GLOBAL | Presiden AS, Donald Trump, hari ini berkata dia akan mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat sambil menegaskan hasratnya untuk terus “bersikap baik terhadap China”, lapor Agensi Berita Kyodo.
Meskipun ketegangan perdagangan di antara Washington dan Beiking kembali meningkat, Trump sekali lagi menzahirkan nada optimis menjelang kemungkinan pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, di Korea Selatan minggu depan.
“Kami akan mengadakan perjanjian yang adil. Saya mahu bersikap baik terhadap China.
“Saya amat menghargai hubungan saya dengan Presiden Xi,” kata Trump di Rumah Putih ketika sesi panjang bersama wartawan semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
“Kami fikir itu tempat yang sesuai untuk bertemu, dan kami akan bertemu. Saya akan berada di Malaysia, saya akan berada di Jepun,” katanya.
Trump sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa dia dijadual mengadakan pertemuan dengan Xi apabila kedua-dua mereka berada di Korea Selatan bagi menghadiri sidang kemuncak ekonomi Asia-Pasifik akhir Oktober ini.
Bagaimanapun, kenyataan hari ini merupakan kali pertama Trump secara terbuka menyebut rancangan lawatannya ke Malaysia dan Jepun. Dia tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai butiran lawatan berkenaan
Sumber kerajaan Jepun memaklumkan Trump dijangka mengadakan lawatan tiga hari ke negara berkenaan mulai 27 Okt selepas menghadiri persidangan serantau di Malaysia yang turut disertai negara-negara Asia Tenggara dan rakan-rakan sekutunya.
Sumber berkenaan juga menyatakan, selepas lawatan ke Jepun, Trump akan meneruskan perjalanan ke Korea Selatan.
Lawatan Asia yang bakal berlangsung itu merupakan yang pertama sejak Trump memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Jan lalu.
– Bernama/Kyodo






