TSMC Memperlihatkan Nod Teknologi A14 – Akan Mula Beroperasi Pada 2028
April 25, 2025
•
Nazrin
Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), syarikat yang bertanggungjawab untuk mengilang majoriti cip pemprosesan untuk peranti pintar dan komputer baru sahaja memperkenalkan proses teknologi binaan terbaru mereka yang dinamakan TSMC A14.
TSMC juga akan menggunakan komponen transistor nanosheet generasi kedua yang lebih tumpat dengan teknologi NanoFlex Pro yang menjanjikan peningkatan prestasi cip pemprosesan yang jauh lebih baik.

Menurut TSMC, cip-cip pemprosesan yang dibina dengan proses A14 ini akan memperlihatkan peningkatan prestasi sebanyak 10-15 peratus pada penggunaan kuasa yang sama, kecekapan penggunaan kuasa setinggi 30 peratus pada prestasi yang sama, dan ketumpatan cip 1.2 kali lebih tinggi berbanding dengan proses binaan generasi sekarang, N2.
Proses nod teknologi A14 ini akan mula beroperasi pada tahun 2028, selepas teknologi A16, yang diijangka akan mula beroperasi pada penghujung tahun 2026 kelak. Jika anda musykil tentang penggunaan huruf A berbanding dengan N seperti sebelumnya, sama seperti proses Intel 18A yang akan beroperasi tahun ini, huruf tersebut merupakan singkatan untuk sukatan Angstrom, yang bersamaan dengan 0.0000000001 meter.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.