Sebuah treler merempuh Pos Kawalan Polis Bantuan Felda Kechau 8 di Kuala Lipis pagi semalam menyebabkan pemandu dan seorang anggota polis bantuan cedera.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu berlaku apabila treler tanpa muatan berkenaan – yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Sungai Temau menuju Kuantan – dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pos kawalan berkenaan dan sebuah kereta.
“Rempuhan itu menyebabkan atap dan dinding pos kawalan menghempap sebuah motosikal yang berada di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ismail berkata akibat insiden itu pemandu lori bersama anggota polis bantuan berusia 23 tahun yang berada dalam pos kawalan mengalami kecederaan.
Mereka kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.
Ismail berkata seorang lagi anggota polis bantuan berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dia berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.
– Bernama