projek penanaman bawang ini dilihat mampu meningkatkan pengeluaran bawang tempatan.

“Malah, ia juga dapat memperkukuh sekuriti makanan negara serta sebahagian daripada pelan strategik bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang dan membuka peluang ekonomi kepada usahawan tani di Kelantan,” katanya.

Bernama



Source link