Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam pembunuhan harimau belang yang bangkainya ditemukan di Johor, semalam sambil menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi memalukan negara pada Hari Malaysia.
Pengarah Kanan Pemuliharaan WWF-Malaysia Dr Henry Chan berkata penemuan bangkai haiwan itu dan penahanan tiga individu yang dikaitkan dengan kes berkenaan merupakan tamparan hebat, lebih-lebih lagi spesies itu sangat terancam dengan kurang daripada 150 ekor ketika ini di habitat liar.
“Harimau Malaya bukan sekadar spesies yang sangat terancam, malah ia juga ikon negara.
“Dijerat dan ditembak mati pada hari rakyat Malaysia meraikan pembentukan negara ini adalah sesuatu yang amat tragis dan memalukan.

“Ia adalah jenayah terhadap ekosistem serta semangat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata meskipun usaha selama bertahun-tahun dilakukan oleh agensi penguat kuasa dan penyokong pemuliharaan, pemburu haram masih membunuh haiwan itu demi keuntungan jangka pendek.
“Membunuh seekor daripada kurang 150 harimau yang masih ada di Malaysia adalah tindakan di luar batas kewarasan, malah kejam.
“Jenayah seperti ini menghina negara kita dan mesti dijatuhi hukuman berat mengikut undang-undang, cepat dan tanpa kompromi,” katanya.
Penjara maksimum 15 tahun
Di bawah Seksyen 71 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022, pesalah yang disabitkan kesalahan kerana membunuh harimau Malaya boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan penjara maksimum 15 tahun.
Dr Chan menggesa pihak berkuasa melaksanakan sepenuhnya peruntukan hukuman itu bagi memberi mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan pembunuhan simbol negara.
Beliau berkata harimau Malaya juga terus diancam oleh penyusutan keluasan hutan, kehilangan habitat, pengurangan sumber makanan serta pemburuan haram yang menjadikan spesies itu semakin terdedah.

WWF-Malaysia turut menyatakan solidariti bersama pertubuhan pemuliharaan lain termasuk RIMAU, WCS Malaysia, PELINDUNG, TRAFFIC, Panthera Malaysia, MYCAT dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia, selain rakan korporatnya Maybank serta para penyumbang, dalam menuntut keadilan bagi harimau berkenaan.
Dr Chan memuji tindakan pantas Bukit Aman serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam menahan suspek, selain menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat hingga membawa kepada penahanan.
“Ini membuktikan betapa pentingnya orang awam sentiasa peka dan melaporkan jenayah hidupan liar tanpa ragu.
“Melindungi spesies ini bukan sekadar isu pemuliharaan, ia tentang menjaga maruah, warisan dan masa depan Malaysia,” katanya.

WWF-Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak penguat kuasa, agensi kerajaan, rakan strategik serta orang ramai dalam memperhebat usaha membanteras jenayah hidupan liar.
– Bernama