Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengesan transaksi penipuan oleh penjawat awam membabitkan kerugian RM10.4 juta di sebuah jabatan kerajaan di London.
Akauntan Negara Nor Yati Ahmad berkata kes itu merupakan antara yang dikenal pasti membabitkan penipuan transaksi dana awam antara 2019 hingga 2024, yang keseluruhannya melibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM18 juta.
“Ini termasuk satu kes yang melibatkan penjawat awam dengan jumlah RM10.4 juta yang berlaku di sebuah jabatan di London. Tindakan susulan sudah diambil oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Nor Yati berkata modus operandi penipuan yang dikesan melibatkan manipulasi sistem kewangan, selain perubahan kepada proses dan prosedur perakaunan.
Dia berkata, pihaknya kini mengambil langkah proaktif dengan menggunakan teknologi digital untuk menganalisis data kewangan bagi mengesan transaksi mencurigakan atau yang menunjukkan petunjuk awal.
“Jabatan ini tidak hanya bergantung kepada laporan pihak ketiga, sebaliknya mengambil langkah proaktif menggunakan teknologi untuk mengesan penipuan. Pendekatan ini kini menjadi sebahagian daripada proses kerja standard di JANM dan akan diteruskan secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Nor Yati berkata landskap perakaunan sektor awam semakin kompleks berikutan perkembangan teknologi dan dinamika sosioekonomi yang memerlukan pendekatan kolaboratif merentas agensi.
Dia berkata pelaksanaan KKFP selari dengan prinsip tadbir urus dan integriti yang ditekankan kerajaan dan dijangka memperkukuh dasar serta metodologi pencegahan fraud dalam sektor awam.
“JANM akan terus memberi sokongan penuh dalam menjayakan objektif KKFP menerusi sinergi strategik bersama agensi berkaitan.
“Kami percaya, melalui usaha bersepadu dan perkongsian amalan terbaik, pencegahan dan pengesanan penipuan kewangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya.
-Bernama