Malaysia Oversight

Trend makan berat lewat malam rakyat membimbangkan

By MkiniBM in April 24, 2025 – Reading time 2 minute
Trend makan berat lewat malam rakyat membimbangkan


Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata trend pengambilan makanan berat ketika lewat malam di kalangan rakyat pada masa ini sangat membimbangkan.

Menurut Dzulkefly, dapatan utama tinjauan yang dibuat mendapati 41.8 peratus remaja dan 33.5 peratus orang dewasa di negara ini mengamalkan pengambilan makanan berat lewat malam sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

Dzulkefly menasihatkan orang ramai agar mengurangkan amalan itu atau makan dalam kadar sederhana sahaja, memandangkan amalan itu membawa kesan negatif.

“…Kita bawa makan malam sebelum tidur, kita bawa kalori itu bersama kita ketika tidur, kita tak bakarnya dan ia akan bertukar menjadi lemak.

“Sebelum tidur, kurangkan heavy supper. Bukan tidak boleh, tetapi sentiasa pada kadar sederhana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Pemakanan di Kementerian Kesihatan (KKM) di , hari ini.

Kajian itu dibuat berasaskan populasi berskala nasional yang dijalankan secara berkala oleh KKM dengan tumpuan kepada aspek pemakanan, bagi menilai corak pemakanan dan nutrisi rakyat Malaysia.

Seramai 5,147 responden telah mengambil bahagian dalam tinjauan yang dijalankan daripada Julai sehingga September 2024.

NMHS antara lain menyatakan amalan makan berat pada lewat malam boleh memberi kesan negatif seperti gangguan kualiti tidur, masalah pencernaan dan peningkatan risiko penyakit jantung.

Sementara itu, Dzulkefly berkata selain makan lewat malam, pengambilan gula dan garam secara berlebihan oleh rakyat juga turut menjadi kebimbangan.

Berdasarkan dapatan NHMS, sebanyak 63.1 peratus remaja dan 47 peratus orang dewasa mengambil gula melebihi saranan pemakanan, dengan hampir separuh daripada jumlah itu berpunca daripada pengambilan minuman bergula.

Bagi garam pula, 75.9 peratus populasi dewasa didapati mengambil garam melebihi 2,000 mg sehari, iaitu bersamaan lebih satu setengah sudu teh. 

“Semua diseru membudayakan hidup sihat, kehidupan aktif, pemakanan dan masakan yang baik kerana diet bermula dengan masakan yang baik.

“Jalani saringan pemakanan dan kesihatan percuma termasuk di wellness hub Kementerian Kesihatan,” kata Dzulkefly.



Source link