Trump Ancam Menghalang Eksport Perisian Penting Ke China Jika Rundingan Dagang Gagal
Effi Saharudin
Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat semakin hangat selepas China mengenakan halangan eksport beberapa lagi unsur nadir bumi yang penting untuk sektor teknologi. Ini adalah tindakan untuk memberikan tekanan kepada Presiden Trump untuk mengubah semula beberapa tarif tinggi yang dikenakan ke atas China.
Namun begitu tindakan China ini dibalas pula oleh Trump dengan balas tarif tambahan 100% ke atas tarif semasa. Menurut Trump tindakan China menghalang eksport unsur nadir bumi ialah tidak adil dan tarif baharu ini akan dikuatkuasakan bermula 1 November depan.

Turut diancam oleh beliau ialah mengenakan kawalan eksport perisian-perisian penting dan kritikal buatan Amerika Syarikat ke China. Trump tidak menyatakan apakah dimaksudkan dengan perisian penting dan kritikal tetapi ia mungkin sistem operasi seperti Android dan Windows serta sistem penting untuk perniagaan seperti Oracle. Kesemuanya penting kepada industri peranti pintar dan perniagaan China.
Halangan lesen Android dan Windows telahpun dikenakan ke atas Huawei menyebabkan gergasi teknologi China ini membangunkan HarmonyOS sebagai alternatif. Pada waktu yang sama sejak kebelakangan ini kedengaran ura-ura syarikat telefon pintar China kesemuanya bersedia melancarkan sistem operasi sendiri sebagai persediaan dikenakan tindakan yang sama seperti Huawei.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






